GERAKAN MAHASISWA MANSUHKAN AUKU/AKTA 174
KENYATAAN AKHBAR: 10 JUN 2014
HORMATI HAK ASASI MAHASISWA, MANSUHKAN AUKU DAN AKTA 174
Berhimpun Dan Bersuara, 25 Mahasiswa Jadi Mangsa Auku Dan Akta 174.
Sepanjang enam bulan dalam tahun 2014, 25 orang mahasiswa sudah dikenakan tindakan
prosiding tatatertib oleh pihak Universiti masing-masing. Rata-rata mahasiswa yang
dikenakan prosiding ini hanya mempraktikkan hak mereka sebagai rakyat Malaysia yang
dijamin dalam Perlembagaan Persukutuan iaitu hak untuk berhimpun secara aman, hak
untuk bersuara dan hak untuk beraktiviti dan berorganisasi.
Daripada 25 mahasiswa tersebut, 24 orang dituduh di bawah Akta Universiti dan Kolej
Universiti (Pindaan) 2012 (Auku) iaitu akta yang mengawal seluruh Institusi Pengajian
Tinggi Awam (IPTA). Manakala seorang lagi di tuduh di bawah Akta Institusi-Institusi
Pelajaran 1976 (Akta 174) iaitu akta yang mengawal Universiti Teknologi Mara (UITM),
Kolej Matrikulasi, Institusi Pendidikan Guru (IPG), Kolej Komuniti , dan Politeknik.
Pada 18 April 2014, empat orang mahasiswa Universiti Malaya yang dikenakan surat
tunjuk sebab kerana menyertai pehimpunan membantah penurunan harga getah di
hadapan parlimen pada 8 April 2014.
Kemudian pada 9 Mei 2014, empat orang lagi mahasiswa Universiti Malaya yang dikenakan
surat tunjuk sebab kerana mengangkat sepanduk membantah TPPA dan hukuman mati di
Mesir semasa Presiden Obama berucap dalam Dewan Tunku Canselor UM pada 27 April
2014.
Tidak cukup dengan itu, pada 26 Mei 2014, giliran 16 mahasiswa Universiti Malaysia Sabah
Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pula dikenakan prosiding tatatertib kerana
mengadakan perhimpunan membantah tindakan pihak pentadbiran yang menarik semula
sebuah premis kedai dalam kampus yang sudah diuruskan mahasiswa selama 6 tahun.
Pada 28 April 2014, seorang mahasiswa Universiti Teknologi Mara Cawangan Kota
Kinabalu (UITM KK) dikenakan 11 pertuduhan di bawah Akta 174 dan dibawa ke prosiding
tatatertib oleh pihak pentadbiran UITM kerana beliau sering membuat kenyataan terbuka
di laman sosial sosial facebook yang dianggap menggugat kepentingan UITM. Antara
kenyataan beliau yang dianggap menggugat kepentingan UITM itu termasuklah kenyataan
beliau yang mengecam Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan
pada tahun 2015.
Pindaan Auku 2012, Tidak Cukup Untuk Membebaskan Mahasiswa.
GMMA/174 percaya semestinya ramai pihak yang bertanya, bukankah Auku telah dipinda
dan mahasiswa sudah bebas berpolitik?. Maka inilah hakikat yang sedang dihadapi oleh aktivis mahasiswa. Mulut, tangan dan kaki mahasiswa masih dirantai oleh peraturan peraturan konservatif pihak Universiti. Pindaan Auku 2012 masih tidak cukup untuk membebaskan mahasiswa daripada undang-undang restriktif pihak Universiti. Biarpun peruntukan paling konservatif dalam Auku
sudah dimansuhkan iaitu sekatan terhadap mahasiswa berpolitik dalam Seksyen 15, tetapi
masih ada peruntukan lain yang memberi absolute power kepada pihak Pengurusan
Universiti untuk membuat Kaedah-kaedah tatatertib sendiri. Sememangnya di dalam Auku sendiri tidak akan ditemui peruntukan yang mengekang aktivisma mahasiswa secara jelas,
tetapi Auku memberi kuasa kepada pihak Universiti untuk membuat regulasi tatatertib
seperti yang terkandung dalam Seksyen 16C (1). Kuasa inilah membuka ruang untuk
Kaedah-kaedah Tatatertib itu dibuat secara prejudis terhadap mahasiswa.
Begitu juga dengan Akta Institusi-institusi Pelajaran 1976 (Akta 174) yang kurang popular
berbanding Auku. Tetapi Akta inilah yang selama ini berjaya mendiamkan aktivis
mahasiswa daripada Uitm dan juga menakut-nakutkan penuntut Institusi Pendidikan Guru.
Berbeza dengan Auku, Akta 174 secara terang-terangan mengandungi peruntukan yang
drakonian seperti yang terkandung dalam Jadual Kedua akta berkenaan. Jadual kedua ini
mengandungi 26 jenis-jenis kesalahan tatatertib termasuk beberapa sekyen yang
menghalang hak asasi mahasiswa seperti hak untuk berhimpun secara aman, hak untuk
berekspresi dan hak untuk bebas berorganisasi.
Hasil penelitian pihak GMMA/174, terdapat beberapa buah universiti seperti Universiti
Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Malaya (UM), dan Universiti Malaysia Sabah (UMS)
menggunakan Jadual Kedua, Akta 174 untuk membuat Kaedah-kaedah Tatatertib dengan
kuasa yang diberikan oleh Seksyen 16C (1) Auku. Kaedah-kaedah tatatertib yang dibuat di bawah Auku dan Akta 174 ini jelas bertentangan
dengan Fundamental Rights yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan
iaitu setiap rakyat Malaysia memiliki hak untuk bebas berhimpun secara aman, bebas
bersuara dan bebas untuk berorganisasi. Tetapi Auku dan Akta 174 seolah-olah memberi
kuasa kepada pihak pengurusan Universiti untuk mencabuli hak ini.
Auku dan Akta 174 juga menjadi barah yang menyebabkan pihak pegurusan Universiti
membuat regulasi yang mencabuli prinsip-prinsip hak asasi manusia seperti yang
terkandung di dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa (UDHR) 1948 yang turut
dipersetujui oleh Kerajaan Malaysia.
GMMA/174 tidak pasti samada pihak Pengurusan Universiti tidak tahu atau sengaja untuk
tidak ambil tahu mengenai regulasi Mahkamah Rayuan Putrajaya yang mengisytiharkan
Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman sebagai tidak sah kerana mencanggahi
Perlembagaan Persekutuan. Keputusan Mahkamah Rayuan ini menunjukkan Seksyen 9(5)
Akta Perhimpunan Aman terbatal kerana bersifat Ultra Vires dengan Perlembagaan
Persekutuan. Oleh itu sangat menghairankan bagaimana pihak pengurusan universiti
bukan sahaja tidak mahu memansuhkan Kaedah-kaedah tatatertib drakonian, bahkan
masih menggunakannya ke atas mahasiswa.
Mansuhkan Auku dan Akta 174 Demi Hak Asasi Mahasiswa.
Atas kesedaran dan semangat ingin membebaskan mahasiswa daripada belengu Auku dan
Akta 174, hari ini GMMA/174 telah menyerahkan satu memorandum kepada pihak
Parlimen Malaysia bagi menuntut perkara berikut:-
1. SETIAP AHLI PARLIMEN SAMADA PAKATAN RAKYAT, BARISAN NASIONAL
MAHUPUN BEBAS PERLU MENGELUARKAN KENYATAAN BAGI MENGECAM
TINDAKAN PIHAK UNIVERSITI YANG MENGGUNAKAN AUKU DAN AKTA 174
KE ATAS 25 MAHASISWA YANG DINYATAKAN DALAM MEMORANDUM INI,
DAN SETERUSNYA MENGGESA NAIB CANSELOR UNIVERSITI TERBABIT
AGAR MEMBATALKAN SEGALA PERTUDUHAN, HUKUMAN DAN PROSIDING
TATATERTIB TERHADAP MEREKA SECARA SERTA MERTA.
2. AHLI PARLIMEN SAMADA DARI PAKATAN RAKYAT, BARISAN NASIONAL
MAHUPUN BEBAS PERLU MENGUSULKAN PENUBUHAN SEBUAH
JAWATANKUASA KHAS PARLIMEN BAGI MENYEMAK DAN MENELITI
TUNTUTAN PEMANSUHAN AUKU, AKTA 174 DAN MANA-MANA AKTA LAIN
YANG BERKAITAN PENGAJIAN TINGGI TERMASUK KAEDAH-KAEDAH
TATATERTIB YANG DIGUNA PAKAI OLEH PIHAK UNIVERSITI SAMADA IPTA
MAHUPUN IPTS.
3. AHLI PARLIMEN SAMADA DARI PAKATAN RAKYAT, BARISAN NASIONAL
MAHUPUN BEBAS PERLU MENGGESA KERAJAAN MALAYSIA AGAR SEGERA
MEMANSUHKAN AUKU, AKTA 174, DAN SEMUA AKTA YANG MENGEKANG
KEBEBASAN HAK ASASI MAHASISWA DEMI MENGEMBALIKAN AUTONOMI
UNIVERSITI.
GMMA/174 berharap tuntutan yang dikemukakan ini akan mendapat perhatian yang
sewajarnya daripada pihak bertanggungjawab.
Untuk tindakan selanjutnya, pihak GMMA/174 sedang menjalankan perbincangan dengan
pihak peguam berhubung kemungkinan membawa perjuangan menentang Auku dan Akta
174 ini ke mahkamah. GMMA/174 akan berusaha menggunakan segenap cara bagi
menghentikan penindasan terhadap mahasiswa akibat Auku dan Akta 174.
GMMA/174 juga dengan kerjasama semua front mahasiswa akan mengadakan Roadshow
Campus bagi menerangkan kepada mahasiswa mengenai perjuangan memansuhkan Auku
dan Akta 174. Hal ini kerana GMMA/174 akui masih ramai mahasiswa di luar sana yang
masih tidak jelas mengapa Auku dan Akta 174 perlu dimansuhkan.
Sekian.
______________________________
Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku/Akta 174
GMMA/174
Tiada ulasan:
Catat Ulasan