Sabtu, 3 Ogos 2013

Sistem PBS Membebankan Guru- guru

Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Malaysia & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 2/8/2013 di Ipoh

Sistem PBS Membebankan Guru- guru

YB. V. Sivakumar



Kementerian Pendidikan Malaysia harus membuat kajian semula mengenai Sistem Pentaksiran Sekolah (PBS) yang sebenarnya tidak praktikal dan amat membebankan guru- guru. Kementerian Pendidikan harus mengakui kelemahan sistem PBS ini dan mengambil langkah- langkah postif untuk mengubahnya.

Daripada jawapan yang diberikan di Dewan Rakyat didapati kerajaan tidak mempunyai hasrat untuk menyemak semula sistem ini. Pendekatan kerajaan yang defensif ini akan merugikan negara jika tidak ditangani dengan betul. Kerajaan harus menjalankan kaji selidik atau survey dengan semua guru- guru yang terlibat dan mengetahui keberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran sistem PBS ini. Walau bagaimanapun, kerajaan telah gagal untuk menjalankan kaji seledik ini.

Kerajaan tidak sepatutnya memperkenalkan satu sistem yang tidak disukai oleh majoriti pelaksana dasar iaitu guru- guru itu sendiri. Hampir semua guru merungut bahawa sistem PBS ini amat membebankan kerja harian mereka. Sistem PBS ini nyata sekala tidak disukai oleh guru- guru yang terlibat secara langsung dalam melaksanakanya.  Ini akan menurunkan moral dan motivasi guru- guru dalam tempoh jangka panjang. Justeru, kualiti pendidikan negara akan turut terjejas jika guru- guru tidak berpuas hati dengan sistem yang rumit dan amat menyusahkan ini.

Menteri Pendidikan berpendapat sistem PBS tidak membebankan guru-guru jika mereka memahami konsep PBS dengan betul. Dikatakan bahawa guru- guru kurang memahami tentang cara untuk melaksanakan pentaksiran seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Menteri Pendidikan juga menuduh bahawa guru- guru menghadapi kesukaran membina instrumen pentaksiran yang pelbagai bentuk kerana masih terikat dengan fahaman dan kebiasaan untuk menilai pencapaian murid menggunakan ujian berbentuk kertas dan pensel.

Ini adalah tidak benar kerana masalah ini bukan dihadapi oleh segelintir guru- guru sahaja. Kalau kaji selidik dibuat dengan telus, saya pasti sebahagian besar daripada guru- guru yang berpengalaman juga tidak akan bersetuju dengan sistem PBS ini.


Guru- guru mengadu bahawa Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) adalah amat sukar untuk diakses. Ini merupakan salah satu masalah yang amat membebankan guru- guru. Sering kali mereka terpaksa  mengakses  SPPBS pada larut malam atau awal pagi , sebagai contoh 3.00am atau 4.00am untuk membuat kerja-kerja mengemaskini data. Ini menjadi satu tekanan dan seterusnya  boleh menjejaskan kesihatan mereka. Tambahan pula, mereka terpaksa mengajar di sekolah pada keesokan hari. Sudah pasti ini akan meruntuhkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Kementerian Pendidikan telah cuba mengatasi masalah ini dengan menyediakan hosting khas yang berasingan bagi SPPBS serata menambahkan 20 buah server untuk mengurangkan kekesakan pengguna yang ramai. Tetapi adakah ini telah mengurangkan kesulitan guru- guru ini? Sehingga hari ini guru- guru masih mengadu bahawa SPPBS ini merupakan satu beban kepada mereka. Oleh yang demikian, kerajaan harus mengambil langkah yang prihatin terhadap guru- guru yang merupakan anggota perkhidmatan awam yang paling ramai di Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan