Jumaat, 3 Julai 2015
Perlu Undang-Undang Dan Kawalan Penjualan Arak Murah
Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 1 Julai 2015 di Ipoh
Penjualan arak murah menjadi satu lagi masalah yang semakin genting di negara kita. Walaupun masalah ini bukan masalah baru, tetapi kita kurang memberi perhatian dalam isu ini. Jarang sekali pemimpin-pemimpin membangkitkan perkara ini.
Jika kita bersetuju bahawa dadah merupakan musuh negara yang utama, maka adalah wajar untuk kita turut bersetuju bahawa arak murah ini juga seteru negara yang tidak kurang hebatnya. Tetapi, kita tidak mempedulikan penjualan dan ketagihan arak murah ini. Akibatnya penjualan arak murah semakin berleluasa di merata negara.
Kita dapat lihat penjualan arak murah secara terbuka. Kedai-kedai runcit juga sudah mula menjual arak termasuk arak murah. Kita tidak mempunyai satu mekanisme kawalan yang baik dan berkesan untuk menangani isu yang semakin serius ini.
Masalahnya arak murah ini mudah diperolehi. Anak-anak muda terutamanya pelajar-pelajar sekolah juga terdedah kepada risiko ketagihan arak murah ini. Pelajar-pelajar sekolah dapat membeli arak kerana harganya terlalu murah dan berada di dalam kemampuan mereka.
Penglibatan pelajar-pelajar sekolah dengan arak murah ini akan menyebabkan pelajaran mereka terganggu. Mereka juga akan terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang membawa kemudaratan kepada diri dan rakan-rakan mereka.
Adalah mudah untuk mendapat arak murah dalam lingkungan RM5 yang mengandungi kandungan alkohol 40%. Harga yang terlalu murah ini mendorong ramai anak-anak muda kita terpengaruh dan akhirnya terjerat dalam ketagihan arak.
Selain daripada itu, arak murah ini juga menjadi satu masalah besar yang mengakibatkan keruntuhan rumahtangga. Apabila seorang suami menjadi pemabuk, keluaraganya pasti akan sengsara. Ekonomi rumahtangga itu terganggu menyebabkan beban kewangan dan masalah hutang.
Selain daripada itu, keamanan dan kesejahteraan keluarga juga akan turut tergugat. Pergaduhan diantara suami isteri juga akan berlaku dengan lebih kerap dan akhirnya keluarga itu akan termusnah.
Selain itu, arak murah juga akan menjejaskan kesihatan seseorang yang menjadi mangsa tabiat buruk ini. Walaupun kita mempunyai pengetahuan tentang bahaya arak kepada kesihatan tetapi penjualan dan penggunaannya masih tinggi.
Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang bertanggungjawab untuk berperang membenteras gejala arak murah ini untuk kepentingan bersama. Setiap parti politik, badan-badan bukan kerajaan, pertubuhan-pertubuhan agama dan pihak swasta harus bergabung tenaga untuk mengadakan kempen membenteras arak murah ini.
Sudah tiba masanya untuk kita rakyat Malaysia supaya tidak menganggap isu ini sebagai masalah mana-mana satu kaum. Masalah ini adalah masalah nasional yang perlu ditangani oleh semua.
Kerajaan juga harus memberi komitmen yang secukupnya dalam membenteras arak murah ini. Penghitungan cukai yang diperolehi oleh kerajaan daripada penjualan arak adalah sangat tinggi. Adakah ini yang menyebabkan kerajaan menutup satu mata dalam hal penjualan arak murah?
Kita perlu ada undang-undang yang lebih ketat dari segi pelesenan dan pengoperasian kedai-kedai menjual arak. Selain daripada itu, pihak kastam dan kerajaan tempatan juga harus mengawal perniagaan ini supaya ia tidak menjadi satu beban baru yang dipikul oleh rakyat Malaysia. Kerajaan harus menilai diantara keuntungan cukai dan kemudaratan sosioekonomi yang berpunca daripada kegiatan arak murah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan