Sabtu, 12 Julai 2014
Prinsip Meritokrasi Yang Tulen Diperlukan Jika Kerajaan Benar-benar Mahu Melihat Malaysia Mencapai Tahap Kecemerlangan Dalam Bidang Pendidikan
Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 23 Jun 2014 di Ipoh
Pengambilan pelajar untuk mengikuti program matrikulasi adalah tidak adil. Walaupun pada dasarnya dikatakan pengambilan dibuat berasaskan meritokrasi, tetapi dari segi praktiknya ia tidak dilaksanakan. Cara pengambilan pelajar-pelajar matrikulasi adalah bertentangan dengan konsep Gagasan 1Malaysia.
Kementerian Pendidikan telah menanam semangat perkauman kepada anak-anak kita dari awal-awal lagi. Pelajar-pelajar di bangku sekolah telah merasakan adanya diskriminasi yang keterlaluan dalam bidang pendidikan negara ini. Ramai diantara mereka telah mengalami tekanan yang melampau dan patah semangat kerana dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional.
Semangat perkauman tidak seharusnya ditanam di jiwa anak-anak kita jika kerajaan benar-benar berhasrat untuk mewujudkan integrasi nasional. Dengan adanya dasar pendidikan yang terang-terang mendiskriminasi golongan tertentu, maka inilah akan menjadi punca perpecahan kaum di negara ini. Anak-anak kita dididik dengan suasana perkauman dan diskriminasi yang tidak sihat. Mereka merasakan seolah-olah ada warganegara kelas 1 dan kelas 2 di negara ini. Selagi sistem seperti ini wujud, hasrat untuk mewujudkan perpaduan dan semangat muhibbah adalah seperti air ditaung di atas daun keladi.
Cuba lihat cara pemilihan pelajar-pelajar ke Program Matrikulasi dibuat seperti yang diterangkan oleh Menteri Pendidikan bagi satu soalan lisan Dewan Rakyat pada 17 Jun 2014. Kriteria-kriteria pemilihan pelajar ke Program Matrikulasi adalah seperti berikut: -
1) Hanya calon yang memohon dan melepasi syarat kelayakan minimum layak dipertimbangkan ke Program Matrikulasi
2) Pemilihan pelajar adalah mengikut sistem meritrokrasi iaitu gabungan 90% akademik dan 10% kokurikulum - purata markah dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5.
3) Jumlah pengambilan mengikut kepada 90% diperuntukan kepada pelajar Bumiputera dan 10% kepada pelajar Bukan Bumiputera.
4) Program Matrikulasi menawarkan dua jurusan iaitu Jurusan Sains dan Jurusan Perakaunan
5) Pengambilan hanya dibuat sebanyak dua kali sahaja. Sekiranya jumlah pelajar yang mendaftar pada ambilan pertama kurang maka tawaran kedua dibuat berdasarkan kekosongan tempat dan jurusan untuk mencukupkan tempat yang tersedia.
6) Tiada ambilan ketiga dibuat
7) Semua pelajar akan ditempatkan secara merata berdasarkan keseimbangan kaum dan negeri di semua kolej matrikulasi atas konsep Gagasan 1Malaysia.
Inilah jawapan yang diberikan secara bertulis oleh Menteri Pendidikan. Beliau berusaha untuk menunjukkan adanya penerapan nilai-nilai 1Malaysia dalam pemilihan pelajar-pelajar ke Program Matrikulasi, tetapi gagal berbuat demikian. Sesiapa sahaja yang membaca jawapan itu akan faham dan akan mengaku bahawa wujudnya penindasan yang serius dalam sistem pendidikan kita.
Ramai diantara pelajar-pelajar cemerlang tidak mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran mereka di pusat-pusat Matrikulasi kerana sistem yang tidak adil ini. Walaupun mereka ini adalah pelajar-pelajar cemerlang tetapi hasrat dan cita-cita mereka itu dikuburkan oleh kerajaan ini secara kejam dan tidak prihatin.
Pendidikan tidak boleh dijadikan bahan politik. Pendidikan yang adil dan sama rata harus dijadikan teras dalam Dasar Pendidikan Negara. Kerajaan harus menggalakkan prinsip meritokrasi yang tulen supaya mutu pendidkan negara meningkat. Meritokrasi akan meningkatkan prestasi pendidikan setiap pelajar tanpa mengira kaum dan agama. Tambahan pula, peningkatan pencapaian ini juga akan membawa pendidikan negara kita kepada tahap kecemerlangan yang dipuji di arena antarabangsa.
Saya mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas di peringkat Parlimen bagi mengkaji semula cara pengambilan pelajar ke IPTA secara umumnya dan Matrikulasi secara khususnya. Ini adalah penting untuk mengharumkan nama baik negara melalui keunggulan sistem pendidikan kita.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan