Selasa, 9 September 2014

Kerajaan Harus Mendengar Dan Lebih Prihatin Dalam Menangani Isu Kejatuhan Harga Getah Yang Melibatkan Kesengsaraan Ekonomi 427,000 Orang Pekebun Kecil



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 7 September 2014 di Ipoh



 Getah merupakan komoditi perdagangan yang penting bagi Malaysia dari dahulu lagi. Pada suatu ketika dahulu getah menjadi tulang belakang ekonomi negara kita. Pada masa ini, walaupun getah tidak lagi menjadi komoditi perdagangan utama kita, tetapi sumbangannya dalam urusniaga antarabangsa tidak boleh diperkecilkan.

Masih lagi ramai terutamanya pekebun-pekebun kecil getah masih bergantung kepada industri ini sebagai bekalan pendapatan utama bagi menyara hidup mereka. Kini, Malaysia merupakan negara kelima terbesar di dunia menghasilkan 845,000 tan metrik getah asli setahun.

Masalah yang amat ketara dalam sektor tanaman getah ialah mengenai harga pasaran bagi getah. Harga getah adalah amat bergantung kepada mekanisme keseimbangan diantara permintaan dan penawaran di pasaran antarabangsa. Ketidak stabilan harga merupakan merupakan satu risiko besar dalam pasaran komoditi.

 Perkara ini memang tidak dapat dielakkan oleh negara-negara yang terlibat dalam pasaran ini. Malaysia, Thailand dan Indonesia merupakan pengeluar getah asli yang utama di dunia. Ketiga-tiga negara ini menghasilkan hampir 70% daripada pengeluaran getah asli dunia.

Harga pasaran getah ditentukan oleh permintaan dan penawaran di pasaran antarabangsa. Selain daripada mekanisme penentuan harga melalui permitaan dan penawaran terdapat juga beberapa faktor lain yang turut mempengaruhi harga getah seperti ekonomi antarabangsa, sosio-politik global, kewujudan stok, pertukaraan mata wang asing dan spekulasi pasaran getah. Penawaran getah juga boleh berubah-ubah mengikut keadaan.

Pada masa ini hampir 70% daripada getah yang dihasilkan digunakan dalam industri membuat tayar. China merupakan negara pengguna utama getah asli iaitu 40% daripada penawaran dibeli oleh negara tersebut. Ini adalah kerana China merupakan salah sebuah negara yang giat mengeluarkan tayar. Pada masa ini boleh dikatakan kira-kira 30% daripada tayar global datangnya daripada negara China.

Pengunaan getah di China telah meningkat kepada 4.15 juta tan pada tahun 2013 berbanding dengan hanya 2.84 juta tan pada tahun 2007 iaitu peningkatan sebanyak 46%. Oleh yang demikian, harga geta pada hari ini amat dipengaruhi oleh permintaan negara tersebut.

Memang tidak dapat dinafikan permintaan untuk getah asli berkadar langsung dengan industri automotif. Ini bermakna jika sekiranya industri automotif berkembang, permintaan untuk getah asli juga akan turut bertambah. Sebaliknya, jika industri automotif menjadi mundur, ini akan pasti menurunkan permintaan untuk getah. Pada dasarnya permintaan untuk getah adalah berkait terus dengan industri aotomotif dunia yang sebahagian besarnya dikawal oleh China, Amerika Syarikat, Jepun dan Kesatuan Eropah.

Selain daripada itu, getah asli juga terpaksa menghadapi persaingan dengan getah sintetik. Perbezaan harga diantara getah asli dan getah sintetik juga akan menjadi satu lagi faktor yang perlu diambil kira dalam menilai risiko yang dihadapi oleh pengusaha-pengusaha getah asli.

Getah tiruan dihasilkan daripada sejenis bahan mentah iaitu Butadiena. Bahan mentah ini diperolehi daripada proses penapisan petroleum. Jika kos penghasilan dan harga Butadiena meningkat, maka ini sewajarnya meningkatkan permintaan untuk getah asli sebagai pengganti getah tiruan.

Pada masa ini, kita menghadapi masalah penurunan harga getah. Penunurun yang ketara berlaku sejak bulan Jun 2012. Penurunan ini dikatakan berpunca daripada 3 faktor :

1) Krisis hutang negara-negara zon Eropah
2) Kelembaban ekonomi China
3) Pergolakan politik Timur Tengah dan Thailand

Menurut Laporan International Rubber Study Group (IRSG) jumlah stok getah asli sehingga bulan September 2013 berada pada paras 2.09 juta tan iaitu peningkatan sebanyak 13.5% bagi tempoh yang sama pada tahun 2012. Selain daripada itu, peningkatan stok sebanyak 270,000 tan juga direkodkan di Qingdao, China iaitu pelabuhan kemasukan getah ke negara tersebut.

Disamping itu, stok getah di Shanghai Futures Exchange juga berada ada paras 225,000 tan, peningkatan tertinggi sejak tahun 2007. Ini bermakna telah berlaku lambakan stok getah asli di China yang menjadi salah satu punca utama dalam penurunan permintaan untuk getah asli. Ini sememangnya akan menurunkan harga pasaran untuk getah asli.

Selain daripada itu, penutupan kilang-kilang di negara tersebut pada bulan Jan dan Februari 2014 kerana sambutan Tahun Baru Cina juga telah mempengaruhi permintaan untuk getah. Di tambah lagi, isu kelembaban atau kemerosotan pengeluaran kederaan di China dan Amerika Syarikat juga menggangu permintaan untuk getah asli pada bulan Jan 2014. Dikatakan bahawa terdapat lebihan penawaran getah asli sebanyak 384, 000 tan pada tahun 2014.

Kejatuhan harga getah yang dialami sejak bulan Februari 2011 adalah berpunca daripada ketidakseimbangan diantara kadar pertumbuhan penawaran getah asli berbanding dengan kadar pertumbuhan permintaan. Ini diikuti dengan keadaan kemelesetan ekonomi yang dihadapi di kalangan negara-negara pengeluar getah asli yang utama di dunia.

Mengikut rekod, getah asli telah mencapai harga tertinggi iaitu 1717 sen per kg pada 18 Februari 2011. Selepas itu, harga getah asli mulai turun kerana permintaan menjadi semakin lembab. Penurun harga getah ini telah memberi kesan yang amat negatif kepada pekebun-pekebun kecil. Pendapatan mereka telah jatuh dengan banyaknya. Peningkatan kos hidup dan penurunan dalam pendapatan telah amat menggangu status sosio-ekononomi kaum pekebun ini.

Mereka terpaksa menghadapi keperitan hidup tanpa banyak bantuan daripada pihak kerajaan. Walau bagaimapun terdapat juga beberapa langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah ini. Tetapi, sejauh manakah tindakan-tindakan yang diambil itu dapat membantu pekebun-pekebun kecil getah tersebut?

Sebagai contoh, kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi telah memperkenalkan KAT-G iaitu Kad Autoriti Transaksi Getah melalui Lembaga Getah Malaysia. Bagai manakah tindakan ini sebenarnya berkesan dalam membantu pekebun-pekebun kecil menghadapi kesegsaraan ekonomi ? Walaupun jutaan ringgit dibelanjakan oleh kerajaan melalui Skim Bantuan Pendapatan Pekebun Kecil Getah (2001) dan Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah (2013), tetapi masalah yang dihadapi oleh pekebun-pekebun kecil masih meruncing lagi.

Sejauh manakah kerjasama 3 negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand yang dikenali sebagai International Tripartite Rubber Council yang memperkenalkan Supply Management Scheme dan Agreed Export Tonnage Scheme membantu menangani masalah penurunan harga getah ini? Walaupun beberapa langkah diambil dalam negeri dan juga melalui hubungan antarabangsa tetapi kesan penurunan harga getah masih lagi menekan golongan pekebun-pekebun kecil ini.

Kerajaan harus mengkaji semula semua langkah-langkah yang telah diambil untuk mengatasi masalah ini. Perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana mangsa-mangsa yang ditampar akibat kejatuhan harga getah adalah pekebun-pekebut kecil yang miskin dan memerlukan bantuan segera daripada kerajaan. Di negara kita terdapat 427,000 orang pekebun kecil yang mengusahakan keluasan tanah kira-kira 1.3juta hektar. Kerajaan harus menggunakan MARDEC dan RISDA untuk mencari jalan penyelesaian dengan segera untuk membantu mereka.

Dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan melalui RISDA akan memberi tumpuan untuk meningkatkan produktiviti getah sebagai alat bagi menangani kejatuhan harga getah. Bagaimanakah peningkatan dalam produktiviti getah akan dapat mengatasi masalah penurunan harga getah? Pada hemat saya, peningkatan produktivi dari segi kualiti dan kuantiti penghasilan getah tidak boleh menyelesaikan masalah ini. Harga getah ditentukan oleh pasaran antarabangsa. Malah, peningkatan dalam produktiviti iaitu dari segi kauntiti mungkin akan menjejaskan lagi harga pasaran pada masa hadapan.

Adalah kerajaan bercadang untuk melaksanakan 'social safety net' yang sesuai sebagai satu mekanisme untuk membantu pekebun-pekebun kecil getah? Jika ya, bilakah cadangan ini akan dilaksanakan oleh kerajaan ?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan