Ahad, 9 Ogos 2015

Menteri Besar Negeri Sembilan Berani Gugurkan MCA & MIC Dalam PRU14, Bukti UMNO Angkuh Dan Komponen Lain Lemah Dalam Barisan Nasional



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 2 Ogos 2015 di Empire Hotel, Subang Jaya, Selangor.

Barisan Nasional sudah tidak mempunyai hala tuju dalam mentadbir negara dengan cara adil dan saksama. Baru-baru ini, kita dapat lihat dengan jelas bahawa pemimpin-pemimpin Barisan Nasional sentiasa bermain api perkauman. Mereka lebih suka membangkitkan isu-isu perkauman untuk kepentingan politik. Kononnya, masing-masing mahu membela kaum sendiri. Pejuang –pejuang kaum ini telah merosakkan kemajmukkan negara kita yang menjadi identiti kebanggaan kita di dalam dan di luar negara.

Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional sengaja menimbulkan rasa tidak puas hati dan persengketaan diantara kaum di negara kita. Mereka telah mula melupai sumbangan setiap kaum dalam membangunkan negara ini. Masing-masing cuba menakutkan satu kaum dengan kaum yang lain. Mereka sengaja mewujudkan salah faham dan perasaan wasangka diantara kaum supaya dapat mentadbir negara dengan mengamalkan prinsip ‘pecah dan perintah’. Barisan Nasional merupakan komponen parti-parti perkauman yang mahu mengekalkan kedudukannya dalam politik tanahair dengan mempermainkan bahang perkauman.

Pola ini telah menjayakan komponen itu memerintah negara selama lebih 50 tahun. Rakyat telah diperdayakan dengan hasutan-hasutan perkauman. Dalam keadaan kebimbangan dan ketakutan, rakyat telah memberi undi kepada parti-parti yang bertanding di bawah payung Barisan Nasional. Adakah rakyat akan masih tertipu dengan agenda perkauman yang sentiasa dipermainkan oleh Barisan Nasional?

Jika politik perkauman ini berterusan, masa depan negara adalah gelap. Negara kita tidak akan mencapai kemajuan yang diharapkan. Negara kita juga akan menjadi kucar-kacir. Kesejahteraan dan keselamatan rakyat akan tergugat. Kita juga tidak akan dihormati di arena antarabangsa jika pergolakan antara kaum mengugat keselamatan negara. Ini juga akan menjejaskan ekonomi negara. Semua ini akan merugikan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Generasi akan datang terpaksa hidup dalam keadaan ketidaktentuan.

Rakyat perlu berani melawan politik perkauman. Pemimpin-pemimpin politik juga harus berhenti memperalatkan kaum masing-masing untuk kepentingan politiknya.

Sebagai contoh, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohammad Hassan menghujahkan bahawa tidak perlu beri parti komponen Barisan Nasional kerusi di Negeri Sembilan. Dalam kata lain, beliau tidak mempedulikan parti MCA dan MIC yang mewakili kaum masing-masing dalam komponen itu. Ini terang-terang membuktikan UMNO tidak lagi menghormati kaum-kaum lain. UMNO sebagai parti utama dalam komponen Barisan Nasional tidak mempedulikan kaum-kaum lain. Mereka menunjukkan keangkuhan politik yang tidak terhingga. Kaum-kaum lain tidak dihormati oleh UMNO. Ini dapat dilihat daripada ucapan Menteri Besar Negeri Sembilan yang meluahkan perasaan hatinya secara terbuka. Saya tidak tahu bagaimana reaksi pemimpin-pemimpin MCA dan MIC terhadap ucapan perkauman Menteri Besar UMNO itu. Tetapi, selaku pemimpin DAP saya rasa amat kecewa kerana ucapan beliau mengandungi unsur-unsur perkauman yang amat tebal. Adakah beliau juga secara tersirat mengatakan bahawa Barisan Nasional tidak lagi mahu undi daripada kaum-kaum yang lain?

Saya juga ingin mengetahui pendirian Menteri Besar negeri-negeri lain mengenai ungkapan Menteri Besar Negeri Sembilan yang berani bertanding dalam pilihanraya umum akan datang tanpa MCA dan MIC. Saya juga berminat untuk mengetahui pendirian Menteri Besar Perak Dato Seri Zambry Abdul Kadeer berkenaan dengan isu ini.

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 2 Ogos 2015 di Empire Hotel, Subang Jaya, Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan