Isnin, 23 Jun 2014

Status Ekonomi Kaum India Yang Lemah Berpunca Dari Kegagalan MIC Untuk Berjuang Secara Jujur Selama Lebih 50 Tahun


  Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 22 Jun 2014 di Sungai Siput

 Ramai di kalangan masyarakat India hidup dalam kesusahan. Status sosio-ekonomi mereka masih tidak mencapai satu tahap yang memuaskan. Kaum India di negara ini boleh dianggap diantara golongan yang paling tertindas.

Kerajaan Barisan Nasional telah melupakan segala sumbangan yang diberikan oleh kaum India dalam pembangunan negara ini sejak sebelum mencapai kemerdekaan lagi. Pembangunan sosio -ekonomi kaum India telah diabaikan walaupun negara telah mencapai kemerdekaan lebih 50tahun. Setengah abad telah berlalu tetapi masyarakat India masih tidak dapat melihat cahaya di hujung jalan.

Tidak ada siapa yang mempedulikan kaum India termasuk parti politik kaum India iaitu MIC yang kononnya berjuang untuk hak dan kesejahteraan kaum India di negara ini. Jika parti itu telah benar-benar berjuang untuk meningkatkam status sosio -ekonomi, saya yakin kaum India tidak perlu merana seperti sekarang ini.

Parti MIC harus mengaku kelemahan mereka yang gagal membantu masyarakat India di negara ini. Terdapat segelintir kroni MIC yang telah berjaya dan mewah, tetapi pencapaian mereka itu tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur untuk menggambarkan status keseluruhan kaum India di negara ini.

Walau bagaimanapun, terdapat juga segelintir dari kalangan masyarakat India yang telah berjaya dalam hidup dengan mereka usaha sendiri. Mereka tidak mendapat bantuan daripada MIC ataupun mana-mana pihak yang lain. Kejayaan mereka itu bukan kerana hasil usaha parti MIC ataupun Barisan Nasional.

Golongan elit ini tidak mahu campurtangan dalam hal-ehwal politik negara kita kerana langsung tidak menaruh kepercayaan terhadap pentadbiran negara ini. Mereka lebih berminat untuk kekal neutral dan beranggapan bahawa politik adalah kotor dan busuk. Mereka ini sedang mengecapi kehidupan yang mewah dan boleh dianggap telah berjaya dalam karier yang mereka pilih.

Saya tidak khuatir dengan golongan elit ini kerana mereka telah berjaya mencari dan menentukan status mereka di dalam masyarakat majmuk ini. Saya amat risau melihat masa hadapan sebilangan besar dari kalangan kaum India yang masih tidak mempunyai pedoman.

Mereka hidup dalam keadaan serba kemiskinan.  Golongan tertindas ini tidak mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana pihak. Mereka ini menimbulkan pelbagai  gejala sosial disebabkan keperitan hidup. Masalah yang dihadapi oleh mereka ialah :-

 1) Terpaksa tinggal di kawasan setinggan yang tidak mempunyai kemudahan asas.

 2) Mengalami keperitan kerana terpaksa hidup dalam kekurangan sumber kewangan dan tanggungan  yang tinggi

 3) Pendapatan yang terlalu rendah kerana bekerja sebagai buruh kasar atau tenaga tidak mahir

 4) Memiliki tahap  pendidikan yang rendah atau tidak mempunyai apa-apa kelayakan akademik mahupun  vokasional

 5) Tidak mempunyai dana ataupun tabungan untuk masa hadapan  dan bagi menghadapi keadaan kecemasan yang tidak menentu

 6) Tidak ada harapan pekerjaan yang baik di  masa hadapan di sektor awam dan sektor swasta, terpaksa bersaing dengan pendatang asing

7) Gagal mengambil inisiatif untuk meningkatkan pendapatan kerana tidak ada peluang-peluang perniagaan dan bantuan kewangan yang dibuka untuk mereka

8) Tidak ada semangat untuk bersaing dengan kaum-kaum lain kerana keyakinan jati diri yang rendah.

Golongan ini memerlukan  bantuan daripada pihak kerajaan untuk meningkatkan sosio-ekonomi mereka. Tetapi, sehingga sekarang banyak janji-janji kosong yang telah  ditaburkan tidak ditunaikan oleh kerajaan. Sebagai contoh, perjanjian atau MOU yang ditandatangani oleh  Barisan Nasional dan  Hindraf sebelum PRU13 tidak dilaksanakan sehingga ke hari ini.

'Blue Print' yang dijanjikan itu telah diabaikan oleh kerajaan Barisan Nasional selepas pilihanraya dan memberi perhatian dalam agenda mereka mencapai perkara-perkara lain. Sekali lagi,  kaum India telah jatuh di dalam perangkap Barisan Nasional. Mereka  menjadi mangsa yang tertipu  dengan  janji-janji kosong pilihanraya.

Masyarakat India masih  mengharapkan supaya Barisan Nasional sebagai kerajaan hari ini menyelesaikan masalah sosio-ekonomi mereka. Jika, kerajaan dan MIC gagal untuk membawa apa-apa perubahan, maka kaum India tidak akan berfikir panjang untuk mengubah mereka dalam PRU14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan