Jumaat, 23 Oktober 2015

Perbahasan YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah dalam Meminda Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 pada 21 Oktober 2015

Terima Kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang Dipertua kerana memberi ruangan kepada saya untuk turut membahaskan pindaan kepada Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991


Pertama sekali saya ingin menyentuh pindaan kepada Seksyen 51A di mana selepas ini Lembaga boleh memindahkan kepada Pendaftar Wang Tidak Dituntut kesemua wang yang ada pada kredit seseorang ahli kumpulan wang tidak dituntut apabila ahli itu telah mencapai umur 100 tahun atau apa-apa  had umur sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga.


Persoalannya, kenapa wujud keadaan di mana Ahli atau penama tidak membuat tuntutan wang daripada KWSP apabila tempoh matang atau selepas kematian ahli. Selepas bertahun-tahun mencarumkan wang dalam KWSP, akhirnya wang itu tidak dituntut oleh mana-mana pihak. Mesti ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan keadaan yang sedemikian. Adakah pihak KWSP pernah membuat apa-apa kajian untuk menentukan faktor –faktor  yang menjadi punca wang tidak dituntut daripada KWSP.


Saya mohon Menteri Kewangan mencerahkan Dewan yang mulia ini dengan statistik mengenai faktor-faktor yang menyebabkan wang tidak dituntut daripada KWSP. Selain daripada itu, saya juga ingin mengetahui  berapakah jumlah wang yang tidak dituntut dan masih berada ditangan KWSP. Juga, jumlah wang yang telahpun dipindahkan kepada Pendaftar Wang Tidak Dituntut  sehingga kini.


Perkara kedua yang hendak saya membawa kepada perhatian Tuan Yang Dipertua ialah mengenai isu penama KWSP untuk orang-orang bukan Islam. Bagi orang Islam ada cara pembahagian harta pusaka berdasarkan Hukum Faraid. Ini menjamin wang KWSP sampai kepada orang-orang yang layak iaitu anggota keluarga.  Perkara ini dimantapkan lagi dengan adanya  seksyen-seksyen baru iaitu Seksyen 23A, 23B, 23C dan 23D.


Tetapi, bagi orang-orang bukan Islam seseorang penama adalah merupakan penerima mutlak (beneficiary) kepada simpanan ahli yang meninggal dunia. Ini merupakan satu aturan yang amat longgar dan memberi peluang kepada seseorang ahli untuk menamakan sesiapa sahaja untuk menjadi benifisiari. Sebagai contoh, pihak ketiga seperti jiran, sahabat-sahabat atau sesiapa sahaja.


Dalam satu kes, seorang wanita telah datang ke pejabat saya mengadu bahawa beliau tidak dapat memperolehiwang simpanan KWSP suaminya yang telah meninggal dunia. Apabila beliau pergi ke Pejabat KWSP, beliau difahamkan suaminya telah menamakan orang lain sebagai benefisiari. Apabila disiasat didapati penama itu adalah jirannya. Apakah niat suami menamakan jiran sebagai penama adalah tidak diketahui. Tetapi, pada hakikatnya jiran itulah akan menjadi benefisiari mutlak untuk wang simpanan KWSP suaminya. Apa yang lebih menyukarkan ialah jirannya juga tidak menetap di rumahnya lagi dan tidak boleh dikesan. Saya juga percaya, jirannya juga tidak mengetahui namanya dimasukkan sebagai penama.


Pendekatan yang sedia ada ini, boleh juga mewujudkan peluang untuk berlakunya unsur-unsur penipuan ataupun ugutan dalam membuat penamaan. Bagaimana jika seorang ‘Ah Long’ memaksa seorang ahli yang meminjam wang daripadanya untuk menamakan dirinya  sebagai benefisiari.  Ini adalah satu keadaan yang cukup bahaya dan tidak berlaku adil kepada ahli dan keluarganya. Pastinya, kita harus mengaku bahawa terdapat kelompangan dalam soal penamaan bagi orang-orang bukan Islam.


Pada pandangan saya, kerajaan harus  merumuskan satu mekanisme yang lebih baik supaya wang simpanan ahli itu akhirnya dinikmati oleh anggota keluarga dan bukan oleh mana-mana pihak ketiga.


Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, kita boleh merujuk kepada kaedah-kaedah yang diguna pakai dalam Akta Insurans 1996 untuk membayar wang tuntutan polisi insurans nyawa apabila seseorang itu meninggal dunia. Hanya suami atau isteri, anak-anak atau ibubapa  yang layak untuk menerima faedah polisi secara benefisiari dan bukan sebagai wasi.


Selain daripada keluarga terdekat, penama yang lain hanya boleh menjadi wasi, kecuali faedah polisi itu diserahhakkan (absolute assignment) kepada penama jika niatnya adalah sedemikian. Rujukan boleh dibuat kepada Seksyen 163 hingga 169 Akta Insurans .

Saya yakin kaedah ini adalah lebih selamat, adil dan konsisten dalam amalan pentadbiran harta seseorang yang telah meninggal dunia. Oleh kerana KWSP juga merupakan satu instrumen kewangan untuk kebajikan ahli dan keluarganya, maka kaedah-kaedah yang digunakan untuk tujuan yang sama dalam produk insurans nyawa juga boleh diterima pakai dan diselaraskan.

Akhir sekali, saya juga ingin mengetahui samada niat kerajaan untuk meminda seksyen 51A dan  seksyen 55B adalah nntuk membolehkan pihak KWSP menguruskan dana ahli untuk tempoh yang lebih lama.  Ini adalah kerana kedua-dua pindaan ini akan membolehkan dana yang dipegang oleh KWSP tidak mengalir keluar kepada ahli ataupun pendaftar wang tidak dituntut dalam tempoh terdekat.


Adakah pindaan-pindaan ini bertujuan untuk menyelesaikan kekangan kewangan KWSP dalam tempoh jangka masa pendek?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan