Sabtu, 12 Julai 2014

NUCC perlu hentikan draf akta keharmonian


Oleh Wan Saiful Wan Jan, Berita Harian, 18 Jun 2014
 


Pada 6 Jun yang lalu, saya menghadiri satu majlis konsultasi anjuran Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC).  NUCC harus dipuji kerana mereka menunjukkan komitmen untuk mendapatkan pandangan rakyat.  Sesungguhnya amanah dan harapan yang diberikan kepada NUCC adalah amat penting dan besar sekali.

Bagaimanapun, salah satu jawatankuasa dalam NUCC telah melakukan kesilapan yang boleh menyebabkan segala usaha NUCC ditolak oleh rakyat.  Jawatankuasa tersebut harus memberhentikan kesilapan ini serta merta.

Kesilapan besar tersebut ialah mereka telah membentangkan tiga draf undang-undang baru tanpa menjelaskan terlebih dahulu kepada rakyat gambaran besar mengenai visi, matlamat dan perancangan mereka secara keseluruhan.  Tanpa memberikan sebarang latar belakang, dengan tidak semena mena sahaja jawatankuasa ini menerbitkan draf tiga akta baru itu.

Dalam majlis majlis konsultasi yang saya hadiri, saya telah menggesa agar proses menyediakan ketiga-tiga draf akta tersebut diberhentikan segera.  Saya meminta agar NUCC menyediakan terlebih dahulu satu Kertas Putih untuk memberikan gambaran besar apa yang mereka sedang usahakan, sebelum mereka mula menyediakan apa-apa draf undang-undang.

NUCC telah mengeluarkan kenyataan rasmi pada 9 Jun 2014 yang antaranya turut menjawab cadangan saya.  NUCC menyatakan bahawa penyediaan Kertas Putih adalah tanggungjawab kerejaan Persekutuan dan ia bukanlah satu amalan biasa dalam negara kita.  Bagaimanapun, NUCC bersetuju untuk menyediakan satu kertas yang akan menjelaskan sebab-sebab kenapa undang-undang baru tersebut diperlukan dan bagaimana ia akan menyumbang ke arah usaha pengukuhan keharmonian sosial.

Tindakan NUCC memberikan alasan bahawa Kertas Putih adalah bukan kebiasaan dalam negara kita merupakan satu perkara yang dikesali.  Ramai ahli NUCC adalah daripada masyarakat sivil yang banyak memberi pandangan berkaitan penambahbaikan proses tadbir urus negara.  Mereka seharusnya merebut peluang yang amat jarang diberikan ini untuk mempraktikkan apa yang mereka tuntut selama ini. 

Seharusnya mereka mencipta satu contoh terbaik yang boleh dituruti oleh para pembuat dasar yang lain, bukannya menjadikan amalan biasa sebagai satu helah untuk tidak berubah.

Seharusnya merekalah yang menasihatkan Perdana Menteri dan menyediakan draf Kertas Putih untuk diterbitkan terlebih dahulu, bukan mencuci tangan begitu sahaja. 

NUCC merupakan satu usaha murni Perdana Menteri untuk mencapai hasrat melahirkan sebuah negara Malaysia yang bersatu padu dan harmoni.  Hasrat mulia ini selaras dengan Rukun Negara kita yang menyatakan bahawa negara kita mendukung cita-cita mencapai perpaduan yang lebih erat dalam seluruh masyarakat dan seterusnya menjamin satu cara hidup yang liberal terhadap kepelbagaian tradisi-tradisi kebudayaan.

Inilah juga yang dicita-citakan dalam Wawasan 2020, iaitu untuk mewujudkan masyarakat yang liberal dan bertolak ansur, di mana masyarakat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan agama dalam keadaan mereka semuanya meletakkan kesetiaan sepenuhnya kepada negara.

Malangnya, tatkala NUCC diwujudkan untuk memberi nasihat kepada Perdana Menteri bagaimana untuk mencapai semua visi murni itu, mereka menghadapi tentangan sejak mula-mula ditubuhkan lagi.

Ada pertubuhan Melayu Islam yang ragu-ragu dengan niat sebenar NUCC.  Mereka mendakwa bahawa hasil kerja NUCC nanti akan mencabar kedudukan orang Melayu, agama Islam dan kedudukan Raja-Raja seperti yang termaktub dalam perlembagaan. 

Malahan, Tun Mahathir Mohamad juga telah menyatakan pandangan yang agak keras.  Beliau mengatakan bahawa tiga draf undang-undang yang dicadangkan itu tidak akan menghasilkan kesaksamaan atau keadilan, sebaliknya ia hanya akan mengekalkan ketidaksamaan dan ketidakadilan yang terdapat sekarang. 

Kritikan-kritikan itu tidaklah mengejutkan.  Sebenarnya semuanya memang boleh dijangka.  Sejak daripada awal penubuhan NUCC lagi anak perempuan Tun Mahathir, Datin Paduka Marina Mahathir, telah mengatakan bahawa NUCC perlu memahami bahawa cabaran paling besar yang mereka hadapi ialah defisit kepercayaan rakyat.  Defisit kepercayaan inilah yang membawa kepada kritikan terhadap NUCC.

Marina yang merupakan salah seorang ahli NUCC turut mengatakan bahawa untuk berjaya, NUCC perlu bekerja dengan cara tersendiri yang inovatif dan proaktif. 

Malangnya, jawatankuasa yang menyediakan tiga draf undang-undang itu tidak menghiraukan pandangan tersebut dan bertegas mahu mengekalkan cara kerja yang sudah lapuk.  Mereka tergesa-gesa dan gagal merancang dengan teliti cara untuk mengecilkan defisit kepercayaan rakyat terhadap mereka terlebih dahulu.

Akibat kegelojohan jawatankuasa kecil ini, NUCC secara keseluruhan sedang dilanda penolakan yang kuat daripada akar umbi.  Kebanyakan penolakan ini berlaku kerana rakyat tidak tahu apa sebenarnya wawasan NUCC, dan di mana letaknya akta-akta baru ini dalam kerangka kerja NUCC secara keseluruhan.  Apabila rakyat tidak faham, maka tidak pelik untuk mereka menolak atau merasa sangsi dan ragu ragu. 

Kesangsian yang kini wujud menyebabkan amanah yang diberikan kepada NUCC oleh Perdana Menteri menjadi lebih sukar untuk dipenuhi jika tidak diperbaiki segera.

Perlu saya sebutkan di sini bahawa tidak ada jaminan bahawa akta-akta baru akan memperbaiki keadaan.  Malahan, menurut penyelidikan oleh Pusat Kajian Berkley Mengenai Agama, Keamanan dan Hal Ehwal Antarabangsa yang berpusat di Georgetown University, Amerika Syarikat, ada kalanya undang-undang boleh menyebabkan keharmonian nasional menjadi lebih tergugat. Maka NUCC perlu menjelaskan kajian manakah yang mereka rujuk sehingga mereka mengatakan mereka mahu memperkenalkan bukan satu, tetapi tiga akta baru.  

Jawatankuasa ini perlu bertanggungjawab.  Mereka perlu meminta maaf atas kesilapan besar ini agar kredibiliti NUCC tidak terus tergugat.  Mereka perlu menarik balik draf undang-undang tersebut dan memperbaiki kaedah kerja mereka terlebih dahulu.

Untuk memperbaiki keadaan, NUCC perlu mendrafkan dahulu Kertas Putih yang menggariskan gambaran besar mengenai keharmonian nasional yang mereka mahu usahakan.  Penerangan perlu diberikan secara menyeluruh, dan memasukkan hasil perbincangan empat jawatankuasa lain dalam NUCC.  Kemudian mereka perlu menjelaskan jika ada undang-undang baru yang perlu diperkenalkan dan kenapa NUCC merasakan bahawa akta-akta baru itu boleh membantu meningkatkan keharmonian. Langkah-langkah lain untuk mewujudkan keharmonian juga perlu diterangkan agar rakyat boleh memahami cadangan NUCC secara holistik.

Setelah itu barulah rakyat boleh memberikan pandangan yang lebih jitu.  Tanpa maklumat penuh, semua komen-komen yang diberikan adalah bersifat teoretikal sahaja kerana komentar diberikan dalam keadaan kita tidak mengetahui skop kerja NUCC sepenuhnya.

Jika NUCC tidak mahu menerbitkan Kertas Putih, panggillah ia dengan apa-apa nama yang sesuai sekali pun.  Yang penting rakyat perlu mendapat satu dokumen yang menggariskan latar belakang dan gambaran penuh idea-idea yang mahu dibawa oleh NUCC.  Janganlah biarkan kesilapan ini merosakkan agenda kesatuan nasional yang lebih besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan