Sabtu, 26 April 2014

Jurang Ekonomi Bandar Dan Desa Merupakan Punca Penghijrahan Belia Ke Kota


Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Setiausaha Antarabangsa DAP Malaysia, Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 16 April 2014 di Batu Gajah

Sejauh manakah Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah mengunakan peruntukan kerajaan secara efektif untuk program-program pembangunan di kawasan luar bandar. Kementerian ini merupakan satu kementerian yang penting untuk memastikan kemajuan dan pembangunan luar bandar sejajar dengan pekembangan semasa. Kementerian ini harus memastikan kawasan-kawasan luar bandar tidak ketinggalan dalam peredaran zaman.

Mewujudkan keseimbangan di antara bandar dan luar bandar adalah mustahil untuk dicapai. Walau bagaimanapun, langkah-langkah boleh diambil untuk memastikan supaya tidak wujud jurang yang besar di antara bandar dan luar bandar. Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah harus merancang program-program, projek-projek dan aktiviti-aktiviti ekonomi yang boleh membawa kemajuan dan pembangunan di kawasan luar bandar.

Pembangunan luar bandar harus diberi perhatian yang serius oleh kerajaan supaya anak-anak muda mempunyai potensi untuk pencari rezeki di tempat mereka sendiri. Jika tidak, perpindahan belia-belia yang menganggur ke pusat-pusat bandar tidak dapat dielakkan. Kawasan -kawasan luar bandar akan menjadi kampung warga emas tanpa sebarang aktiviti ekonomi yang menguntungkan.

Daripada 'Rolling Plan' Ke 3, kira-kira RM2.9 bilion pada tahun 2013 dan RM2.3 bilion lagi bagi tahun 2014 digunakan untuk meneruskan program-program pembinaan dan penyelenggaraan jalan, bekalan air dan bekalan elektrik di luar bandar. Sebanyak RM137 juta digunakan bagi melaksanakan Program Desa Abad ke 21 melalui gerakan koperasi.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa ini adalah satu jumlah yang cukup besar untuk membantu masyarakat luar bandar. Tetapi, kecekapan dan keberkesanan kerajaan membelanjakan peruntukan-peruntukan ini boleh dipertikaikan. Kerajaan harus telus  menunjukkan secara terperinci bagaimana peruntukan itu dibelanjakan  untuk mengiatkan aktiviti ekonomi setempat.

Selain daripada itu, kerajaan juga memperuntukkan RM344.6 juta bagi tahun 2013 dan RM370 juta lagi bagi tahun 2014 untuk pembangunan modal insan di sekolah rendah dan sekolah menengah. Saya tidak bersetuju dengan peruntukkan ratusan juta ringgit yang diberikan  untuk pembangunan modal insan di bawah  kementerian ini.

Kerajaan harus menyelaraskan program-program pembangunan modal insan diantara Kementerian Kemajuan  Luar Bandar dan Wilayah , Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia dan kementerian-kementerian yang lain supaya tidak berlaku pertindihan dan pemborosan dalam membelanjakan yang dilakukan. Tidaklah perlu untuk setiap kementerian membiayai peruntukan pembangunan modal insan. Bocoran seperti in perlu ditampal sebelum menjadi parah dan melemahkan lagi ekonomi negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan