Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 10 Jun 2015 di Kuala Lumpur
Apakah rakyat negara kita merasakan tahap kesihatan yang diberikan oleh hospital-hospital kerajaan adalah baik dan memuaskan? Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa berbangga dengan tahap perkhidmatan kesihatan yang diberikan kepada rakyat Malaysia. Tetapi, pada hakikatnya banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki di hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan kerajaan.
Antara aduan yang sentiasa diterima mengenai hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan ialah:-
1) Masa menunggu yang terlalu lama untuk berjumpa dengan doktor di klinik pesakit luar. Ini disebabkan terlalu ramai pesakit, tetapi bilangan doktor yang kurang.
2) Terlalu sukar untuk mendapat temujanji untuk berjumpa dengan doktor-doktor pakar.
3) Terpaksa menunggu berjam-jam untuk mengambil ubat di farmasi.
4) Kesesakan dan kelewatan di unit kecemasan sepanjang hari
5) Kekurangan katil di hospital menyebabkan kelewatan untuk mendaftar masuk wad. Sering kali, pesakit dipotong nama walaupun belum sembuh sepenuhnya.
6) Kelewatan dalam perkhidmatan ambulans disebabkan kekurangan bilangan ambulans di hospital-hospital tertentu.
7) Masalah tempat letak kereta yang tidak mencukupi menyebabkan kesulitan kepada pesakit-pesakit dan pelawat-pelawat.
8) Perkidmatan dan rawatan yang tidak memuaskan.
Kementerian Kesihatan tidak patut menafikan kelemahan-kelemahan ini dan perlu memperbaiki mutu perkhidmatan dan rawatan untuk kepentingan rakyat. Kerajaan harus membina hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan baru di kawasan-kawasan kepadatan penduduk yang tinggi. Pada masa yang sama, kerajaan juga harus memastikan jumlah kakitangan yang cukup terutamannya pegawai-pegawai perubatan di semua pusat-pusat perubatanya.
Didapati peruntukan kerajaan untuk Kementerian Kesihatan Malaysia meningkat setiap tahun. Bagi tahun 2015 Kementerian Kesihatan Malaysia telah diberi peruntukkan sebanyak RM23.31 bilion berbanding dengan RM22. 16 bilion pada tahun 2014. Peruntukan Kementerian Kesihatan bagi tahun 2015 didapati meningkat RM1.15 bilion iaitu 5.19%.
Dengan adanya peningkatan ini, rakyat mengharapkan supaya mutu perkhidmatan kesihatan kerajaan dapat diperbaiki sejajar dengan negara-negara maju. Tahap kesihatan negara juga adalah satu daripada indikator yang akan menentukan kejayaan Malaysia mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020.
YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 10 Jun 2015 di Kuala Lumpur |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan