Ahad, 9 Ogos 2015

Hutang Negara Meningkat, Ekonomi Rakyat Merosot, BN Gagal Mengurus Dana




 Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Setiasausaha Antarabangsa DAP Kebangsaan pada 4 Ogos 2015 di Ipoh

 Adakah Malaysia masih dianggap sebagai sebuah negara keberhutangan sederhana apabila hutang negara mencapai RM600 billion. Mengikut maklumat yang disediakan oleh Kementerian Kewangan, hutang kerajaan Malaysia sehingga akhir bulan Mac 2015 adalah sebanyak RM596.8 billion.  Jumlah ini merupakan 51% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar. 
97% daripada jumlah hutang negara iaitu RM 579.2 bilion adalah hutang domestik. Manakala, bakinya sebanyak RM17.6 bilion adalah merupakan pinjaman dari luar negara.
Hutang negara telah meningkat berlipat ganda di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak. Ini membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional semakin lemah menguruskan dana negara seterusnya menyebabkan beban hutang negara semakin meningkat. Hutang yang berlebihan ini melemahkan ekonomi negara. 
Akhirnya, beban hutang ini dipindahkan kepada rakyat dengan pengenaan cukai baru GST. Kerajaan harus mengakui kelemahan dasar fiskal pengurusan kewangan yang menyebabkan ekonomi negara kita semakin merudum. Akibatnya, rakyat terpaksa menanggung hutang negara yang akan mencapai 55% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar tidak lama lagi.
Walaupun kerajaan menjanjikan paras hutang negara tidak akan melebehi 55% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, tetapi dalam keadaan pengurusan ekonomi yang tidak terurus, mungkin hutang akan terus meningkat dan melonjak lebih daripada paras itu.  Saya juga tidak yakin langkah konsolidasi fiskal yang diamalkan sekarang akan berjaya mengurangkan paras defisit.
Kerajaan kita tidak mempunyai kepatuhan yang tegas terhadap disiplin fiskal. Berlaku terlalu banyak bocoran, ketirisan dan rasuah yang melemahkan pengurusan kewangan negara. Kerajaan juga sentiasa menafikan bahawa kita sedang dilanda krisis kewangan.  
Tetapi, rakyat memahami keadaan yang sebenar kerana tekanan hidup yang semakin dirasai oleh setiap lapisan masyarakt.  Tindakan  kerajaan memindahkan beban kewangannya kepada rakyat  menyebabkan taraf sosio ekonomi tergugat terutamanya dikalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Sebahagian besar daripada hutang Kerajaan Persekutuan meliputi bon kerajaan yang diterbitkan di pasaran domestik. 72.4% daripadanya dipegang oleh pelabur institusi utama seperti KWSP (21.3%), Institusi perbankan tempatan (26.0%) dan pelbagai institusi lain (21.2%).  Selebihnaya 27.6%  lagi dipegang oleh pemegang bukan pemastautin.  
 
Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Setiasausaha Antarabangsa DAP Kebangsaan pada 4 Ogos 2015 di Ipoh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan