Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 14/4/2012 di Tronoh
Taman Tronoh Jaya Sakit Dipandang Mata
Setiap Majlis Daerah mempunyai tanggungjawab menjaga kebersihan kawasan yang berada di bawah kawal seliannya. Kebersihan harus diberi keutamaan oleh Majlis Daerah. Sering kali tanggungjawab ini diabaikan oleh Majlis Daerah dan memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang lain. Sebagai contoh di Taman Tronoh Jaya, Majlis Daerah Batu Gajah tidak mempedulikan rumput-rumput yang panjang di kebanyakan rumah-rumah terbiar atau kosong. Di Taman Tronoh Jaya terdapat beberapa puluh rumah yang tidak berpenghuni. Rumah-rumah ini ditumbuhi rumput yang panjang dan tidak dibersihkan.
Pihak yang bertanggungjawab tidak mengambil inisiatif untuk memotong rumput-rumput yang panjang ini. Perkara ini menyebabkan sebahagian besar kawasan taman ini tidak indah untuk pandangan. Tambahan pula semak di dalam kawasan rumah terbiar juga adalah bahaya. Mungkin ada ular atau serangga lain yang boleh membahayakan keselamatan penduduk taman ini. Ramai kanak-kanak di taman ini sering bermain berhampiran dengan rumah-rumah terbiar ini. Ada juga penghuni rumah taman ini yang mengadu pernah nampak ular di semak rumah-rumah yang terbiar itu.
Saya tidak tahu kenapa Majlis Daerah Batu Gajah tidak mengambil sebarang tindakan mengenai masalah yang dibangkitkan ini. Perkara yang harus diberi keutamaan dibiarkan untuk sekian lama. Ahli-ahli Majlis Daerah Batu Gajah hanya menerima elaun buta kerana tidak turun padang untuk menyelesaikan masalah rakyat. Mereka juga tidak prihatin terhadap masalah tempatan yang dibawa kepada perhatian Majlis Daerah.
Dato Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah melawat DUN Tronoh pada 12/4/2012. Beliau dibawa ke kawasan-kawasan yang tidak ada masalah. Pepimpin-pemimpin BN tempatan hanya membawa beliau ke kawasan-kawasan yang ‘jernih’. Zambry tidak dibawa ke tempat-tempat yang keruh dan bermasalah. Tidak ada guna turun padang hanya untuk tunjuk muka tetapi tidak menyelesaikan masalah rakyat. Zambry harus memberitahu pegawai-pegawai kerajaan negeri supaya membawa beliau ke tempat-tempat yang ada masalah, bukannya ke tempat-tempat tidak ada masalah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan