Jumaat, 16 Ogos 2013

DAP menyeru Perdana Menteri segera memanggil Sidang Khas Parlimen

Kenyataan media Ketua Whip DAP dan Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook pada 16 Ogos 2013 di Kuala Lumpur

DAP menyeru Perdana Menteri segera memanggil Sidang Khas Parlimen untuk mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai di Mesir dan mengambil pendirian yang tegas untuk menuntut Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu bertindak mengembalikan keamanan di Mesir




DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim tentera Mesir pimpinan Jeneral Abdul Fatah As-Sisi ke atas ratusan penyokong Presiden Morsi dalam tempoh 48 jam yang lalu. Kekerasan melampau yang diambil oleh rejim tentera tersebut ke atas rakyatnya sendiri merupakan satu tindakan kekejaman yang tidak berperikemanusian. Masyarakat antarabangsa perlu bersolidariti bersama rakyat Mesir dan menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengambil apa sahaja tindakan yang sepatutnya untuk mengembalikan keamanan di Mesir. 



Justeru itu, DAP menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk segera memanggil satu sidang khas tergempar Parlimen pada awal minggu depan supaya Parlimen Malaysia mengambil satu ketetapan mewakili suara seluruh rakyat Malaysia untuk mengutuk kekejaman tidak berperikemanusian yang sedang berlaku di Mesir. Parlimen Malaysia juga seharusnya mengambil satu ketetapan supaya Kerajaan Malaysia menuntut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu segera bersidang untuk mengambil tindakan tegas ke atas rejim tentera Mesir untuk memberhentikan kekejaman mereka. 


Parlimen Malaysia pernah mengadakan sidang khas pada 12 Januari 2009 untuk mengutuk kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza. Dalam sidang khas tersebut, Pakatan Rakyat telah memberikan sokongan penuh kepada usul yang dibawa oleh Kerajaan untuk membuktikan pendirian tegas rakyat Malaysia yang cintakan keamanan. 

Saya yakin Pakatan Rakyat akan sekali lagi menyokong penuh sekiranya Datuk Seri Najib memanggil sidang khas Parlimen dan mengemukakan usul untuk mengutuk rejim tentera Mesir. Saya berharap Datuk Seri Najib akan mengambil peluang ini untuk membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia akan bersatu-padu dalam usaha menuntut keamanan dunia dan isu kemanusian walaupun kita mempunyai perbezaan politik dalam negara.

DAP juga menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untut turut serta dalam Himpunan Munajat Perdana 100k di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada petang Sabtu, 17 Ogos yang dianjurkan oleh PAS untuk menunjukkan solidariti bahawa isu keamanan sejagat dan hak asasi manusia menjangkaui batasan kaum, agama dan fahaman politik dan perlu dipertahankan oleh seluruh umat manusia. Saya dan pemimpin-pemimpin DAP yang lain akan turut menyertai Himpunan tersebut.

LOKE SIEW FOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan