Rabu, 29 Julai 2015

Sukar Mencapai Sasaran Produktiviti RM92,300 Setiap Pekerja Pada Tahun 2020 Dalam Keadaan Ekonomi Yang Tidak Menentu Sekarang


Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak, Jurucakap DAP Kementerian Sumber Manusia,pada 10 Julai 2015 di Ipoh


Produktivi negara masih berada pada tahap yang rendah. Kita masih tidak dapat bersaing dengan negara-negara maju dan beberapa negara membangun. Selagi kita tidak dapat mengubah pemikiran pekerja dan mengamalkan budaya kerja yang malas, sukar untuk mencapai aspirasi negara maju dalam tahun 2020.

Malaysia masih jauh ketinggalan dalam produktiviti berbanding dengan kebanyakan negara berpendapatan tinggi. Tahap produktiviti pekerja Malaysia adalah sebanyak 32% daripada tahap di Amerika Syarikat dan 56% daripada tahap di Korea Selatan pada tahun 2013.

Kadar produktiviti harus ditingkatkan sekurang-kurangnya 4% setiap tahun untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi. Pada tahun 2011, produktiviti Malaysia berdasarkan kiraan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi setiap pekerja telah meningkat sebanyak 4.6% kepada RM54,000 setiap pekerja.

Pada tahun 2014, produktiviti negara hanya meningkat pada kadar 3.5% kepada RM61,708 setiap pekerja. Ini bermakna, pada tahun lepas negara kita gagal mencapai peningkatan 4% dalam produktiviti yang disasarkan sebagai landasan mencapai taraf negara maju pada tahun 2020.

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke Sebelas (2016-2020), produktivi pekerja kita disasarkan meningkat daripada RM77,100 pada tahun 2015 kepada RM92,300 pada tahun 2020. Pertama sekali, saya tidak begitu yakin produktiviti negara boleh mencecah RM77,100 setiap pekerja pada tahun 2015. Dalam keadaan ekonomi yang semakin merosot, sasaran ini mungkin tidak dapat dicapai pada tahun ini. Peningkatan harga barangan disebabkan GST dan penurunan nilai matawang negara telah mengganggu banyak industri. Kesannya nyata apabila produktiviti menurun disebabkan kos semakin meningkat.

Saya juga tidak yakin bahawa kerajaan akan berjaya mencapai sasaran produktivi RM92,300 setiap pekerja pada tahun 2020. Sasaran ini adalah amat tinggi dan sukar dicapai dalam keadaan ekonomi negara yang terumbang-ambing. Keadaan ekonomi negara yang semakin menurun ini tidak dapat dipulihkan dengan segera. Ini akan mengambil masa beberapa tahun untuk kembali pulih. Oleh yang demikian, adalah tidak realistik untuk mencapai pertumbuhan 4% produktiviti setiap tahun sehingga 2020.

Kerajaan ingin melaksanakan pendekatan ataupun strategi berfokus dan menyeluruh pada semua peringkat nasional, industri dan perusahaan untuk meningkatkan produktiviti negara. Pendekatan ini akan diterajui oleh jaguh industri dan persatuan industri dan disokong oleh kerajaan melalui Majlis Produktiviti Nasional.

Apa jua pendekatan yang dibuat sekalipun, dalam keadaan ekonomi yang lemah dan sikap pekerja yang malas dan tidak mahu berubah, adalah sukar untuk meningkatkan produktiviti negara dalam tempoh yang singkat. Kerajaan harus memberi fokus kepada kaedah-kaedah menganjak minda pekerja-pekerja daripada budaya malas kepada budaya rajin seperti yang diamalkan dikebanyakan negara-negara yang maju seperti Jepun, China, Korea Selatan dan sebagainya. Segala usaha kerajaan tidak akan berjaya selagi kita tidak boleh mengubah budaya kerja kita.

Produktiviti yang tinggi akan memberi banyak keuntungan kepada rakyat dan negara. Pendapatan meningkat, kos pengeluaran akan berkurangan disebabkan skil ekonomi yang menurun, dan pada masa yang sama kualiti hidup rakyat juga akan bertambah baik.

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak, Jurucakap DAP Kementerian Sumber Manusia,pada 10 Julai 2015 di Ipoh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan