Rabu, 1 Jun 2011

Perlu Dewan Serbaguna Di Siputeh, Batu Gajah


Kenyataan Media YB V.Sivakumar , ADUN Kawasan Tronoh pada 1 Jun 2011 di Siputeh, Batu Gajah.

Perlu Dewan Serbaguna  di Siputeh
Dewan Serbaguna adalah merupakan satu keperluan terutamanya di kawasan-kawasan yang padat dengan penduduk. Dewan itu boleh digunakan untuk mengadakan pelbagai program kemasyarakatan, majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan , sambutan perayaan  dan sebagainya. Jika tidak, penduduk kawasan itu terpaksa mengadakan majlis-majlis itu di tempat-tempat yang  lebih jauh. Ini akan menyusahkan penduduk setempat. 

Dewan Serbaguna juga boleh digunakan untuk aktiviti-aktiviti sukan dan rekreasi yang lain. Ini akan mengeratkan hubungan masayrakat setempat . Dalam pada itu, dewan itu juga boleh digunakan oleh belia-belia untuk tujuan yang lebih berfaedah dan mengelak daripada aktiviti-aktiviti yang membinasa.

Penduduk Siputeh Mas  dan Siputeh Permai, Batu Gajah pernah memohon untuk sebuah Dewan Serbaguna  untuk kegunaan bersama di kawasan itu pada tahun 2009 melalui Pejabat Pembangunan Luar Bandar, Batu Gajah.  Permohonan ini dibuat memandangkan ia menjadi satu keperluan kepada penduduk kawasan ini.

 Dianggarkan terdapat lebih kurang  700 unit rumah di kedua-dua taman itu.  Kawasan ini juga padat dengan penduduk iaitu lebih daripada 2500 orang. Oleh yang demikian adalah wajar untuk penduduk kawasan itu untuk memiliki satu dewan serbaguna. 

Permohonan mereka tidak mendapat maklum balas daripada kerajaan negeri. Wakil-wakil penduduk daripada kedua-dua taman ini pernah berjumpa dengan saya berhubung dengan masalah ini. Kami pernah bermesyuarat sebanyak dua kali sebelum ini. Mereka merayu supaya kerajaan negeri prihatin terhadap niat mereka untuk memiliki satu dewan serbaguna di kawasan itu. 

Perkara ini telah dibangkitkan oleh Ahli Dewan Negeri kawasan Selinsing, Tuan Haji Husin Bin Haji Din secara soalan bertulis pada  Persidangan Dewan Negeri 3hb Ogos 2010.  Jawapan yang diberikan oleh Dewan adalah seperti berikut :

‘Dewan Orang Ramai untuk kawasan Siputeh Mas dan Siputeh Permai, Batu Gajah akan dipertimbangkan pembinaannya melalui peruntukan RMK-10 yang dipohon daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM75.2 juta bagi seluruh negeri’.

Kerajaan Negeri sudah tentu telah  menerima peruntukan yang dipohon daripada Kerajaan Persekutuan. Oleh yang demikian adalah wajar untuk meluluskan projek pembinaan dewan serbaguna di kawasan Siputeh seperti yang dijanjikan. Saya difahamkan bahawa tidak ada apa-apa maklum balas berhubung dengan pembinaan dewan  sehingga hari ini. Oleh yang demikian, saya memohon supaya kerajaan negeri mempertimbangkan dan meluluskan permohonan ini untuk kepentingan penduduk Siputeh dan sekitarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan