Isnin, 14 Jun 2010

Istana Negara Baru Bernilai RM811 Juta


Kenyataan media Ahli Parlimen kawasan Taiping, YB Tuan Nga Kor Ming di Dewan Rakyat pada 14-6-2010

(Kuala Lumpur 14hb Jun, 2010)

Ahli Parlimen Kawasan Taiping Nga Kor Ming hari ini melahirkan perasaan amat terkejut apabila Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa kontrak sebanyak RM811 juta untuk pembinaan Istana Negara Baru tidak dijalankan dengan sistem tender terbuka sebaliknya ia dikurniakan secara rundingan terus.
Nga Kor Ming, ketika membangkitkan soalan lisan di Dewan Rakyat pagi ini berkata, mengikut arahan perbendaharaan, setiap perolehan dan pembelian awam oleh kerajaan melebihi RM200,000 perlu dijalankan secara sistem tender terbuka, tetapi pembinaan Istana Negara yang merupakan lambang kemegahan Negara dan tempat bersemayam DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan DYMM Permaisuri Agong telah gagal menepati garis panduan perbendaharaan.
Nga berasa terkejut dimana kos projek itu melambung naik lebih 100% dalam tempoh 5 tahun. Menurut beliau, bekas Menteri Kerja Raya, Dato Seri Samy Vellu, ketika mengumumkan pembinaan Istana Negara pada tahun 2006, nilai harga projek tersebut adalah sekitar RM400 juta. Bagaimanapun, kini kosnya telah melambung naik menjadi RM811.2 juta, satu peningkatan yang mengejut. Beliau berasa bimbang samada kos melambung naik kerana tidak ada tender terbuka sebaliknya ketiga-tiga komponen projek diberikan secara rundingan terus kepada Syarikat Maya Maju dan Syarikat Ahmad Zaki Berhad.
Nga membidas kerajaan BN dengan amalan rundingan terus yang jelas bercanggah dengan New Economic Model(NEM) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sendiri pada April, tahun ini.
Nga dalam soalan tambahannya juga berkata, mengambil ikhtibar dari kejadian keruntuhan Bangunan Stadium Batu Buruk di Terengganu yang menelan belanja RM280 juta pada 2009, kerajaan perlu menyediakan ciri-ciri keselamatan yang sempurna untuk memelihara keselamatan kerabat Diraja dan orang kenamaan Negara. Beliau menggesa supaya bangunan Istana Negara baru yang bakal menjadi mercu tanda Negara seharusnya juga mematuhi garis panduan Green Development Guideline, sejajar dengan wawasan membela Alam Sekitar.

Bangunan Stadium Batu Buruk di Terengganu yang menelan belanja RM280 juta runtuh berkecai apabila hanya diguna pakai lebih kurang 10 bulan.

Nga Kor Ming juga menyarankan Bangunan Istana Negara sedia ada yang dibina pada tahun 1928 dan diwartakan sebagai Istana Negara pada 1957 perlu dibela sebagai Bangunan Warisan Negara dan tidak boleh diabaikan sebagai satu lagi projek “Gajah Putih” yang menjadi usang dan terbengkalai setelah bangunan baru siap.

Nga Kor Ming
Ahli Parlimen Taiping/P060

1 ulasan:

  1. DI SANA BERKATA HENDAK BERJIMAT BAGI MENGELAKKAN NEGARA MUFLIS, DISITU MEMBANGUN BANGUNAN YANG BERNILA 800 JUTA DIMANA IA CUKUP UNTUK MENAMPUNG BEBAN RAKYAT UNTUK TEMPOH 5 TAHUN.... SIAPAKAH BENDAHARA YANG BERWIBAWA YANG MEMBUAT PENGIRAAN SEBEGITU?

    MOHON AMPUN BERIBU RIBU AMPUN...

    BalasPadam