Sabtu, 12 Julai 2014

Mutu Perkhidmatan Pungutan Sampah Makin Merosot Di Bawah Syarikat Konsesi Swasta



Kenyataan media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 11 Julai 2014 di Ipoh


Sejauh manakah pungutan sampah yang dilakukan oleh pihak swasta adalah lebih berkesan? Apabila sesuatu perkhidmatan itu diswastakan, mutu perkhidmatan itu seharusnya meningkat berlipat ganda. Satu daripada tujuan utama penswastaan adalah untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu perkhidmatan.

Sektor perkhidmatan awam sentiasa dicemuh dianggap tidak cekap dan tidak berkesan kerana terlalu banyak urusan birokrasi. Inilah alasan yang digunakan oleh kerajaan untuk mencari ruang menswastakan beberapa perkhidmatannya. Kerajaan juga berharap untuk mendapatkan perkhidmatan bermutu tinggi untuk nilai wang yang dibelanjakan melalui projek penswastaan berkenaan. Tetapi, pada realitinya perkara ini tidak berlaku seperti yang diharapkan.

Penswastaan perkhidmatan-perkhidmatan tertentu telah membawa lebih banyak keburukan kepada masyarakat. Perkara ini tidak dapat dinafikan kerana rakyat dapat merasakan bahawa perkhidmatan tersebut lebih baik ketika diselenggarakan oleh kerajaan itu sendiri berbanding dengan pihak swasta.

Sebagai contoh, kerja-kerja pungutan sampah yang diberi kontrak kepada pihak swasta adalah tidak memuaskan di kebanyakan tempat. Sering kali kita dengar rakyat mengadu bahawa pemungut-pemungut sampah tidak datang mengikut jadual yang ditetapkan. Akibatnya, sampah-sampah di rumah atau di tempat awam berlonggok dan memedihkan mata yang memandang.

Penduduk-penduduk berkenaan terpaksa menghubungi Pihak Berkuasa Tempatan untuk mengadu masalah tersebut. Selepas aduan dibuat, tindakan diambil selepas satu atau dua hari untuk memungut dan membersihkan kawasan yang berkenaan.

Saya tidak tahu samada kerajaan sedar atau tidak bahawa perkhidmatan syarikat-syarikat pemungut sampah yang dilantik oleh kerajaan sangat tidak memuaskan. Pungutan sampat tidak mengikut jadual dan tidak mengikut arahan Pihak Berkuasa Tempatan merupakan masalah yang dihadapi oleh rakyat pada masa ini.

Pihak Berkuasa Tempatan pula tidak mempunyai kaedah pemantauan yang efektif untuk mengatasi masalah tersebut. Mereka hanya bertindak apabila ada laporan atau aduan yang dibuat oleh orang tempatan. Keadaan seperti ini tidak sepatutnya berlaku selepas penswastaan yang sepatutnya menigkatkan mutu perkhidmatan.

Sering kali, Pihak Berkuasa Tempatan memilih kontraktor kroni yang langsung tidak mempunyai pengalaman dalam perkhidmatan yang diswastakan. Ini juga boleh menjadi satu masalah apabila kontrak itu dikurniakan kepada orang-orang yang tidak berwibawa untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

Kontraktor-kontraktor kroni juga tidak takut kepada Pihak Berkuasa Tempatan yang menganugerahkan kontrak itu kepada mereka. Tambahan pula, adanya unsur-unsur rasuah juga telah melemahkan lagi perkhidmatan-perkhidmatan yang diswastakan. Gejala rasuah seperti ini tidak wujud ketika perkhidmatan-perkhidmatan tersebut masih di bawah kelolaan pihak perkhidmatan awam.

Tambahan pula, kos pengoperasian perkhidmatan pungutan sampah adalah jauh lebih rendah ketika perkhidmatan itu dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Setelah perkhidmatam ini diswastakan, kos telah meningkat sebaliknya mutu perkhidmatan pula bertambah buruk. Ini jelas bahawa kerajaan gagal dalam usaha menswastaan perkidmatan-perkhidmatan tertentu seperti pungutan sampah.

Kerajaan harus mengaku kegagalannya dalam memantau syarikat-syarikat konsesi yang diberi tanggungjawab memungut sampah di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan. Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan gagal memastikan arahanya dipatuhi oleh syarikat-syarikat swasta ini. Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam juga gagal memastikan syarikat-syarikat berkenaan mematuhi Key Performance Index (KPI) yang telah ditetaplan di bawah Penjanjian Konsesi.

Apakah tindakan yang diambil oleh Kementerian dan Pihak Berkuasa Tempatan terhadap syarikat-syarikat swasta ini yang gagal mematuhi KPI yang telah ditetapkan? Perkara yang sama berlaku berulangkali seolah-olah kontraktor itu tidak mempedulikan langsung tentang arahan pihak kerajaan. Ini membuktikan bahawa tidak ada penguatkuasaan undang-undang yang secukupnya dalam menghukum syarikat-syarikat yang cuba menipu rakyat dan kerajaan.

Oleh yang demikian, saya merasakan satu lagi kajian yang menyeluruh harus dilakukan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan untuk menilai semula kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan pungutan sampah yang telah diswastakan. Perlukah perkhidmatan ini dikembalikan kepada Pihak Berkuasa Tempatan untuk diuruskan sepenuhnya dengan menggunakan kakitangannya sendiri seperti sebelum ini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan