Jumaat, 3 Februari 2017

Jemput Zambry Turun Parlimen Batu Gajah Tangani Isu Kebersihan Secara Bersama

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 2 Februari 2017 di Ipoh.




Menteri Besar Perak Dato Seri Zambry Abdul Kadir telah turun membersihkan beberapa kawasan di Ipoh bersama Datuk Bandar Ipoh. Adakah ini bermakna Bandaraya Ipoh terlalu kotor sehingga Menteri Besar dan Datuk Bandar Ipoh sendiri terpaksa turun padang bersama-sama dengan pekerja-pekerja lain.

Beliau dilihat berada di Pasar Buntong, Little India dan Pasar Besar Ipoh. Adakah wabak denggi yang semakin ketara menarik beliau dan Datuk Bandar turun padang hari ini?
Walaupun tindakan beliau perlu dipuji tetapi beliau harus mengakui bahawa Bandaraya Ipoh amat kotor. Ini bermakna MBI telah gagal melaksanakan tanggungjawab asas membersihkan Bandaraya Permai ini. Walaupun cukai pintu dinaikkan begitu mendadak tetapi MBI tidak berfungsi dengan sebetulnya.

Gimik turun padang sehari oleh Menteri Besar Perak tidak akan menyelesaikan masalah ini. Masalah kebersihan dari segi pungutan sampah, longkang tersumbat dan rumput panjang menjadi semak merupakan masalah berlarutan sejak bertahun-tahun.

Masalah ini perlu dikaji dengan teliti supaya dapat diselesaikan dengan berkesan. Turun padang sehari sahaja tidak bermakna jika tiada penyelesaian sepenuhnya. Kerajaan Negeri harus membuat 'survey' atau kajiselidik dengan penduduk mengenai masalah yang mereka hadapi dengan kerajaan tempatan.

Selain  itu, saya juga ingin tahu apakah sudah jadi dengan 24 Ahli Majlis yang dilantik oleh MBI. Semuanya tidur? Inilah keadaannya di setiap Majlis Daerah.

Adakah Menteri Besar Perak dan Datuk Bandar Ipoh sudi turun padang bersama-sama dengan wakil rakyat pembangkang? Kami lebih tahu masalah tempatan. Kami terima pelbagai aduan daripada rakyat mengenai kesihatan dan kesejahteraan kawasan kediaman mereka.

Adalah wajar untuk Menteri Besar dan Datuk Bandar mengetahui keadaan yang sebenar di luar. Saya sanggup membawa Menteri Besar Perak untuk menunjukkan kawasan-kawasan yang perlu dibesihkan di seluruh Kawasan Parlimen Batu Gajah.

Saya tidak mengeluarkan kenyataan ini untuk mencabar kredibiliti beliau. Malah, saya menyeru supaya beliau melihat sendiri dan bertindak demi kesejahteraan rakyat Perak. Kita boleh bekerjasama dalam hal ini jika Kerajaan Negeri benar-benar serius dalam menangani isu kebersihan .

Masalah kebersihan bukanlah masalah di kawasan Ipoh sahaja. Ini merupakan masalah yang dihadapi oleh penduduk di setiap kawasan Majlis Daerah. Satu daripada puncanya ialah kebanyakkan kontraktor-kontraktor yang dilantik oleh pihak kerajaan tempatan sentiasa mencuri tulang.  Mereka dibayar tanpa dipantau oleh kerajaan. Akhirnya wang cukai yang dikutip daripada rakyat dibazirkan  begitu sahaja.

Saya yakin masalah-masalah ini boleh diselesaikan jika semua pihak benar-benar jujur dalam tindakan masing-masing. Saya percaya elemen-elemen rasuah juga menjadi satu lagi kekangan yang dihadapi dalam menangani  masalah ini. Kerajaan Negeri juga perlu  memantau secara teliti proses pengeluaran tender dan pemberian kontrak oleh pihak kerajaan tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan