Khamis, 16 September 2010

Cuti Umum 16 September, Kejayaan Pakatan Rakyat


Kenyataan Akhbar YB V.Sivakumar pada 16 September 2010 di Batu Gajah


Cuti Umum 16 September , Kejayaan Pakatan Rakyat


Malaysia terbentuk pada 16 September 1963. Tetapi, sehingga tahun lalu tarikh itu tidak diberi keistemewaan oleh kerajaan. Hari kemerdekaan disambut dengan meriah pada tiap-tiap tahun pada 31 Ogos. Jalur Gemilang dipasang diseluruh negara. Tetapi, tidak ada iktibar yang sama untuk menyambut Hari Malaysia yang tidak kurang pentingnya pada 16 September. Bagi Sabah dan Sarawak, tarikh 16 September mempunyai makna yang lebih besar daripada 31 Ogos. Walau bagaimanapun, 47 tahun telah berlalu untuk kerajaan sedar bahawa tarikh 16 September mempunyai ertikata yang sangat mendalam di sanubari setiap rakyat Malaysia. Pada 16 September inilah lahirnya nama baru untuk tanah air kita ‘Malaysia’.


Pakatan Rakyat mengiktiraf sepenuhnya Hari Malaysia untuk disambut meriah oleh seluruh rakyat negara ini termasuk Sabah dan Sarawak. Tekanan dan desakan telah diberikan oleh Pakatan Rakyat terhadap kerajaan untuk membuka tirai menyambut Hari Malaysia yang penuh bermakna ini. Atas desakan tersebut, maka pada tahun ini kerajaan telah mengisytiharkan 16 September sebagai hari cuti umum. Kerajaan telah sedar dan menjadikan pertikaian yang diungkitkan oleh Pakatan Rakyat sebagai satu pedoman untuk mengambil tindakan ini. Kerajaan juga mengaku kesilapan yang telah dilakukan olehnya selama 45 tahun tidak memberi keutamaan yang sewajarnya kepada Hari Malaysia. Pemberian cuti umum pada 16 September ini merupakan satu kejayaan besar kepada usaha Pakatan Rakyat menanam Semangat Malaysia dikalangan rakyat jelata.


Semangat Malaysia ini adalah penting kerana negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan. Untuk menjamin kesejahteraan dan kemajuan negara, Semangat Malaysia ini akan menjadi tunggak perpaduan. Kita tidak mahu rakyat negara ini pecah belah. Kita tidak mahu pihak-pihak tertentu mengancam perpaduan masyarakat dalam negara ini. Kita mahu lihat negara ini aman dan damai. Rakyat hidup secara muhibbah tanpa hasad dengki dan bermusuhan. Inilah aspirasi yang perlu ditanam didalam jiwa setiap rakyat di negara ini. Kita juga harus mengutuk sekeras-kerasnya orang-orang yang mahu mencemarkan perpaduan negara ini .


Sehubung dengan itu Pakatan Rakyat Batu Gajah telah menganjurkan sambutan Hari Malaysia yang bertema ‘Malaysia Untuk Rakyat Malaysia’ . Sambutan ini dibuat pada pukul 10 pagi di Cawangan DAP Kampung Baru Bemban, Batu Gajah. Turut hadir bersama ialah V.Sivakumar (ADUN Tronoh), Lim Pek Har (ADUN Menglembu), YDP PAS Batu Gajah Ustaz Ismail, Wakil PKR saudara Anthony, Pengerusi DAP dari cawangan-cawangan DUN kawasan Tronoh, ahli-ahli dan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat. Program dimulakan dengan jamuan ringan diikuti dengan ucapan pimpinan tempatan untuk menyemarakan Semangat Malaysia.


Dalam ucapan V.Sivakumar , ADUN Tronoh, beliau berkata, “ Kita lahir di Malaysia, kita juga akan mati di Malaysia, kita tidak ada negara lain melainkan Malaysia. Oleh, itu kita harus setia dan mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan Malaysia daripada segala bentuk ancaman. Kita mahu melihat Malaysia yang bebas daripada jenayah, rasuah, kronisme dan nepotisme. ”


Beliau juga melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan berkata, “Bila saya berada di Malaysia, saya dipanggil India, Bila saya pergi ke India, saya dipanggil Malaysia….siapa saya?” Adakah 1Malaysia yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri akan berjaya mencari satu penyelesaian untuk masalah ini yang dihadapi oleh sebilangan besar rakyat yang dilahirkan di negara ini? Atau pun 1Malaysia hanya sekadar mata kail untuk memancing undi dalam pilihanraya akan datang?

V.Sivakumar
ADUN Tronoh

1 ulasan:

  1. Wahai Siva,

    Keputusan supaya tarikh 16 September sebagai hari kelepasan am bukannya kejayaan PR (tak berdaftar) sebab keputusan yang dibuat oleh PM bukannya atas desakan mana2 pihak.

    Apa sebab pula PR (tak berdaftar) yang dapat nama.

    PR (tak berdaftar) tak malukah sebab tarikh itu dijadikan oleh Anwar sebagai tarikh pembohongannya.

    Oleh itu, apa sebabnya ini adalah kejayaan PR (tak berdaftar) sedangkan PR (tak berdaftar) menjadikan tarikh ini tarikh gila kuasa.

    Kerajaan BN menjadikan tarikh ini satu tarikh yang sangat bermakna dan bersejarah buat rakyat yang cintakan negaranya yang bernama Malaysia.

    Dan Malaysia ini ditafsirkan oleh Siva tidak sama seperti yang ditafsirkan oleh kerajaan dan rakyat yang cintakan negaranya.

    Saya menunggu kelulusan untuk memasuki ruang komen ini. Kalau kelulusan tidak berjaya, sila beri ulasan untuk saya memohon rayuan.

    Sekian.

    BalasPadam