Jumaat, 3 Jun 2011

Rungutan Desa Pelancongan

Kenyataan Media YB V.Sivakumar , ADUN Tronoh di Desa Pelancongan pada 2 Jun 2011

Rungutan Penduduk Desa Pelancongan

Kawasan perumahan Desa Pelancongan  ini telah dibina pada tahun 1986. Harga rumah kos rendah ini adalah lebih kurang RM45,000 pada masa itu. Ramai telah membeli rumah di kawasan itu kerana dijanjikan akan dibina 38 unit rumah kedai, padang permainan dan klinik kesihatan. Mereka telah mempercayai pemaju dan broker-broker jualan pada masa itu. Tetapi  25 tahun  sudah lalu, masih tidak dibina  rumah kedai dan menyediakan padang permainan seperti yang dijanjikan. Tapak rumah kedai dan padang permainan itu telah menjadi belukar dan ditumbuhi pokok-pokok yang besar. Saya tidak tahu kenapa pihak pemaju tidak membina rumah kedai dan menyediakan padang permainan seperti yang dijanjikan. 

Desa Pelancongan terletak di DUN Sungai Rapat. Perkara ini telah dibawa kepada perhatian Ahli Dewan Negeri Kawasan itu, Hamidah Osman, juga merupakan EXCO Kanan Kerajaan Negeri Perak. Tidak ada sebarang usaha yang diambil oleh beliau untuk menyelesaikan  masalah penduduk kawasan ini.  Kenapa kerajaan negeri  Perak masih lagi tidak menarik balik tanah yang diberikan kepada pemaju untuk membina rumah kedai dan menyediakan padang permainan itu? 

Adakah pemaju menyimpan tapak tanah tersebut selama ini  semata-mata untuk menaikkan nilai tanah? Apabila nilai tanah menjadi tinggi, maka projek itu disambung semula untuk mendapat keuntangan yang lumayan. Mesti ada udang disebalik batu. “Saya hairan kenapa kerajaan negeri masih tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap pemaju yang gagal melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan?” Kata V.Sivakumar, ADUN Kawasan Tronoh. 

Selain daripada itu 13 unit rumah juga masih tidak dibina lagi. Tapak ini adalah sebaris dengan rumah yang dijadikan sebagai ‘show house’ ketika  itu. Terdapat tapak kosong untuk 13 unit rumah dalam barisan rumah teres itu. Tapak itu juga telah ditumbuhi pokok-pokok besar dan menjadi semak samun. Tidak ada mana-mana pihak yang datang membersihkan kawasan ini. Penduduk kampung ini berada dalam ketakutan kerana sering kali mereka melihat  ular sawa dan ular tedung berkeliaran di kawasan perumahan itu. Ada juga seorang pengadu berkata rumahnya pernah dimasuki ular sebanyak 3 kali. Penduduk Desa Pelancongan risau akan keselamatan anak-anak mereka yang bermain di luar  atau diperkarangan  rumah mereka.

Selain daripada itu, pihak Majlis Daerah Batu Gajah juga tidak membersihkan longkang-longkang di hadapan dan di belakang rumah mereka. Longkang tersumbat dan air kotor bertakung di situ. Bau busuk serta menjadi tempat pembiakan nyamuk. Menurut seorang lagi pengadu, mereka tidak boleh keluar rumah pada waktu lewat petang kerana takut diserang nyamuk yang begitu banyak. Perkara ini perlu dipandang serius oleh Majlis Daerah Batu Gajah dan Pejabat Kesihatan Kinta kerana ia melibatkan kesihatan dan keselesaan penduduk kawasan ini. “saya berharap pihak kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya dalam menyelesaikan masalah rumah kedai, padang permainan dan 13 unit rumah yang masih tidak dibina. Tambahan pula, kesihatan penduduk kawasan ini juga tidak boleh diabaikan. Oleh yang demikian pihak Majlis Daerah Batu Gajah harus membersihkan kawasan ini dalam kadar yang segera”, Kata V.Sivakumar lagi.

1 ulasan:

  1. Desa Pelancongan juga adalah antara kawasan hitam jenayah khasnya dadah. Yang ini pun Siva kena tolong.

    Banyak keciciran berlaku di sini khasnya bila PAS mula bertapak beberapa tahun dulu.

    BalasPadam