Selasa, 16 April 2013

PELANCARAN MANIFESTO PRU13 PR PERAK


PR Perak Lancar Manifesto PRU-13, 

Umum Senarai Calon 18 April


Sumber : PERAK TODAY - 15 APRIL 2013


Senarai calon Pakatan Rakyat (PR) negeri Perak yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) hanya akan diketahui pada 18 April nanti selepas soal pembahagian kerusi yang membabitkan PAS, PKR dan DAP dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Pengumuman senarai calon PR itu yang sepatutnya diumumkan hari ini terpaksa ditangguhkan sehingga 18 April nanti, sekaligus dapat menjawab teka-teki calon PR Perak yang bakal bertanding pada pilihan raya kali ini.
Majlis itu dijadual berlangsung di Pejabat PR Perak yang terletak di Medan Istana, Bandar Ipoh Raya pada jam 8 malam.
Sementara itu, PR Perak melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dengan tema Telus, Amanah, Kebajikan, Wawasan dan Adil (TAKWA) khusus untuk membela nasib rakyat negeri ini.
Dilancarkan oleh Pengerusi PR Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, manifesto ini menggariskan enam intipati utama yang mengutamakan negeri berkebajikan.
Pengerusi Jawatankuasa Manifesto, Dr Khairuddin Abdul Malek berkata, manifesto yang dibentangkan oleh pakatan pembangkang bukan sekadar janji politik bagi memancing undi rakyat sebaliknya mendasarkan kepada kepentingan rakyat.
“Manifesto Pakatan Harapan Rakyat yang kita lancarkan ini adalah praktikal dan mampu dilaksanakan sekiranya pakatan mengambil alih kerajaan negeri,” katanya.
Dalam manifesto berkenaan, pakatan pembangkang berjanji akan membasmi keluar miskin tegar dengan menawarkan bantuan bulanan supaya isi rumah mencapai pendapatan sekurang-kurangnya RM760 sebulan.
Antara tawaran lain yang dikemukakan dalam manifesto itu adalah membina rumah mampu milik dengan menyediakan 30,000 unit lot kediaman baru, pemberian air percuma 20 meter padu bagi keluarga berpendapatan isi rumah kurang RM1,000 sebulan dan bantuan asasi bulanan kepada warga tua dan miskin tegar.
Selain itu, pembangkang turut mengumumkan bahawa tiada kenaikan cukai tanah, cukai pintu dan kadar air untuk tahun 2014 hingga 2018.
Bagi mengupayakan kaum belia dan wanita, pembangkang menawarkan bantuan sara hidup bagi balu bawah 50 tahun yang tidak bekerja di samping mewujudkan tabung khas RM3 juta setahun untuk program melahirkan ramai belia tani serta khidmat WIFI secara percuma.
Selain itu, antara usaha memperkasakan insititusi rakyat, pembangkang mengumumkan peluang pekerjaan dalam sektor awam diberi secara adil berdasarkan kelayakan dan menyediakan keperluan tanah mencukupi untuk rumah ibadah dan tanah perkuburan semua agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan