Rabu, 5 Januari 2011

Apakah Jaminan Untuk Masyarakat India di bawah RMK-10


Kenyataan Media YB V.Sivakumar pada 4 Januari 2011


Apakah Jaminan Untuk Masyarakat India dibawah Rancangan Malaysia ke 10?


Masyarakat India di negara ini masih ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan. Ini menyebabkan taraf hidup masyarakat India jauh ketinggalan. Pada asasnya masyarakat India adalah golongan yang setia kepada kerajaan. Tetapi, mereka ditindas oleh kerajaan Barisan Nasional sejak kemerdekaan. Ramai diantara mereka hidup dalam keadaan sengsara di bawah garis kemiskinan. Tidak ada satu program atau rancangan khas dibentuk untuk membantu golongan ini. Kerajaan Barisan Nasional telah membiarkan masyarakat India menderita sepanjang zaman.


Program-program pembangunan ekonomi masyarakat India juga hanya menguntungkan pemimpin-pemimpin MIC. Pelaburan yang dibuat dalam Maika Holdings merupakan satu contoh bagaimana wang masyarakat India dibolot oleh pemimpin-pemimpin MIC. Apabila isu ini dibangkitkan, mereka sengaja memekap dan tidak ada penjelasan yang munasabah. Jika sejumlah wang itu dilaburkan dalam amanah-amanah saham yang lain sudah tentu masyarakat India telah memperolehi keuntungan yang besar dalam tempoh jangka panjang. Kerajaan Barisan Nasional menindas masyarakat India manakala pemimpin-pemimpin MIC pula mengambil kesempatan untuk membolot keuntungan daripada warga miskin ini dengan menabur kata-kata manis. Masyarakat India telah disesah dari semua sudut oleh golongan bangsawan dan pemimpin-pemimpin politik Barisan Nasional. Akhirnya masyarakat India tertipu dan nasibnya tidak terbela sehingga kini.


Sekali lagi pihak MIC telah memulakan strategi tipu muslihat untuk memperbodohkan masyarakat India. Baru-baru ini Timbalan Menteri Dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk SK Devamany dalam ucapan tahun baru memberi janji manis bahawa nasib kaum India akan terbela dalam Rancangan Malaysia ke Sepuluh. Adakah ini bermaksud bahawa beliau mengaku nasib masyarakat India tidak terbela di bawah Kerajaan Barisan Nasional dalam semua Rancangan-rancangan Malaysia sebelum ini? Dalam kata lain, Rancangan Malaysia Pertama hingga Rancangan Malaysia Kesembilan gagal member i perhatian terhadap masyarakat India di negara ini. Baru sekarang, beliau menaruh harapan bahawa kerajaan Barisan Nasional akan membantu masyarakat India dalam Rancangan Malaysia ke Sepuluh yang bermula pada tahun ini. Masyarakat India tidak akan tertipu lagi dengan gerlipan dusta pemimpin-pemimpin MIC seperti ini.


Adakah benar Rancangan Malaysia Ke Sepuluh akan membawa kemajuan sosio-ekonomi kepada masyarakat India di negara ini? Datuk SK Devamany harus membuktikan bagaimana kerajaan Barisan Nasional akan melaksanakan program-program pembangunan sosio-ekonomi masyarakat India. Senaraikan semua bantuan yang disediakan oleh kerajaan , jumlah wang yang telah diperuntukkan dan tempoh perlaksanaan projek-projek yang telah digariskan. Jangan cuba memperdayakan dan mengkaburi mata masyarakat India sekali lagi dengan konsep 1Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan