Khamis, 17 Julai 2014

Tambahkan Peruntukan Untuk Pembangunan Pendidikan Dan Kemajuan Sosio Ekonomi Orang Asli Dalam Belanjawan 2015



Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 14 Julai 2014 di Batu Gajah


Orang Asli di negara kita dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan orang asli adalah sama dengan orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Mereka mempunyai hak di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Di bawah Perkara ini, hak Orang Asli, anak-anak dan keturunan mereka dijamin oleh Yang di-Pertuan Agong.

Tetapi, pada hakikatnya keadaan hidup golongan ini sentiasa terancam di bawah sistem pentadbiran yang ada sekarang ini. Orang asli adalah antara yang paling tertindas dari segi pembangunan sosio-ekonomi negara ini. Kerajaan tidak mempunyai niat secara ikhlas untuk membantu golongan yang termiskin ini.

Masalah keciciran murid Orang Asli adalah terlalu tinggi. Ramai diantara anak Orang Asli gagal untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah. Ini merupakan satu cabaran kepada negara untuk mengatasinya. Kerajaan harus mengambil segala inisiatif untuk memberi kesedaran kepada ibubapa anak-anak ini tentang pentingnya pendidikan untuk masa hadapan mereka.

Walaupun ada kemudahan infrastruktur pendidikan yang telah disediakan oleh kerajaan tetapi masalah keciciran murid Orang Asli masih dalam tahap yang amat membimbangkan. Pada masa ini, lebih kurang 31 peratus anak-anak Orang Asli di seluruh negara gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah. Statistik ini perlu diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri.

Apakah alasan untuk keciciran ini? Satu daripada sebabnya ialah lokasi sekolah yang jauh daripada kampung mereka. Masalah ini perlu diatasi oleh kerajaan dengan membina sekolah-sekolah baru. Pusat pendidikan seperti sekolah rendah dan menengah wajar dibina berhampiran dengan penempatan Orang Asli. Selain daripada itu, kerajaan juga harus menempatkan guru-guru yang berdedikasi dan prihatin terhadap kebajikan dan kemajuan Orang Asli.

Sebahagian besar daripada kaum Orang Asli hidup di bawah paras kemiskinan dan terpaksa meneruskan kehidupan mereka dengan aktiviti ekonomi hutan. Inilah merupakan faktor penting yang menyebabkan mereka gagal memberi keutamaan kepada pendidikan anak-anak yang masih di bangku sekolah.. Tekanan ekonomi yang melarat menyebabkan mereka terpaksa membawa anak-anak mereka untuk membantu mencari hasil hutan.

Bantuan kewangan yang sewajarnya juga perlu disediakan oleh kerajaan bagi membolehkan kanak-kanak Orang Asli mendapat pendidikan yang sewajarnya. Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah telah diberi peruntukan sejumlah RM 64.7 juta bagi tahun 2014 untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan kepada masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

Pada pandangan saya jumlah ini adalah tidak mencukupi untuk tujuan pembangunan kumpulan etnik ini secara keseluruhannya. Kerajaan seharusnya meluluskan peruntukan yang lebih tinggi untuk membantu golongan yang terpencil ini. Saya mencadangkan supaya peruntukan ini ditambahkan kepada RM500 juta setahun untuk membantu Orang Asli dalam semua aspek pembangunan sosio ekonomi.

Setakat ini kerajaan telah gagal untuk memberi perhatian khusus dalam kemajuan sosio ekonomi kaum Orang Asli. Kerajaan juga gagal untuk memberi peluang pendidikan tinggi untuk golongan ini. Hanya lebih kurang 850 orang anak Orang Asli berjaya menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta sejak tahun 1981.

Graduan dan golongan terpelajar dari kalangan Orang Asli wajar diberikan peluang yang sama rata dalam sektor perkhidmatan awam dan swasta di negara kita di samping peluang-peluang perniagaan.

Dalam tempoh 10 tahun, iaitu daripada tahun 2006 hingga 2010, hanya RM1 bilion sahaja telah diperuntukkan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli di seluruh negara. Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menyasarkan sehingga 25 peratus kadar kemiskinan dikurangkan pada 2015 seterusnya memenuhi matlamat sifar menjelang 2020. Matlamat ini tidak boleh dicapai jika kerajaan gagal untuk menambahkan peruntukan bagi kaum orang asli dalam belanjawan-belanjawan akan datang.

Penambahan dalam peruntukan adalah penting bagi memastikan mereka tidak lagi mengamalkan kehidupan berpindah randah dan membantu mereka keluar daripada masalah kemiskinan. Selain daripada itu, kerajaan juga boleh menyediakan pendidikan sempurna untuk golongan miskin ini. Tetapi, selagi kerajaan tidak mempunyai hasrat untuk menambahkan peruntukan untuk tujuan pembagunan Orang Asli, maka masalah sosio ekonomi kumpulan ini tidak dapat diselesaikan sepenuhnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan