Ahad, 5 Julai 2015

Perangi Arak Murah Seperti Dadah.



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 4 Julai 2015 di Ipoh

Kalau kerajaan kita tegas dengan pendiriannya dalam menangani masalah dadah, kenapa pula ia mengambil sikap acuh tak acuh dalam memerangi arak murah. Arak murah adalah minuman keras yang memabukkan mampu dibeli oleh sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak sekolah. Kerajaan harus prihatin dan mengambil segala langkah yang sesuai untuk membenteras arak murah ini.

Gambar Hiasan
 Saya pasti Kementerian Kesihatan Malaysia sedar tentang bahaya atau kesan buruk daripada arak murah ini. Tetapi, tidak kelihatan apa-apa tindakan serius yang diambil dalam perkara ini. Apakah niat kerajaan membiarkan penjualan arak murah ini secara berleluasa? Semakin banyak kedai-kedai menjual arak murah ini mula beroperasi di negara kita. Walaupun arak murah ini adalah amat bahaya dan boleh menjejaskan kesihatan tetapi kerajaan sengaja tidak mempedulikannya.

Kita mempunyai undang-undang tegas dalam menangani masalah dadah. Alasannya ialah soal kesihatan terutamanya golongan muda. Ketagihan dadah boleh menghancurkan seseorang individu. Negara akan kehilangan tenaga muda yang akhirnya masalah sosial ini boleh membantutkan pembangunan negara. Kita mahu belia yang sihat supaya negara kita terus maju dan membangun.

 Apa beza dadah dan arak murah? Arak murah juga boleh mengakibatkan ketagihan. Ia pasti akan menjejaskan kesihatan. Selain itu, ia juga boleh menimbulkan pelbagai masalah sosio ekonomi. Sebagai contoh, seseorang pelajar yang ketagih arak murah ini sudah tentu akan hilang minat untuk belajar. Anak-anak muda yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti kongsi gelap juga mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan kumpulan mereka. Pada kebiasannya mereka minum arak murah ini sebelum melakukan kegiatan jenayah seperti meragut, merogol, membunuh dan sebagainya.

Pada hakikatnya, bahaya arak murah ini adalah sama seperti bahaya penagihan dadah. Oleh yang demikian, kerajaan harus serius menangani masalah arak murah ini seperti memerangi dadah. Perkara ini tidak boleh dianggap masalah mana-mana satu kaum. Ini adalah masalah nasional dan perlu diperangi dengan kerjasama semua pihak mahupun awam atau swasta.

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 4 Julai 2015 di Ipoh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan