Jumaat, 19 Mac 2010

Membenarkan Orang Awam & Media Sebagai Pemerhati Dewan


Kenyataan Media YB V.Sivakumar pada 19 Sept 2010 di Ibu Pejabat PKR Ipoh.

Membenarkan Orang Awam & Media Sebagai Pemerhati Dewan

Dewan Negeri adalah forum rakyat. Rakyat telah memilih wakil-wakil mereka melalui pilihanraya. Oleh itu, rakyat berhak untuk melihat tingkah-laku ataupun gelagat wakil-wakil mereka di dalam Dewan Negeri. Rakyat tidak boleh dihalang oleh mana-mana pihak untuk memasuki Dewan Negeri sebagai pemerhati. Jika ada pihak yang cuba menghalang kemasukan orang awam ke dalam Dewan Negeri, maka itu merupakan satu lagi pencabulan amalan demokrasi. Kerajaan Persekutuan mahu ‘rakyat diutamakan’ oleh itu orang awam seharusnya diberi peluang untuk memasuki Dewan Negeri untuk memastikan wakil-wakil mereka menjalankan kewajiban mereka atau pun tidak. Apa salahnya jika orang awam dibenarkan masuk melihat persidang Dewan Negeri?

Pada tahun lalu, kedua-dua persidangan yang dibuat di dalam Dewan Negeri dikendalikan secara tertutup. Orang awam tidak dibenarkan masuk. Malah, polis telah mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang orang ramai berada di perkarangan bangunan Perak Darul Ridzuan. Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku pada tahun ini. Tindakan pihak polis dan mahkamah itu adalah amat memalukan. Oleh yang demikian, pihak pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri harus mengambil semua langkah-langkah untuk membenarkan orang ramai menghadiri persidangan Dewan Negeri pada 30 Mac 2010 nanti.

Tambahan pula, untuk menjamin kebebasan akhbar, pihak pentadbiran Setiuasaha Kerajaan Negeri tidak boleh menghalang mana-mana wartawan menghadiri sidang Dewan. Para wartawan dari semua lapisan termasuk media elektrnik dan media antarabangsa juga harus dibenarkan membuat liputan persidangan Dewan Negeri. Pihak kerajaan tidak harus membuat persidangan secara sembunyi ataupun rahsia. Pihak media harus diberi kebebasan sepenuhnya membuat segala liputan berkenaan dengan perjalanan persidangan Dewan Negeri pada 30 Mac 2010. Pihak kerajaan juga tidak melakukan tipu muslihat untuk hanya membenarkan media pro Barisan Nasional membuat liputan persidangan dewan. Media neutral dan media pembangkang seperti Harakah, Rocket, Suara Keadilan , Era Pakatan juga seharusnya diberi jaminan untuk menghadiri persidangan dewan tersebut. Jika media-media ini tidak dibenakan membuat liputan persidangan, maka ini bermaksud pihak kerajaan bertindak secara berat sebelah ataupun ‘double standard’ dalam melaporkan keadaan sebenar yang berlaku dalam dewan. Pihak kerajaan tidak boleh mengkaburi rakyat dengan berita-berita satu pihak. Dalam pada itu, pihak kerajaan juga seharusnya berani menghadapi kenyataan ataupun realiti dan tidak pula takut kepada bayang-bayang sendiri.

Saya selaku Speaker yang sah untuk Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan mengarahkan pihak pentadbiran Pejabat Setiusaha Kerajaan Negeri supaya tidak menghalang pemerhati awam dan semua pihak media menghadiri persidangan dewan. Pihak pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri seharusnya mengumumkan supaya permohonan kebenaran boleh dibuat dengan serta merta oleh media-media yang ingin membuat liputan pada hari persidangan. Segala usaha untuk menghalang orang ramai dan pihak media menghadiri persidangan 30 Mac 2010 adalah dianggap sebagai kegagalan kerajaan BN dalam menghidupkan kembali demokrasi di Perak. Oleh yang demikian, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kepada rakyat harus menghormati undang-undang dan tidak megulangi tabiat buruk seperti pada tahun yang lepas. Undang-undang adalah pengukuh masyarakat, maka ia tidak boleh disalah gunakan untuk mencapai matlamat politik dalam kerakusan mengejar kuasa.


V.Sivakumar
19 Mac 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan