Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada
28 julai 2015 di Ipoh
Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk
merombak Kabinet telah membawa kekecewaan yang amat besar kepada masyarakat
India. Datuk Seri G.Palanivelu yang memegang jawatan menteri penuh di
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah digugurkan dari kabinetnya hari
ini. Ini menyebabkan parti MIC telah
kehilangan satu jawatan menteri penuh.
Selepas rombakan kabinet, MIC hanya mempunyai satu jawatan
menteri penuh dan 2 jawatan timbalan menteri. Ini menimbulkan kemarahan dan
kekecewaan dikalangan masyarakat India kerana kerajaaan Barisan Nasional di
bawah pimpinan Perdana Menteri telah membelakangkan kaum India dalam
pentadbiran tertingginya.
Setiap parti harus mengorak langkah ke hadapan. Tetapi parti
MIC telah berlangkah ke belakang dengan pengumuman keputusan rombakan kabinet ini. Saya tidak
tahu samada pemimpin-pemimpin MIC berasa malu ataupun tidak mengenai kehilangan
jawatan ini.
Tetapi, saya pasti masyarakat India sangat marah dan kecewa
dengan Perdana Menteri yang berani menyingkirkan seorang pemimpin India dalam
kabinetnya tetapi tidak digantikan dengan seorang pemimpin India yang baru
sebagai menteri penuh. Adakah ini membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin MIC yang
ada sekarang ini semuanya tidak layak memegang jawatan menteri penuh. MIC hari
ini berada dalam era yang paling lemah dan memalukan.
Sekarang, kita sudah kembali ke zaman Datuk Seri S. Samy
Velu. Hanya seorang menteri bagi kaum India yang akan mengawal dan berkuasa
penuh dalam semua hal-ehwal dan urusan yang melibatkan kaum India. Sekali lagi,
kita akan lihat seorang ‘mandur’ yang akan memegang kuasa politik secara
monopoli terhadap kaum India.
Walau bagaimanapun, saya pasti pemimpin-pemimpin MIC yang
ada sekarang tidak akan berani menuntut supaya kaum India diberi 2 jawatan
menteri penuh. Apa yang penting bagi mereka ialah jawatan dalam parti MIC.
Pergaduhan diantara pemimpin-pemimpin utama parti itu belum selesai lagi. Bagi
mereka, politik dalaman adalah lebih penting
daripada masalah-masalah sosio ekonomi yang dihadapi oleh kaum India. Mereka
sanggup kehilangan 1 jawatan menteri penuh tetapi akan terus lawan
bermati-matian untuk jawatan di dalam parti MIC. Saya mahu melihat
pandekar-pandekar MIC yang berani keluar melawan Perdana Menteri menuntut 2
jawatan menteri untuk kaum India.
Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada
28 julai 2015 di Ipoh
|