Selasa, 19 Februari 2013
Kaum India Tidak Berganjak, Sokongan Tetap Kepada Pakatan Rakyat

Ahad, 17 Februari 2013
Selamatkan 2000 Ekar Tanah Daripada Diancam Buaya Darat
Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP
Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 17/2/2013 di Little India, Jalan Lahat, Ipoh.
Selamatkan 2000 Ekar
Tanah Daripada Diancam Buaya Darat
Barisan Nasional Perak telah
menipu masyarakat India sekali lagi. Apa sudah jadi dengan janji kerajaan Perak
untuk memberikan 2000 ekar tanah untuk Sekolah-sekolah Tamil di Perak? Kerajaan
Barisan Nasional telah berjanji untuk memberi tanah 2000 ekar itu pada tahun
2009 setelah mereka merampas kuasa di negeri Perak. Mereka menuduh kerajaan Pakatan Rakyat tidak
prihatin terhadap sekolah-sekolah Tamil. MIC Perak dengan bangganya telah membuat pengumunan bahawa kerajaan
Barisan Nasional Perak telah memberikan 2000 ekar tanah kepada sekolah-sekolah Tamil di Perak. Adakah
benar kerajaan Perak telah memberikan tanah seluas 2000 ekar itu kepada
sekolah-sekolah Tamil? Kalau benar, saya memohon kepada MIC negeri Perak untuk
membukti perkara itu dengan menunjukkan geran tanah untuk 2000 ekar tanah tersebut dengan
serta-merta.
Sebenarnya tanah itu tidak pernah
diberikan kepada sekolah-sekolah Tamil di Perak. Tanah itu diberikan di atas
nama Yayasan Perak. Saya tidak tahu apa hubungan Yayasan Perak dengan
sekolah-sekolah Tamil. Ini merupakan saya muslihat untuk mengkaburi mata masyarakat
India. MIC membuat lakonan seolah-olah
masalah tanah untuk sekolah-sekolah Tamil itu telah diselesaikan apabila
kerajaan memberikan tanah itu kepada Yayasan Perak.
Saya pernah membangkitkan isu
tanah 2000 ekar itu beberapa kali dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak.
Tetapi, saya hanya diberi jawapan yang lumrah iaitu masalah akan diselesaikan
dalam tempoh terdekat. Isu tanah ini tidak dipandang serius oleh kerajaan
Barisan Nasional. Pemimpin-pemimpin MIC
juga tidak mahu isu ini sering ditimbulkan. Mereka mungkin mempunyai agenda
sendiri untuk ‘sapu’ tanah tersebut. Saya difahamkan ada pemimpin-pemimpin
politik yang bercadang untuk mendapatkan tanah itu daripada Yayasan Perak
dengan cara menubuhkan syarikat swasta untuk mengurus tadbirnya.
Baru-baru ini Ahli Parlimen Tapah
Datuk Saravanan juga telah membuat saranan kepada kerajaan Perak supaya menyerahkan
tanah itu kepada MIC untuk membantu sekolah-sekolah Tamil. Ini adalah satu
cadangan yang tidak boleh diterima. Rakyat negara ini khususnya masyarakat India
tidak lupa kepada skandal-skandal besar yang pernah dilakukan oleh MIC seperti
isu saham telekon dan Maika Holdings. Memberi 2000 ekar tanah ini kepada MIC
adalah seolah-olah menjemput buaya ke tepi sungai dan memberikan seekor kambing
untuk dimakan.
Tambahan pula, dalam suasana
politik sekarang Barisan Nasional tidak mungkin dapat menjadi kerajaan lagi di
negeri Perak selepas PRU13. Oleh yang demikian, memberi tanah itu kepada MIC
adalah satu tindakan yang langsung tidak
bermakna.
Saya telah membangkit isu ini
dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Perak pada 15/2/2013. Pakatan
Rakyat Perak menjanjikan untuk menyelesaikan masalah tanah 2000 ekar itu dengan
serta merta apabila menjadi kerajaan selepas PRU13.
Kami juga memberi tempoh 14 hari
kepada kerajaan Barisan Nasional Perak untuk menyelesaikan masalah tanah 2000
ekar ini. Jika pihak kerajaan gagal menyelesaikan masalah ini, kami terpaksa
membuat satu himpunan aman di hadapan SUK Perak untuk menuntut hak
sekolah-sekolah Tamil di Perak.
Sabtu, 16 Februari 2013
Pakatan Madu vs Barisan Racun : Peruntukan Kewangan Untuk Wakil Rakyat
Kenyataan Media YB V.Sivakumar Timbalan Pengerusi DAP Perak
& ADUN Kawasan Tronoh pada 16/2/2013 di Ipoh
Pakatan Madu vs Barisan Racun : Peruntukan Kewangan Untuk
Wakil Rakyat

Kerajaan Barisan Nasional memberi
pelbagai sekatan kepada wakil-wakil rakyat dari kalangan pembangkang. Menafikan
hak peruntukan kewangan itu menjejaskan kerja-kerja wakil rakyat membantu
pengundinya. Setiap wakil rakyat kerajaan diberi peruntukan untuk membuat
projek-projek kecil di kawasan mereka. Jumlah peruntukan wakil rakyat Dewan Undangan Negeri itu adalah berbeza-beza mengikut negeri. Tambahan pula,
wakil rakyat kerajaan diberi elaun-elaun tambahan untuk menanggung kos atau
perbelanjaan pusat khidmat masyarakat. Sebagai contoh kerajaan membayar gaji
pembantu khas pusat khidmat, membayar sewa pejabat, membayar bil utiliti dan
sebagainya. Tetapi, wakil rakyat pembangkang pula terpaksa membayar semua
tanggungan itu dengan sendiri. Lebih-lebih lagi, dalam musim perayaan wakil
rakyat pembangkang terpaksa melalui tekanan kewangan yang cukup hebat untuk
menjalankan program-program sambuatan hari kebesaran. Manakala wakil-wakil
rakyat kerajaan pula diberi peruntukan khas untuk dibelanjakan di kawasan
masing-masing dalam musim perayaan.
Barisan Nasional tidak berani
bersaing di atas pentas yang sama rata dengan Pakatan Rakyat. Seseorang wakil rakyat
pembangkang ditekan dari segala sudut supaya rakyat tidak memilihnya lagi.
Tetapi, hampir semua wakil rakyat pembangkang telah berjaya mengharungi tekanan
ini dan masih sanggup memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada
pengundi-pengundinya.
Adakah keadaan yang sama juga
harus diteruskan jika Pakatan Rakyat menjadi kerajaan di peringkat negeri dan
persekutuan selepas PRU13? Pada pandangan saya, adalah wajar untuk kerajaan
Pakatan Rakyat memberikan peruntukan kewangan kepada semua wakil rakyat yang
menang pilihanraya tanpa mengira idelogi atau fahaman politik. Kita harus
menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat. Pakatan Rakyat harus membuktikan
kewibawaannya dengan bersaing di atas pentas yang sama rata dengan Barisan
Nasional. Kita tidak harus membuktikan kepada rakyat bahawa cara kita urus
tadbir negara adalah berbeza dengan Barisan Nasional.
Jumaat, 15 Februari 2013
Rampas Kuasa Untuk Bolot Tanah
Kenyataan Media YB V.Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP
Perak & ADUN Kawasan Tronoh pada 15/2/2013 di Ipoh
Rampas Kuasa Untuk
Bolot Tanah
Kenapa Barisan Nasional rampas
kerajaan pilihan rakyat di Perak pada 6 Februari 2009? Rakyat sudah memberi mandat
kepada Pakatan Rakyat untuk menggantikan
Barisan Nasional yang telah hilang kepercayaan. Tetapi, Barisan Nasional telah
menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat itu dengan cara yang kejam. Barisan Nasional tidak mahu lelap mata
sehingga kerajaan yang sah itu dijatuhkan dengan taktik kotor dan tidak
bermoral. Semua jentera kerajaan telah disalah gunakan untuk mencapai matlamat
yang berniat jahat itu. Barisan Nasional telah melakukan perbuatan-perbuatan
yang tidak bermaruah dengan bantuan PDRM, SPRM, SPR, Mahkamah dan beberapa
institusi yang lain.
Kerana ketamakan kuasa, rakyat
tidak dipedulikan. Selepas rampasan kuasa, Barisan Nasional telah mengkhianati rakyat
lagi. Agenda utama rampasan kuasa ialah membolot tanah negeri. Sebaik sahaja
rampasan kuasa berlaku di negeri Perak, kerajaan Barisan Nasional di bawah
Datuk Seri Diraja Zambry Abdul Kadeer telah menjual puluhan ribu ekar tanah
negeri kepada kroni-kroninya dengan harga premium yang cukup rendah.
Bukti-bukti yang kukuh pernah diketengahkan dalam Persidangan Dewan Undangan
Negeri Perak pada bulan Disembar 2012. Tetapi, Datuk Seri Diraja Zambry dan
barisan EXCOnya tidak berani mendedahkan senarai nama orang-orang yang mendapat tanah tersebut. Walaupun perkara
ini dibangkitkan beberapa kali dalam persidangan tetapi, kerajaan Barisan
Nasional sentiasa mencari jalan pintas untuk melarikan diri daripada menjawap
soalan-soalan yang dibangkitkan.
Pakatan Rakyat Perak mempunyai
banyak maklumat mengenai skandal tanah Barisan Nasional di negeri Perak sejak
rampasan kuasa pada tahun 2009. Tanah seluas 68,503 ekar tanah telah
dilluluskan kepada pihak-pihak tertentu sejak 2009 hingga bulan julai 2011.
Daripada jumlah itu 88.5% tanah diluluskan untuk pertanian dan industri iaitu seluas
60,591.73 ekar. Tanah selebihnya diluluskan untuk kuari, lombong dan perumahan.
Adalah cukup pelik apabila membuat
penghitungan mengenai jumlah kutipan premium bagi tanah pertanian dan
perindustrian itu. Jumlah premium yang
dikutip untuk 60.591.73 ekar tanah hanyalah RM22 696 910. Secara purata,
premium yang dikutip untuk seekar tanah ialah RM375 sahaja. Ini telah menimbulkan banyak persoalan yang tidak
berani dijawab oleh kerajaan Barisan Nasional. Bukankah RM375 untuk seekar tanah
boleh dianggap terlalu murah? Siapakah yang mendapat manfaat daripada pemberian
tanah ini? Rakyat jelata? Sudah tentu tidak.
Saya pasti rakyat negeri Perak
yang paling miskin pun mampu membayar premium RM375 untuk seekar tanah. Secara teorinya, 60 591 isu rumah boleh
diberi seekar tanah masing-masing untuk kegiatan
ekonomi mereka. Kerajaan Barisan Nasional tidak memberi peluang itu kepada
rakyat miskin tetapi telah memilih untuk menambahkan rezeki kroni-kroninya. Dalam
kata lain, rampasan kuasa di negeri Perak pada tahun 2009 adalah semata-mata untuk membolehkan Barisan Nasional dan
kroni-kroninya membolot tanah kerajaan dan khazanah negeri yang lain.
Ahad, 10 Februari 2013
Rakyat Akan Kembali Berkuasa Di Perak
Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak
& ADUN Kawasan Tronoh pada 9/2/2013 di Ipoh
Rakyat Akan Kembali
Berkuasa Di Perak
Barisan Nasional Perak telah
melakukan satu kesilapan besar apabila merampas kerajaan pilihan rakyat pada
tahun 2009. Pada 8 Mac 2008, rakyat Perak telah memberi mandat kepada PAS, PKR
dan DAP untuk memerintah negeri Perak. Kehendak rakyat itu wajib dihormati oleh
semua pihak. Tetapi, Barisan Nasional Perak kerana ketamakan kuasa telah
merampas kerajaan rakyat itu dengan melanggar semua undang-undang yang sedia
ada. Barisan Nasional telah menubuhkan kerajaan melalui ‘Pintu Belakang’ yang
tidak sah di sisi Undang-undang Tubuh Negeri Perak mahu pun Perlembagaan
Persekutuan. Perkara ini telah menimbulkan kemarahan seluruh rakyat Perak
ketika itu.
Barisan Nasional mengharapkan
bahawa peristiwa rampasan kuasa itu akan dilupai oleh rakyat apabila dimakan
oleh masa. Tetapi, andaian Barisan Nasional itu adalah tidak benar. Perdana
Menteri Najib Tun Razak telah membuat perhitungan yang terkeluar dari landasan
apabila membuat andaian ‘rakyat Malaysia mudah lupa’. Peristiwa ramapasan kuasa
itu telah terpahat dalam sanubari setiap rakyat perak yang menghormati demokrasi,
undang-undang dan keadilan. Walaupun pelbagai usaha telah diambil oleh kerajaan
Barisan Nasional Perak untuk mengalih perhatian rakyat Perak daripada isu itu, tetapi
segala usaha itu terbukti gagal. Rakyat sedar bahawa kerajaan yang ada hari ini
adalah tidak sah atau ‘haram’ disisi undang-undang. Rakyat Perak tidak akan
membenarkan keadaan ini berterusan lagi. Negeri Perak memerlukan satu
kerajaan sah yang diberi mandat oleh
rakyat.
Masa yang ditunggu-tunggu oleh
rakyat Perak sudah semakin hampir. Dalam sebulan dua ini Parlimen dan DUN Perak
akan dibubarkan. Barisan Nasional dan pakatan Rakyat akan turun ke gelanggang
pilihanraya. Kali ini, Barisan Nasional pasti akan tumbang di Negeri Perak.
Kewibawaan Barisan Nasional telah terhakis di bawah rejim Barisan Nasional yang
tidak sah di Negeri Perak. Rakyat dapat menilai, membuat pertimbangan yang
rasional dan membandingkan pemerintahan Pakatan rakyat selama 11 bulan dan
pemerintahan Barisan Nasional selama 4 tahun selepas rampasan kuasa. Barisan
Nasional tidak berjaya membawa apa-apa berubahan yang nyata di Perak. Banyak
slogan-slogan retorik seperti ‘Perak
Aman Jaya’, ‘Tiada Yang Tertinggal,
Tiada Yang Terpinggir’ adalah omong-omong kosong sahaja. Rakyat tidak boleh
ditipu lagi dengan janji-janji manis yang tidak dilaksanakan.
Tambahan pula rakyat Perak juga
sedar bahawa dalam tempoh 3 tahun kebelakangan ini lebih daripada 68000 ekar
tanah di seluruh Perak telah diberikan kepada kroni-kroni Barisan Nasional
dengan harga premium tanah yang terlalu murah. Oleh yang demikian, jelas bahawa
rampasan kuasa pada tahun 2009 dilakukan adalah semata-mata untuk membolot kekayaan
negeri dan memewahkan lagi pemimpin-pemimpin
Barisan Nasional dan kroni-kroninya.
Daripada analisa yang diperolehi
daripada pelbagai sumber didapati bahawa
Pakatan Rakyat Perak akan memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi daripada 59
kerusi yang akan ditandingi untuk Dewan Negeri Perak. Kemenangan yang besar ini
adalah perlu untuk menjamin
kesejahteraan dan kedudukan kerajaan
yang baru dipilih itu. Pakatan Rakyat Negeri Perak akan terus berusaha dengan
lebih gigih lagi untuk menambahkan lagi bilangan kerusi dalam PRU13.
Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat Perak cukup yakin bahawa rakyat negeri Perak
akan memberi mandat yang lebih besar dalam pilihanraya umum akan datang.
Langgan:
Catatan (Atom)