Sabtu, 12 Julai 2014

Apakah Bantuan Yang Diterima Oleh Peniaga-peniaga Pasar Malam Kaum India? Harapkan MIC Mungkin 50 Tahun Lagi Status Ekonomi Kaum India Tidak Akan Berubah.



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 26/6/2014 di Ipoh

Peniaga-peniaga kecil biasanya tidak mempunyai modal untuk mengembangkan perniagaan mereka. Pasar malam merupakan satu bentuk perniagaan kecil-kecilan tetapi menglibatkan sejumlah peniaga yang begitu ramai di negara kita.

Oleh kerana  peniaga-peniaga pasar malam  tidak mempunyai slip gaji atau pengesahan majikan adalah sukar sekali untuk mereka mendapat apa-apa bantuan atau pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan. Mereka terpaksa bergantung kepada pusingan modal sendiri untuk menjalankan aktiviti perniagaan mereka.

Walau bagaimanapun, bagi membantu peniaga-peniaga pasar malam ini,  Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui Majlis Amanah Raya (MARA) menyediakan Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan  bagi  usahawan Bumipurera. Komponen pembiayaan yang dibiayai adalah pembelian mesin atau peralatan, modal pusingan dan ubahsuai premis perniagaan.

Bantuan seperti ini adalah baik kerana dapat meringankan beban peniaga-peniaga pasar malam dari kalangan kaum Bumiputera. Selain daripada itu, usaha seperti ini juga akan menggalakkkan lebih ramai peniaga baru menceburi aktiviti perniagaan pasar malam. Hasilnya, dapat mempergiatkan dan mempelbagaikan aktiviti-aktiviti ekonomi negara kita. Ini juga merupakan satu cara untuk membasmi kemiskinan yang dianggap sebagai  masalah kebangsaan yang serius pada masa ini.

Tetapi, kerajaan Barisan Nasional terutamanya MIC gagal membantu peniaga-peniaga kaum India yang telah berkecimpung dalam perniagaan pasar malam  melalui skim-skim seperti ini. Peniaga-peniaga ini tidak mendapat  bantuan daripada kerajaan dalam apa jua bentuk usaha meningkatkan  dan mengembangkan perniagaan mereka. Agenda ekonomi kaum India telah dilupakan sama sekali oleh Barisan Nasinal mahupun MIC iaitu  parti yang kononya memperjuangkan hak  kaum India itu sendiri.

Modal yang terhad menyebabkan mereka gagal untuk memperluaskan komitmen perniagaan mereka. Selain daripada itu, ketiadaan insentif daripada kerajaan juga menjadi satu faktor ataupun  halangan  kepada anak-anak muda berbangsa India untuk melibatkan diri dalam perniagaan pasar malam.

Selain daripada itu, peniaga-peniaga pasar malam dari kalangan kaum India juga jarang sekali mendapat peluang untuk mengikuti Program Latihan Keusahawanan seperti yang dilaksanakan oleh MARA untuk kaum Bumiputera. Antara program-program di bawah latihan keusahawanan  meliputi kursus, latihan, seminar, bengkel bagi input pendedahan, pengetahuan dan kemahiran di tahap pembudayaan keusahawanan, pewujudan usahawan baru serta peningkatan dan pengukuhan usahawan sedia ada.


Bukankah program-program seperti ini juga harus diturunkan kepada peniaga-peniaga pasar malam kaum India yang miskin? MIC tidak mengambil apa-apa langkah untuk membuka peluang-peluang perniagaan seperti ini kepada kaum India. Inilah punca kegagalan kaum India terutamanya dalam sektor perniagaan.

Adalah tidak wajar lagi untuk  mengharapkan pihak MIC  membantu peniaga-peniaga pasar malam dari kalangan kaum India yang miskin. Oleh yang demikian, saya cadangkan kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah supaya menubuhkan agensi baru ataupun menggunakan mana-mana agensi yang sedia ada untuk menyalurkan dana bantuan perniagaan kepada peniaga-peniaga kecil pasar malam berbangsa India yang sangat memerlukan. Dengan cara yang demikian, status sosio-ekonomi keluarga  peniaga-peniaga pasar malam ini dapat ditingkatkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan