Isnin, 30 Mei 2011

DAP Tidak Pernah Hilang Sokongan Kaum India

Kenyataan Akhbar YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak dan ADUN Kawasan Tronoh, 29 Mei 2011 di Batu Gajah.

Saya rasa sungguh kecewa dengan kenyataan yang dibuat oleh Presiden MIC Datuk G Palanivel bahawa ramai di kalangan ahli-ahli DAP telah keluar parti dan memasuki MIC. Ini adalah satu kenyataan yang tidak benar sama sekali. Mungkin ada beberapa orang yang keluar dari parti pembangkang kerana tidak tercapai agenda tersendiri. Perkara Ini tidak dapat dielakkan. Tetapi, ini tidak bermakna DAP dan parti-parti pembangkang yang lain telah hilang sokongan kaum India di negara ini.

Saya juga boleh membuktikan bahawa terdapat peningkatan dalam jumlah ahli DAP baru dari kalangan kaum India di seluruh negara. Ini menunjukkan bahawa semakin ramai yang menaruh harapan dan percaya kepada perjuangan DAP dan parti-parti pembangkang yang lain. Datuk G. Palanivel cuba mengelirukan rakyat dengan mengeluarkan fakta-fakta yang tidak berasas. Mungkin ada beberapa orang yang keluar parti pembangkang kerana kepentingan diri sendiri atau tujuan lain. Mereka ini bukan berniat untuk memperjuangkan masa hadapan seluruh rakayat Malaysia.

Jumlah ini tidak boleh diambil kira sebagai asas dalam tomahan beliau yang menyatakan bahawa ramai yang telah keluar daripada DAP dan parti-parti pembangkang yang lain. Saya meminta supaya Presiden MIC berhenti mengelirukan rakyat dengan fakta-fakta yang tidak benar. Tujuan beliau membuat kenyataan ini adalah semata-mata untuk meyakinkan para pimpinan UMNO bahawa MIC mula mendapat sokongan kaum India. Jika tidak MIC akan dianggap sebagai sejarah dan riwayatnya akan dimatikan oleh UMNO dalam pilihanraya akan datang. MIC sudah hilang tempat di hati UMNO. Ini dibuktikan dengan kenyataan Datuk Seri Nazri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bahawa MIC tidak perlu diberi mana-mana kerusi untuk bertanding di Negeri Perak dalam Pilihanraya Ke 13.

DAP berjaya menarik perhatian dan sokongan kaum India di negara ini. Kami telah menubuhkan banyak cawangan–cawangan baru di seluruh Malaysia. Perjuangan DAP adalah untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Pendekatan DAP telah diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Persoalannya, dari manakah Datuk G Palanivel mendapat angka 20000 orang dari parti-parti pembangkang telah memasuki MIC sedangkan terdapat pertambahan dalam jumlah keahlian kaum India dalam DAP dalam tempoh 3 tahun kebelakangan ini?

Datuk G.Palanivel juga berkata MIC merupakan satu-satunya parti yang memperjuangkan dan membela kepentingan kaum India di negara ini. Beliau masih dalam alam khayalan. Nasib parti MIC itu sendiri pun masih tidak terbela. Dalam keadaan itu, bagaimanakah mereka akan membela nasib kaum India?

MIC tidak lagi relevan di negara kita. MIC merupakan satu parti yang telah hilang kepercayaan kaum India. Dalam pilihanraya yang lepas rakyat Malaysia telah menolak MIC di kebanyakan tempat yang mereka bertanding. Ini adalah kerana kegagalan parti itu untuk memperjuangkan kepentingan kaum India selama ini.

Sekarang mereka cuba menipu rakyat dengan pelbagai taktik kotor untuk kembali berkuasa. Kalau benar MIC memperjuangkan hak orang-orang India di negara ini, maka saya meminta Datuk G. Palanivel untuk menjawab soalan-soalan seperti berikut :

1) Kenapa MIC gagal untuk menjadikan mata pelajaran sastera Tamil SPM sebagai satu matapelajaran yang boleh diambil kira untuk kemasukan pengajian tinggi dan biasiswa?

2) Kenapa MIC tidak berjaya mengeluarkan novel Interlok dari sukatan pelajaran SPM walaupun buku itu telah menghina kaum India dan mendapat tentangan hebat daripada orang ramai?

3) Kenapa ramai di antara pelajar-pelajar cemerlang dalam SPM tidak diberi biasiswa luar negeri? MIC sepatutnya berasa malu untuk meminta pelajar-pelajar itu untuk membuat rayuan semula.

4) Kenapa pemimpin-pemimpin utama MIC berdiam diri apabila Ibrahim Ali mengugut mereka supaya jangan campurtangan berhubung dengan isu biasiswa JPA?

5) Kenapa MIC masih tidak dapat menyelesaikan masalah gaji minima yang dituntut oleh pekerja-pekerja ladang?

6) Kenapa MIC tidak mengambil langkah bantahan yang kuat apabila Nasir Safar, orang kanan kepada Perdana Menteri berkata, “Orang-orang India datang ke negara ini untuk meminta sedekah”?

7) Kenapa tidak ada apa-apa reaksi daripada pimpinan utama MIC apabila beberapa orang pemimpin UMNO berkata mereka boleh menang pilihanraya tanpa undi daripada orang-orang India?

8) Kenapa MIC tidak memastikan jumlah pengambilan pekerja India yang secukupnya dalam sektor awam di seluruh negara? Setiap kali apabila isu ini dibangkitkan, pemimpin MIC akan ‘cakap besar tapi terbukti tin kosong’.

9) Kenapa masih terdapat banyak lagi sekolah-sekolah Tamil bantuan modal di negara kita? MIC tidak dapat menyelesaikan masalah sekolah tamil ini dalam tempoh berpuluh-puluh tahun.

10) Kenapa ekuiti kaum India menurun dan tidak pernah bertambah dalam tempoh 50 tahun yang lalu? Adakah ini satu pencapaian yang boleh dibanggakan oleh MIC?

Datuk G Palanivel harus menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan ini sebelum berani tepuk dada mengatakan kaum India menyokong perjuangan MIC sekarang. Jika tidak beliau dan pemimpin-pemimpin MIC harus berasa malu kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak bernas itu.

1 ulasan:

  1. kah kah kah,datuk G mana tahu semua isu ini,beliau hanya berjuang untuk dirinya sendiri,lihatlah pengorbanan beliau semasa PRK Hulu Selangor dan hasilnya sekarang beliau mendapat kerusi senator.Pemimpin macam ini merugikan kaum India malah memalukan kaumya sendiri.

    BalasPadam