Isnin, 4 Januari 2010

Masalah Gunung Hijau Selesai


Kenyataan Media YB V.Sivakumar di Gunung Hijau, Pusing.

Estet Gunung Hijau Dicahayakan Semula Sempena Tahun Baru

Estet Gunung Hijau di Pusing diuruskan oleh Jawatankuasa Kecil MCA dari awal-awal lagi. Di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat, kawasan ini dicadangkan supaya ia diletakkan dibawah seliaan Majlis Daerah Batu Gajah. Beberapa perbincangan dan rudingan diantara penduduk Estet Gunung Hijau dengan ahli-ahli Maljis Daerah Batu Gajah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh V.Sivakumar telah diadakan pada tahun 2008. Hasil daripada perbincangan tersebut, penduduk kawasan ini telah bersetuju untuk meletakkan Estet Gunung Hijau ini dibawah seliaan penuh Majlis Daerah Batu Gajah. Akhirnya pada bulan Jun 2009 Estet Gunung Hijau mula diuruskan dibawah bidang kuasa kerajaan tempatan.

Walau bagaimanapun, terdapat satu isu yang masih tidak terselesai. Lampu-lampu jalan di kawasan Estet Gunung Hijau ini tidak berfungsi kerana bekalan elektrik telah dipotong oleh Tenaga Nasional Berhad pada bulan Julai 2009. Ini adalah kerana pihak Jawatankuasa Kecil MCA gagal menjelaskan bil elektrik yang tertunggak sejak bulan Mac tahun 2008. Akibatnya penduduk di kawasan ini terpaksa menggunakan jalan-jalan yang gelap selama beberapa bulan. Masalah ini telah dibawa kepada perhatian V.Sivakumar. Beliau telah mengadu masalah ini kepada pihak Majlis Daerah Batu Gajah. Beliau juga telah menjadi orang tengah diantara Majlis Daerah Batu Gajah dan Tenaga Nasional Berhad dalam menyelesaikan masalah ini.

Akhirnya, pihak Majlis Daerah Batu Gajah dengan sesungguhnya bersetuju untuk menjelaskan bil tunggakan tersebut kepada Tenaga Nasional Berhad. Bil berjumlah RM1430.57 telah dijelaskan oleh Majlis pada 24 Disember 2009. Pada 31 Disember 2009, V.Sivakumar telah berjumpa dengan pihak atasan di Tenaga Nasional Berhad Batu Gajah dan meminta supaya masalah lampu jalan itu diselesaikan pada hari itu juga. Pihak Tenaga Nasional Berhad telah bersetuju dan bertindak dengan segera.

Pada 31 Disember 2009, iaitu sehari sebelum tahun baru, jalan-jalan di Estet Gunung Hijau telah dicahayakan semula. Penduduk-penduduk dikawasan ini mengucapkan terima kasih kepada Majlis Daerah Batu Gajah kerana prihatin terhadap keselamatan mereka dan pada masa yang sama sudi membayar bil tunggakan elektrik. Mereka juga mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan Tenaga Nasional Berhad yang terlibat dalam menyelesaikan masalah ini dengan cepat dan menyerikan lagi tahun baru 2010.


V.Sivakumar
3 Disember 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan