Sabtu, 16 Februari 2013

Pakatan Madu vs Barisan Racun : Peruntukan Kewangan Untuk Wakil Rakyat


Kenyataan Media YB V.Sivakumar Timbalan Pengerusi DAP Perak & ADUN Kawasan Tronoh pada 16/2/2013 di Ipoh

Pakatan Madu  vs Barisan Racun : Peruntukan Kewangan Untuk Wakil Rakyat

Rakyat memilih wakil mereka melalui pilihanraya. Seseorang wakil rakyat yang menang pilihanraya itu adalah merupakan ahli yang dipilih oleh  rakyat untuk mewakili sesuatu kawasan tertentu. Samada wakil yang dipilih itu adalah daripada kerajaan atau pun daripada pembangkang  adalah terpulang kepada rakyat kawasan tersebut. Rakyat membuat pilihan melalui proses demokrasi. Wakil rakyat yang dipilih itu harus bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah rakyat di kawasannya. Tetapi, wakil rakyat yang dipilih dari kalangan pembangkang tidak diberi peruntukan kewangan oleh kerajaan. Mereka dinafikan hak untuk memberi khidmat yang cemerlang dan membantu rakyat yang memilihnya. Perkara ini dilihat seolah-olah kerajaan menghukum rakyat yang memilih pembangkang di kawasan itu. Ini adalah tidak adil kerana keputusan rakyat harus dihormati oleh semua pihak. Kerajaan sepatutnya memberi hak yang sama kepada semua wakil rakyat yang dipilih untuk Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. 

Kerajaan Barisan Nasional memberi pelbagai sekatan kepada wakil-wakil rakyat dari kalangan pembangkang. Menafikan hak peruntukan kewangan itu menjejaskan kerja-kerja wakil rakyat membantu pengundinya. Setiap wakil rakyat kerajaan diberi peruntukan untuk membuat projek-projek kecil di kawasan mereka. Jumlah peruntukan wakil rakyat  Dewan Undangan Negeri  itu adalah  berbeza-beza mengikut negeri. Tambahan pula, wakil rakyat kerajaan diberi elaun-elaun tambahan untuk menanggung kos atau perbelanjaan pusat khidmat masyarakat. Sebagai contoh kerajaan membayar gaji pembantu khas pusat khidmat, membayar sewa pejabat, membayar bil utiliti dan sebagainya. Tetapi, wakil rakyat pembangkang pula terpaksa membayar semua tanggungan itu dengan sendiri. Lebih-lebih lagi, dalam musim perayaan wakil rakyat pembangkang terpaksa melalui tekanan kewangan yang cukup hebat untuk menjalankan program-program sambuatan hari kebesaran. Manakala wakil-wakil rakyat kerajaan pula diberi peruntukan khas untuk dibelanjakan di kawasan masing-masing dalam musim perayaan.

Barisan Nasional tidak berani bersaing di atas pentas yang sama rata dengan Pakatan Rakyat. Seseorang wakil rakyat pembangkang ditekan dari segala sudut supaya rakyat tidak memilihnya lagi. Tetapi, hampir semua wakil rakyat pembangkang telah berjaya mengharungi tekanan ini dan masih sanggup memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada pengundi-pengundinya.

Adakah keadaan yang sama juga harus diteruskan jika Pakatan Rakyat menjadi kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan selepas PRU13? Pada pandangan saya, adalah wajar untuk kerajaan Pakatan Rakyat memberikan peruntukan kewangan kepada semua wakil rakyat yang menang pilihanraya tanpa mengira idelogi atau fahaman politik. Kita harus menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat. Pakatan Rakyat harus membuktikan kewibawaannya dengan bersaing di atas pentas yang sama rata dengan Barisan Nasional. Kita tidak harus membuktikan kepada rakyat bahawa cara kita urus tadbir negara adalah berbeza dengan Barisan Nasional.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan