Jumaat, 3 Julai 2015

MAS Tidak Patut Pecat 8000 Pekerja, Menteri Perlu Campurtangan Segera



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 26 Mei 2015 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.

Keputusan MAS untuk membuang pekerjanya adalah berita hangat dan amat memeranjatkan rakyat negara kita. Tindakan ini dilakukan oleh MAS sebagai langkah penstrukturan semula organisasi berkenaan. MAS yang telah diwujudkan pada tahun 1972 sebagai syarikat penerbangan Malaysia yang pertama.


Kebelakangan ini, MAS gagal mengaut keuntungan secara berturut-turut selama beberapa tahun. Ini telah menyebabkan keadaan kewangan syarikat ini amat tergugat. Dalam keadaan yang terumbang-ambing ini, 2 lagi malapetaka telah melanda MAS pada tahun 2014 iaitu kehilangan MH 370 dan letupan MH17.

Sebagai usaha penstrukturan semula organisasi, MAS dalam proses untuk membuang pekerja-pekerjanya. Ini telah menimbulkan ketakutan, kebimbangan dan kekecewaan kepada 20,000 orang pekerja yang bekerja untuk syarikat tersebut. Ini telah melemahkan semangat pekerja-pekerja berkenaan kerana masa hadapan yang gelap dan tidak terjamin.

Dikatakan semua pekerja akan dibuang sekali gus dari senarai kakitangan MAS. Kemudian, 2/3 daripada tenaga kerja itu akan diambil semula untuk ditempatkan di bawah pentadbiran baru MAS berhad. Walau bagaimanapun, dijangka lebih daripada 8000 pekerja akan hilang pekerjaan sebelum 1 Jun 2015.

Jika benar 8000 pekerja itu akan hilang pekerjaan, maka ini merupakan satu malapetaka yang serius dalam sektor perkhidmatan yang terbesar melibatkan sebuah 'Government Linked Company' dalam sejarah kita. Apa akan berlaku kepada semua pekerja yang dibuang kerja secara tiba-tiba?

Mereka ini berada dalam keadaan terperanjat kerana masing-masing mempunyai tanggungan yang tinggi. Mereka akan menghadapi beban hidup yang lebih tinggi setelah dipecat kerana terpaksa menbayar pelbagai komitmen diri dan keluarga. Tindakan MAS untuk membuang 8000 pekerja ini akan menambahkan masalah sosio ekonomi dalam negara kita.

Menteri Pengangkutan harus campurtangan dengan segera untuk menyelamatkan 8000 orang pekerja MAS supaya mereka tidak teraniyaya oleh syarikat tersebut. Kita tidak boleh membenarkan 8000 orang pekerja hilang punca pendapatan akibat program penstrukturan semula organisasi berkenaan.

Kerajaan harus lebih prihatin terhadap kebajikan pekerja-pekerja syarikat ini yang bakal menjadi mangsa akibat keputusan koprat yang amat mengecewakan. MAS Berhad harus mencari jalan lain untuk mengurangkan kos operasi dan pada masa yang sama memilih strategi-strategi praktikal untuk menambahkan pendapatan. Keputusan untuk mengurangkan tenaga kerja yang begitu besar amat merugikan negara dan ekonomi rumahtangga mereka yang terlibat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan