Jumaat, 4 Mei 2012

RTM Melampaui Batas, Tendang Di Bawah Tali Pinggang




Kenyataan Media YB V. Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 3hb Mei 2012 di Batu Gajah.
RTM Melampaui Batas, Tendang Di Bawah Tali Pinggang
RTM telah menggadai maruah menjadi agensi suruhan Barisan Nasional. Setiap hari pemimpin-pemimpin Barisan Nasional memperalatkan RTM untuk propaganda politik. Sungguh memalukan apabila mereka menjadikan pembaca-pembaca berita sebagai budak-budak suruhan mereka untuk menabur fitnah terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. Setiap kali kita mendengar berita, ada juga fitnah dan kempen politik Barisan Nasional. Ini menyalahi undang-undang kerana menggunakan jentera kerajaan untuk kepentingan politik Barisan Nasional.
Tambahan pula saya mendengar ucapan Datuk Kaveyas , Presiden PPP dalam  rangkaian Minnal FM hari ini. Beliau bukan sahaja membuat ceramah politik memuji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, malah mengutuk pemimpin-pemimpin pembangkang secara terbuka. Ini merupakan salahguna kuasa oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan RTM itu sendiri.
RTM beroperasi melalui dana cukai pendapatan yang dikutip  daripada  rakyat Malaysia bukan sahaja  penyokong Barisan Nasional malah juga penyokong  Pakatan Rakyat. Adalah tidak munasabah untuk RTM berat sebelah hanya memberi peluang kepada pihak Barisan Nasional sahaja untuk berkempen politik.  Sungguh tidak adil kerana makan wang penyokong-penyokong  Pakatan Rakyat tetapi hanya memberi peluang kepada Barisan Nasional. Ini adalah satu tindakan yang paling tidak bermaruah dan menghina kepada semua kakitangan RTM yang diperkudakan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.
Saya mencabar kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang mahu menjadi hero melalui RTM supaya memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat untuk turut berbicara.  Saya pasti tidak ada seorang pemimpin Barisan Nasional termasuk Perdana Menteri untuk menyahut cabaran ini. Mereka takut semua skandal-skandal mereka akan ke udara jika pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat diberi peluang yang sama untuk berkempen melalui RTM.
Saya cuma mahu mengingatkan kepada semua kakitangan RTM supaya jangan sentiasa mengikut telunjuk pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang sentiasa menabur fitnah. Fitnah merupakan satu dosa yang besar, orang-orang yang turut membantu menghebohkan fitnah itu juga tidak kurang dosanya.  Jalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat dengan betul dan jujur.

2 ulasan:

  1. saya dah lama setuju perkara ini, nampak saja disebabkan kerja,tapi terpalit buat dosa sepanjang hari, pembaca berita tak kan tak tu apa yg dibaca auta semata.
    analogi org jual arak, beli arak, tolong beli arak, tolong masukkan dlm gelas semuanya adlah berdosa.

    BalasPadam
  2. Tabik brother..... orang bukan islam cakap pasal dosa pahala ni kat orang melayu yang ngaku islam.. malunya akuuuuuu.... mana fatawa pembesar2 agama islam ni...

    BalasPadam