Isnin, 5 September 2011

Media Post : Mekanisme Untuk Membetulkan Dasar Lama

Kenyataan Media YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh, Timbalan Pengerusi DAP Perak di Batu Gajah pada 4 September 2011


Mekanisme Untuk Membetulkan Dasar Lama



 

Seringkali keputusan dasar yang dibuat oleh ahli-ahli politik akan mempunyai kepentingan politik dan tidak semestinya membawa hasil yang bermanfaat kepada rakyat jelata. Oleh yang demikian, banyak di antara program-program yang dilancarkan oleh kerajaan adalah indah khabar daripada rupa. Sebelum sesuatu dasar atau polisi diperkenalkan, kerajaan harus mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak yang terlibat secara langsung atau akan terjejas daripada dasar itu. Adakah tindakan ini dibuat oleh pihak kerajaan? Secara umumnya, pendapat daripada pihak yang terlibat atau terjejas biasanya tidak diberi perhitungan yang sewajarnya oleh pihak berkuasa. Dari satu perspektif, ini adalah amalan yang bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi. Adakalanya wakil rakyat juga tidak dirunding atau diminta pandangan mengenai sesuatu dasar atau projek utama yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan. Kewujudan wakil rakyat juga seringkali diabaikan atau diketepikan oleh pihak eksekutif yang berkuasa.

Sebelum merangka sesuatu dasar atau melaksanakan sesuatu projek utama yang melibatkan orang ramai, perkara itu perlu dipertimbangkan dalam pelbagai aspek dengan mendapatkan pandangan daripada pihak-pihak tertentu. Tetapi, alasan yang kerapkali diberikan oleh pihak berkuasa ialah perkara seperti ini tidak wajar dilakukan kerana ia akan mengambil masa yang lama dan tidak kos efektif. Oleh itu, kerajaan beranggapan bahawa langkah ini tidak praktikal dan boleh diabaikan. Memandangkan rakyat telah mengundi dan memilih satu kerajaan maka dianggap mandat telah diberikan kepadanya. Oleh itu, kerajaan berani mendabik dada melaksanakan apa jua tindakan atau dasar yang dirasakan sesuai untuk kepentingan politik. Perkara ini memang sukar untuk dipertikaikan kerana keputusan tersirat pilihanraya adalah memberi kuasa penuh kepada kerajaan untuk mentadbir negara ini megikut selera kerajaan yang dipilih. Tetapi, adakah sistem ini akan membawa manfaat atau faedah kepada rakyat yang memilih kerajaan itu?

Pada pandangan saya, walaupun kerajaan telah dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya, satu mekanisme diperlukan untuk memastikan dasar-dasar dan projek-projek utama yang dilaksanakan oleh kerajaan mempunyai kepentingan rakyat. Bagaimanakah perkara ini boleh dilaksanakan tanpa merugikan masa dengan nilai kos yang rendah?

Selain daripada itu, terdapat banyak dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan tetapi tidak pernah dikaji semula. Sebagai contoh Dasar Pandang Ke Timur, Bersih Cekap dan Amanah, Wawasan 2020, Islam Hadari dan lain-lain lagi. Adakah dasar-dasar ini digunapakai lagi atau telah menemui ajal semulajadi apabila berlaku perubahan dalam tampuk pimpinan negara. Semua dasar yang yang pernah dilancarkan oleh kerajaan perlu dikaji semula supaya seluruh rakyat Malaysia tahu arah tuju negara. Sekarang konsep 1Malaysia telah diperkenalkan, tetapi visi ini juga akan hilang dimakan masa apabila berlaku perubahan dalam pimpinan jemaah menteri.

Untuk menyelesaikan masalah ini kita memerlukan satu mekanisme untuk mengkaji semula dasar-dasar yang sedia ada dan mengolah dasar-dasar baru. Untuk itu, Pakatan Rakyat bercadang untuk mewujudkan Majlis Pakar-pakar (Council of Experts) jika berjaya menjadi kerajaan Pusat selepas Pilihanraya Umum ke-13. Pakatan Rakyat akan mewujudkan Majlis ini dalam isu-isu utama negara seperti ekonomi, politik dan sosial untuk merangka dasar baru dan mengemaskini dasar sedia ada agar bertepatan dan mujarab menangani kemelut negara dan masyarakat. Tindakan ini akan melancarkan lagi pentadbiran negara kerana kepentingan rakyat dan negara akan diutamakan.

1 ulasan:

  1. Salam Sejahtera YB , Saya ada satu cadangan untuk memberi satu pertologan kepada penduduk di taman-taman dan perkapungan di kawasan YB , yang saya tahu dikawasan YB seperti di Siputeh 2 dan sekitar kawasannya masih ada kawasan tanah yang terbiar . disitu juga banyak terdapat lombong dan tanah terbiar tidak di usahakan , maka saya cadangkan YB erlu usahakan supaya membangunkan kawasan tersbut sama ada lombong atau tanah terbiar tersebut boleh lah YB usehakan satu program yang boeh membantu pendapatan sampingan bagi penduduk di sekitarnya terutama taman lama RPA siputeh ramai yang berpendapatan rendah dan miskin supaya adakan pertanian berkelompok dan masukan nama-nama penduduk setempat agar mereka boleh usehakan bersama atas bantuan yang YB boleh bantu sebagai Wakil rakyat di kawasan YB itu . Apa yang saya amati sudah ada dikawasan yang telah diusehakan oleh individu yang memohon untuk pertanian dan penternakan .. tetapi tidak dirasai oleh ramai penduduk kawasan itu disebabkan mereka miskin dan tidak mampu untuk megeluarkan model... golongan ini lah yang sepatutnya kita bantu dengan mereka juga boleh usehakan bersama dengan system dan program yang di bantu keewangan dan nasihat dari pihak yang berwajib... Saya harap YB boleh turun padang pegi ke taman tersebut dan buat satu kutimpan nama dan siasat siapakah yang paling patut dibantu dalam program ini supaya boleh di bantu dengan setiap apa yang di rancangkan... Apa yang saya tahu kebanyakan penduduk miskin dari golongan kaum melayu disitu tidak tahu bagai mana untuk memohon untuk mendapat bantuan dalam apa-apa sahaja bentuk bantuan yang terdapat disitu mereka tidak tahu saluran untuk mereka dibantu .. mereka juga telah disisih dari kemajuan yang berlaku disitu.. dan diambilkesempatan itu oleh pihak yang ada duit dan tahu caranya untuk memohon apa sahaja.. Berilah mereka peluang dan ruang untuk mereka mendapat merasai sedikit kesenangan dalam kesempitan dan keperluan hidup... saya juga telah dapat maklumat pihak YB ada menyalurkan kelender tahun 2011 dari parti DAP kekawasan perumahan tersebut ..Bermakna pihak YB telah tahu kawasan dan perumahan tersebut.. Sekiranya program ini terhasil dan berjaya untuk menambah pendapatan keluarga dikawasan tersebut maka mereka akan tahu yang DAP dan wakil rakyat dikawasan mereka sedar bahawasanya mereka ujud di depan mata mereka ada juga warga miskin dan pihak yang menang dikawasan tersebut dalam pilihan raya lampau telah membawa harapa baru dan persepsi baru di kalangan penduduk melayu kepada wakil rakyat DAP dan wakil rakyat bukan melayu juga mempertahankan nasib kaum melayu yang tersisih selama ini.... Sekiranya YB mahukan pertolongan dari segi maklumat dari kawasan tersebut bolehlah berhubung ke e-mail saya budak.perak36@gmail.com atau ke mbrm.blogspot.com

    BalasPadam