Kenyataan Media YB
V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 30
Oktober 2015 di Ipoh
Adakah rakyat negara kita menerima baik GST yang
dikenakan oleh kerajaan? Kerajaan melaksanakan GST pada 1 April 2015 tanpa
mempedulikan kemahuan rakyat. Pandangan pelbagai pihak yang mewakil rakyat
tidak diendahkan oleh kerajaan.
Kerajaan tetap dengan pendirian untuk melaksanakan GST
dan akhirnya keinginan itu telah menjadi kenyataan pada tahun ini. Kerajaan
merasakan bahawa pelaksanaan GST ini merupakan satu kejayaan yang
dinanti-nantikan. Tetapi, pada hakikatnya, kerajaan telah salah langkah dalam
isu ini.
Kerajaan telah melakukan satu kesilapan besar dalam
memperkenalkan sistem cukai baru GST.
Cukai ini tidak disukai oleh semua lapisan masyarakat kerana ianya sangat membebankan
terutamanya ketika negara kita mengalami masalah ekonomi.

Dalam kata lain, setiap orang dipaksa untuk membayar
cukai tambahan untuk barangan dan perkhidmatan yang dibelinya. Pada hari ini
rakyat membayar GST adalah kerana unsur paksaan daripada pihak kerajaan.
Peniaga-peniaga juga mengenakan GST untuk barangan dan perkhidmatan yang mereka
jual kerana unsur paksaan daripada pihak kerajaan. Oleh yang demikian, tiada siapa pun yang mengenakan atau membayar
GST secara rela hati.

Kita semua sedia maklum bahawa Dewan Rakyat telah
meluluskan Undang-undang GST pada tahun lalu. Jika syarikat-syarikat tidak mahu
mematuhi undang-undang GST, maka sudah tentunya tindakan akan diambil terhadap
syarikat-syarikat itu berkenaan.
Mana mungkin syarikat-syarikat itu lari daripada membayar
cukai yang dikenakan oleh kerajaan. Semua syarikat-syarikat ini melaksanakan
GST kerana dipaksa oleh kerajaan. Akhirnya yang menjadi mangsa ialah rakyat.
Apabila syarikat-syarikat mematuhi undang-undang GST, maka rakyat
sebagai pelanggan-pelanggan syarikat itu terpaksa juga membayar cukai yang dikenakan.
Disini tidak ada ruangan untuk membuat pilihan samada suka atau tidak suka
untuk membayar GST. Setiap orang
terdedah kepada GST pada setiap masa.

Kerajaan telah mengambil risiko yang amat besar. Saya
cukup yakin, rakyat akan membuktikan bahawa kerajaan telah salah langkah dalam
isu GST dalam PRU14 melalui peti undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan