Selasa, 28 Februari 2012

Wayang Kulit BN di Desa Changkat


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Ahli Dewan Negeri Kawasan Tronoh pada 28/2/2012 di Batu Gajah.
Wayang Kulit BN di Desa Changkat

Penduduk Desa Changkat Batu Gajah mahukan satu padang permainan bolak sepak di kawasan itu. Memang terdapat satu tapak tanah yang sudah direzabkan untuk padang bola sepak di Desa Changkat. Pada masa pemerintahan Pakatan Rakyat, saya telah memulakan kerja-kerja memotong pokok dan membersihkan kawasan tapak itu.  Saya telah meminta pihak Majlis Daerah Batu Gajah untuk menyiapkan tapak itu dengan segala kemudahan untuk padang bola sepak. Setelah kerajaan Pakatan Rakyat tumbang, projek ini telah diabaikan oleh Majlis Daerah Batu Gajah. 

Saya telah membuat aduan berpuluh-puluh kali  kepada pihak Majlis Daerah Batu Gajah mengenai hal padang bola sepak ini. Tetapi, pihak Majlis Daerah Batu Gajah tidak mempedulikan langsung mengenai hal yang dibangkitkan. Masalah ini adalah masalah rakyat yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan. Kanak-kanak dan belia kawasan ini memerlukan padang bola sepak ini untuk aktiviti-aktiviti rekreasi pada waktu petang. Ini juga boleh membantu membendung gejala-gejala sosial yang lain seperti dadah dan kegiatan samseng di kawasan ini.

Malangnya kerajaan Barisan Nasional tidak mempedulikan hasrat rakyat untuk membantu menyelesaikan masalah yang dibangkitkan. Masalah kecil seperti ini pun tidak dapat diselesaikan oleh pihak Majlis Daerah Batu Gajah. Saya rasa sungguh sedih apabila kerajaan Barisan Nasional sanggup boros membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk projek-projek kroni mereka yang mewah.Sedangkan,  projek yang membawa manfaat kepada penduduk tempatan diabaikan. 

Beberapa bulan yang lalu saya telah membuat lawatan tapak sekali lagi dan  membuat pengumuman bahawa jika Majlis Daerah Batu Gajah gagal menyelesaikan masalah padang bola sepak ini, saya akan mengambil tanggunjawab dan menyiapkan padang itu untuk kepentingan penduduk kawasan itu. Saya akan membawa masuk tanah dan meratakan padang itu serta menyediakan semua kemudahan untuk padang bola sepak tersebut. Saya telah memberi tempoh 2 minggu kepada Majlis Daerah Batu Gajah untuk memulakan kerja-kerja di tapak padang itu. Setelah mencabar Majlis Daerah Batu Gajah, saya telah  memulakan kerja-kerja persediaan yang awal untuk membuat padang bola tersebut. Saya juga dijanjikan oleh pihak-pihak tertentu untuk membantu melaksanakan projek itu.

Tetapi, selepas beberapa hari  setelah saya membuat pengumuman itu, Ahli-ahli Majlis Daerah Batu Gajah daripada Barisan Nasional telah melawat tapak itu dan menjanjikan bahawa mereka akan melaksanakan projek itu. Mereka telah membawa masuk jentolak dan beberapa pekerja untuk bekerja di tanah lapang itu. Semua ini adalah ‘wayang kulit Barisan Nasional’ kerana selepas beberapa hari sahaja mereka telah menghilangkan diri. Mereka tidak membuat apa-apa kecuali mengorek longkang di satu bahagian tapak padang itu.

Mereka telah meninggalkan tapak itu begitu sahaja. Sudah lebih dua bulan tidak ada sesiapa pun daripada Majlis Daerah Batu Gajah turun padang  untuk melihat atau memantau kerja-kerja yang telah dijalankan. Ini terbukti bahawa Ahli-ahli Majis yang memberi janji kosong itu hanya bertujuan untuk memberhentikan kerja yang hendak saya laksanakan untuk kebaikan masyarakat Desa Changkat. Mereka ini adalah golongan penipu yang berniat buruk dan sanggup membelakangkan kepentingan rakyat. Saya juga rasa kecewa dengan pihak pentadbiran  Majlis Daerah Batu Gajah yang sanggup dipekudakan oleh ahli-ahli Majlis Daerah Batu Gajah Barisan Nasional untuk menipu penduduk Desa Changkat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan