Jumaat, 15 Februari 2013

Rampas Kuasa Untuk Bolot Tanah


Kenyataan Media YB V.Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Perak & ADUN Kawasan Tronoh pada 15/2/2013 di Ipoh

Rampas Kuasa Untuk Bolot Tanah

Kenapa Barisan Nasional rampas kerajaan pilihan rakyat di Perak pada 6 Februari 2009? Rakyat sudah memberi mandat  kepada Pakatan Rakyat untuk menggantikan Barisan Nasional yang telah hilang kepercayaan. Tetapi, Barisan Nasional telah menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat itu dengan cara yang kejam.  Barisan Nasional tidak mahu lelap mata sehingga kerajaan yang sah itu dijatuhkan dengan taktik kotor dan tidak bermoral. Semua jentera kerajaan telah disalah gunakan untuk mencapai matlamat yang berniat jahat itu. Barisan Nasional telah melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak bermaruah dengan bantuan PDRM, SPRM, SPR, Mahkamah dan beberapa institusi yang lain.

Kerana ketamakan kuasa, rakyat tidak dipedulikan. Selepas rampasan kuasa, Barisan Nasional telah mengkhianati rakyat lagi. Agenda utama rampasan kuasa ialah membolot tanah negeri. Sebaik sahaja rampasan kuasa berlaku di negeri Perak, kerajaan Barisan Nasional di bawah Datuk Seri Diraja Zambry Abdul Kadeer telah menjual puluhan ribu ekar tanah negeri  kepada kroni-kroninya  dengan harga premium yang cukup rendah. Bukti-bukti yang kukuh pernah diketengahkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada bulan Disembar 2012. Tetapi, Datuk Seri Diraja Zambry dan barisan EXCOnya tidak berani mendedahkan senarai nama orang-orang  yang mendapat tanah tersebut. Walaupun perkara ini dibangkitkan beberapa kali dalam persidangan tetapi, kerajaan Barisan Nasional sentiasa mencari jalan pintas untuk melarikan diri daripada menjawap soalan-soalan yang dibangkitkan.

Pakatan Rakyat Perak mempunyai banyak maklumat mengenai skandal tanah Barisan Nasional di negeri Perak sejak rampasan kuasa pada tahun 2009. Tanah seluas 68,503 ekar tanah telah dilluluskan kepada pihak-pihak tertentu sejak 2009 hingga bulan julai 2011. Daripada jumlah itu 88.5% tanah diluluskan untuk pertanian dan industri iaitu seluas 60,591.73 ekar. Tanah selebihnya diluluskan untuk kuari, lombong dan perumahan.  Adalah cukup pelik apabila membuat penghitungan mengenai jumlah kutipan premium bagi tanah pertanian dan perindustrian itu.  Jumlah premium yang dikutip untuk 60.591.73 ekar tanah hanyalah RM22 696 910. Secara purata, premium yang dikutip untuk seekar tanah ialah RM375 sahaja. Ini  telah menimbulkan banyak persoalan yang tidak berani dijawab oleh kerajaan Barisan Nasional. Bukankah RM375 untuk seekar tanah boleh dianggap terlalu murah? Siapakah yang mendapat manfaat daripada pemberian tanah ini? Rakyat jelata? Sudah tentu tidak. 

Saya pasti rakyat negeri Perak yang paling miskin pun mampu membayar premium RM375 untuk seekar tanah.  Secara teorinya, 60 591 isu rumah boleh diberi  seekar tanah masing-masing untuk kegiatan ekonomi mereka. Kerajaan Barisan Nasional tidak memberi peluang itu kepada rakyat miskin tetapi telah memilih untuk menambahkan rezeki kroni-kroninya. Dalam kata lain, rampasan kuasa di negeri Perak pada tahun 2009 adalah semata-mata  untuk membolehkan Barisan Nasional dan kroni-kroninya membolot tanah kerajaan dan khazanah negeri yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan