Selasa, 14 Disember 2010

Warga Miskin Dipinggir BN


Kenyataan Media YB V.Sivakumar pada 14 Disember 2010


Warga Miskin Dipinggir BN

Sedih melihat warga miskin yang berulang-alik ke Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana tidak mendapat bantuan atau sumbangan bulanan pada bulan November 2010. Orang-orang miskin ini mengharapkan wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi mereka telah dihampakan pada bulan November. Mereka sudah penat berulang-alik dari rumah ke bank dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Tetapi, sampai hari ini pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak tidak boleh memberi satu tarikh yang tetap untuk membayar sumbangan ini. Alasan yang mudah telah diberikan kepada mereka bahawa peruntukan tidak sampai daripada kerajaan persekutuan. Adakah ini satu alasan yang munasabah? Jika betul peruntukan tidak sampai daripada kerajaan persekutuan , kenapa perkara ini boleh berlaku? Ini membuktikan kerajaan persekutuaan tidak prihatin terhadap masalah dan keperitan hidup warga miskin di negara ini.


Kerajaan harus memberi keutamaan kepada golongan miskin kerana mereka tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak kecuali daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Jika bantuan ini tidak sampai pada masa yang tepat, ini bermakna kerajaan tidak serius dalam menyelesaikan masalah kemiskinan di negara ini. Apa gunanya ada KRA untuk menteri-menteri sedangkan masalah asas golongan miskin negara ini dipinggirkan. Sikap tidak peka dan sambil lewa ini juga bertentangan dengan slogan komik Barisan Nasional iaitu ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.


Kenapa pihak kerajaan persekutuan tidak membayar wang sumbangan warga miskin pada bulan November? Penerima sumbagan diberitahu bahawa wang akan dibayar pada bulan Disember. Bagaimana golongan miskin ini akan hidup tanpa sebarang bantuan sehingga mereka menerima wang tersebut? Mereka terpaksa makan, minum, perbelanjaan anak kecil, membayar sewa rumah, dan pelbagai perbelanjaan lain termasuk perbelanjaan kecemasan. Seramai 3 keluarga telah datang ke Pusat Khidmat DUN Tronoh untuk membuat aduan mengenai hal ini. Saya terasa amat kecewa kerana ini merupakan sikap kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan ‘mencuci tangan’. Golongan miskin ini terlalu daif dan tidak berani menentang atau menyuarakan keperitan mereka. Mereka tidak mahu gambar mereka dipaparkan dalam media kerana takut Kerajaan BN yang zalim ini akan memberhentikan terus sumbangan kebajikan yang mereka terima.


Adakah ini bermaksud kerajaan persekutuan tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk memberi bantuan kebajikan kepada warga miskin? Jika tidak ada wang, bagaimana pula kerajaan mempunyai wang untuk membuat projek-projek mega seperti Menara Warisan yang akan menelan RM 5 billion? Kerajaan BN memberi keutamaan kepada projek-projek untuk membantu kroni-kroni mereka. Sedangkan ramai yang hidup dalam keadaaan papa kedana yang tidak diberi perhatian yang serius. Jabatan kebajikan Masyarakat Negeri Perak harus mengambil langkah segera untuk membayar bantuan kewangan warga miskin yang ditinggalkan pada bulan November. Dalam pada itu, bantuan bulan Disember juga harus dibayar pada bulan ini dan bukannya pada bulan Januari 2011.

1 ulasan:

  1. berfikir sebelum bertindak.menyiasat sebelum sebar fitnah.mencari kebenaran sebelum kenyataan.jangan kerana pulut santan binasa.jangan kerana mulut rakyat merana.

    BalasPadam