Sabtu, 12 April 2014

Najib Perlu Dedahkan Maklumat Mengenai RM560 Juta Yang Disalurkan Kepada Sekolah-Sekolah Tamil Dari Tahun 2009 Hingga 2013

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 12 April 2014 di Ipoh


Kerajaan telah memperuntukan wang sejumlah RM560 juta untuk pembangunan sekolah-sekolah Tamil sejak tahun 2009. Ini merupakan satu jumlah yang besar dan boleh membantu menaik taraf sebahagian besar daripada sekolah-sekolah Tamil yang berada dalam keadaan yang uzur.

Seperti mana kita semua sedia maklum banyak diantara sekolah-sekolah Tamil di negara kita memerlukan peruntukan kerajaan untuk membaik pulih bangunan dan menambahkan infra struktur supaya dapat memenuhi kehendak semasa. Perkara ini bukanlah perkara baru yang diperjuangankan  oleh masyarakat India  di negara ini. Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat biasa juga sentiasa membangkitkan isu sekolah-sekolah Tamil yang daif ini.

Kita juga tidak boleh lupa kepada peristiwa 25 November 2007 di mana puluhan ribu kaum India dari semua lapisan status sosio-ekonomi telah bersama-sama turun berhimpun di Kota Kuala Lumpur. Satu daripada ketidak puasan yang membangkitkan perasaan kemarahan kaum India di nagara ini ialah berhubung dengan sikap kerajaan yang sentiasa menganak tirikan sekolah-sekolah vernukular terutamaya sekolah-sekolah Tamil.  Ini merupakan salah satu faktor  yang menyebabkan tsunami politik berlaku dalam PRU12 dan menyebabkan pertama kali Barisan Nasional hilang majoriti 2/3 di Parlimen dan tumbang di Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Kelantan.

 Saya yakin kerajaan telah mempelajari kelemahannya daripada pengalaman ini dan telah mengambil beberapa langkah untuk menutup kesilapan-kesilapan lampau. Itulah sebabnua kerajaan mula memberikan peruntukan yang lebih besar mulai tahun 2009. Tujuan kerajaan adalah untuk menawan semula hati masyarakat India.


Oleh yang demikian, kerajaan telah memperuntukan wang sejumlah RM560 juta dari tahun 2009 hingga 2013 untuk memperolehi tapak baru, membina blok tambahan dan kerja-kerja naik taraf bagi sekolah-sekolah Tamil. Dari tahun 2009 hingga tahun 2011, dikatakan bahawa RM340 juta dibelanjakan untuk pembangunan sekolah-sekolah Tamil. Pada tahun 2012 sebanyak RM 100juta telah diperuntukkan untuk tujuan yang sama. Begitu juga, bagi tahun 2013 kerajaan memperuntukkan jumlah yang sama iaitu RM100 juta yang diluluskan dalam belanjawan kerajaan. Pada tahun tersebut sejumlah RM20 peruntukkan tambahan telah disalurkan  untuk membina dan memperbaiki  13 buah sekolah Tamil di seluruh negara.

Masalahnya  ialah samada wang sejumlah RM560 juta itu benar-benar disalurkan untuk pembangunan sekolah-sekolah Tamil.  Tidak ada perubahan yang besar yang dapat dilihat dan dirasakan oleh kaum India setelah sejumlah wang yang besar itu,  kononya telah dibelanjakan oleh kerajaan. Banyak lagi sekolah-sekolah Tamil yang berada dalam keadaan yang sangat uzur dan menyakitkan mata yang memandang.

Isu ini telah mengecewakan keseluruhan masyarakat India yang berasa tertipu dengan janji-janji yang diberikan  oleh kerajaan. Adakah wang sejumlah RM 560 juta benar-benar telah disalurkan kepada sekolah-sekolah Tamil? Jika benar, kerajaan harus bertanggungjawab untuk melaporkan melalui  siapakah wang itu disalurkan. Nayatakan nama sekolah-sekolah yang menerima peruntukan itu dan jumlah yang diberikan kepada sekolah-sekolah tersebut  dalam tempoh yang sama. Perkara ini perlu didedahkan segera oleh kerajaan supaya rakyat mengetahui keadaan yang sebenar.

Pemimpin-pemimpin MIC sedang membisu dalam hal peruntukan ini.  Maka, ini telah menambahkan lagi perasaan kecurigaan rakyat terhadap kerajaan dan parti MIC. Ada 2 kemungkinan yang berlaku jika kerajaan juga turut membisu dalam hal ini. 

1) Wang yang disalurkan kepada pihak-pihak tertentu itu  telah dilesapkan secara licik tanpa pengetahuan kerajaan.

2) Kerajaan tidak jujur memberikan peruntukan itu seperti mana yang telah dijanjikan. Hanya janji kosong pilihanraya untuk menipu masyarakat India.

Oleh yang demikian, saya  mendesak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendedahkan semua maklumat berkaitan dengan peruntukan wang sejumlah RM560 itu secepat mungkin. Ini juga telah mengugat kewibawaan Perdana Menteri yang tidak menepati janji kepada masyarakat India dalam banyak hal-hal yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan