Isnin, 26 Ogos 2013


Kenyataan media Ketua Whip DAP dan Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook pada 16 Ogos 2013 di Kuala Lumpur

Respons kepada dakwaan tidak berasas Khairy Jamaluddin terhadap DAP 



Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mendakwa kononnya keputusan untuk membuat pemilihan semula CEC DAP merupakan satu pengakuan bersalah oleh pimpinan DAP. Saya berasa terkilan bahawa dakwaan yang tidak berasas sama sekali seperti ini boleh keluar daripada mulut seorang menteri muda yang selalu menonjolkan dirinya sebagai seorang pemimpin generasi muda yang berkaliber dan bijak. Hanya kerana nak memenangi hati ahli-ahli UMNO menjelang pemilihan parti, beliau kini sanggup berpolitik sehingga tahap yang begitu rendah sekali. 

Dakwaan tersebut langsung tidak berasas kerana pucuk pimpinan DAP mengambil keputusan membuat pemilihan semula seperti yang diarahkan oleh ROS disebabkan kita tidak ada pilihan lain. Sekiranya DAP tidak akur kepada arahan ROS, risiko yang perlu ditanggung ialah pembatalan pendaftaran parti. Inilah perangkap politik yang dipasang oleh UMNO kerana objektif utama mereka ialah untuk memusnah dan melenyapkan DAP dari arena politik Malaysia. Di atas pertimbangan politik tersebutlah, DAP mengambil keputusan untuk akur kepada arahan ROS. 

Ada pula hujah yang mengatakan bahawa kalau DAP tidak bersalah, mengapa tidak menbawa kes tersebut ke mahkamah? Jawapannya ialah kerana kita cukup yakin ada campurtangan politik di peringkat tertinggi dalam kes ini dan kita tidak mungkin mendapat satu penghakiman yang adil melalui mahkamah. Dan sekiranya kes ini berlanjutan bertahun-tahun di mahkamah, maka sudah tentu perjalanan parti akan terbantut dan ini akan memberikan kesan buruk kepada perjuangan politik kami untuk menuntut perubahan demi rakyat Malaysia. 

Khairy juga mendakwa bahawa DAP mengambil masa terlalu lama bagi mengakui kesilapan dan kepincangan yang berlaku bagi menghangatkan isu berkenaan semasa musim pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu. Ini juga merupakan satu penipuan untuk mengelirukan rakyat Malaysia. Faktanya ialah, kami mengakui kesilapan teknikal dalam keputusan pemilihan CEC secara sukarela pada awal bulan Januari 2013. “Masa yang terlalu lama” ini bukan disebabkan DAP tetapi kerana ROS mengambil masa lebih 7 bulan untuk membuat siasatan dan pihak kami hanya menerima surat rasmi daripada ROS berkenaan arahan membuat pemilihan semula tanpa diberikan sebarang alasan pada 31 Julai 2013! 

Ini jelas menunjukkan bahawa Khairy sama seperti pemimpin-pemimpin UMNO yang lain, masih bermain politik cara tradisi UMNO iaitu menggunakan fitnah, penipuan, dakwaan tidak berasas dan penyalahgunaan kuasa kerajaan untuk mencapai tujuan politik sempit peribadi mereka tanpa sebarang pertimbangan nilai-nilai kebenaran dan keadilan. Bagi mereka, kebenaran tidak penting selagi ia memenuhi kepentingan mereka seperti pepatah kata Inggeris “the end justifies the means”.

LOKE SIEW FOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan