Sabtu, 12 Julai 2014

“2000 ekar tanah untuk sekolah-sekolah Tamil Di Perak akan ghaib seperti 1000 ekar tanah di Johor jika diberi kepada MIC untuk diuruskan”.


Kenyataan Media YB.V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 01Julai 2014 di Batu Gajah

Kenapa MIC dan kerajaan Negeri Perak sudah senyap semula mengenai isu 2000 ekar tanah yang diberikan kepada sekolah-sekolah Tamil. Saya merasakan pihak MIC adalah terlalu lembab dalam menangani isu ini.
Selepas kerajaan Perak dirampas olen BN pada tahun 2009, MIC dengan begitu gopoh sekali telah membuat pengumuman bahawa kerajaan Perak telah memberikan 2000 ekar tanah untuk pembangunan dan kemajuan sekolah-sekolah Tamil.

Tujuan mereka adalah untuk memperkecilkan Pakatan Rakyat. MIC pula mahu menjadi hero di kaca mata rakyat terutamanya kaum India. Tetapi, terbukti suara-suara lantang mengkritik Pakatan Rakyat pada hari ini semuanya adalah tin kosong sahaja.

Sekarang kita sudahpun masuk ke pertengahan tahun 2014. Sehingga hari ini MIC dan kerajaan Barisan Nasional Perak masih tidak dapat menyelesaikan masalah 2000 ekar tanah yang disediakan untuk sekolah-sekolah Tamil.
Saya amat risau dan bimbang bahawa masyarakat India akan kehilangan 2000 ekar tanah yang dijanjikan itu.  Saya tidak percaya MIC akan  menyelesaikan masalah ini secara jujur.  Mungkin ada udang disebalik batu. saya lihat perkara ini  sengaja dilambat-lambatkan oleh pihak-pihak yang tertentu.

Saya tidak nampak apa-apa usaha murni yang dilakukan oleh MIC untuk membolehkan tanah itu digunakan bagi  kepentingan sekolah-sekolah Tamil. Mungkinkah mereka sedang mencari jalan bagaimana menghilangkan 2000 ekar tanah ini?Saya tidak mahu melihat satu lagi skandal tanah yang melibatkan MIC dan Barisan Nasional di bumi Perak.Ini adalah tanah yang diberikan untuk sekolah-sekolah Tamil yang berada dalam keadaan yang cukup uzur.  Saya cukup khuatir tanah ini juga akan ghaib seperti 1000 ekar tanah yang MIC hilangkan di negeri Johor.

Setakat ini, MIC dan Kerajaan Barisan Nasional Negeri Peraktelah  gagal untuk membuat laporan progresif berhubung dengan tanah yang diberikan itu. Saya mendesak supaya Menteri Besar Perak Dato Seri Zambry Abdul Kadir tidak lagi senyap berhubung dengan masalah 2000 ekar tanah ini. Saya mahu kerajaan negeri Perak menerangkan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan setakat ini.

Masyarakat India tidak nampak apa-apa perkembangan dalam isu yang dibangkitkan. Lima setengah tahun telah berlalu tetapi isu ini tidak dapat diselesaikan lagi. Jika saya tidak membangkitkan isu ini sekali lagi, perkara ini tidak akan dipedulikan. Masing-masing akan tidur nyenyak tanpa menghiraukan isu tanah ini dan keadaan sekolah-sekolah Tamil yang uzur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan