Selasa, 17 Jun 2014

Petani Lama Ditindas, Petani Baru Dijemput Bertani

Kenyatan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 16 Jun 2014 di Dewan Rakyat

Petani Lama Ditindas, Petani Baru Dijemput Bertani.  Sikap Kerajaan Hipokrit Perlu Dihentikan Jika Benar-benar Mahu Memajukan Sektor Pertanian Di Negara Kita.

 Bukan mudah untuk menceburi bidang pertanian. Selain daripada modal kewangan, seseorang yang mahu menceburi bidang pertanian menerlukan tanah untuk diusahakan. Tanpa adanya tanah aktiviti pertanian pasti tidak dapat diusahakan. Oleh yang demikian, isu tanah merupakan masalah utama yang perlu diselesaikan jika kita hendak memajukan sektor pertanian.

Dalam menjawab soalan lisan yang dibanglitkan di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Pertanian Dan Industi Tani Datuk  Tajuddin Abdul Rahman menyatakan bahawa kementerian telah mengambil pelbagai langkah untuk membantu golongan muda yang mahu menceburi bidang pertanian. Beliau juga menegaskan bahawa golongan muda ini tidak seharusnya amat bergantung kepada sektor swasta atau awam untuk mendapat jawatan penggajian. Menjadi usahawan  sendiri  dalam sektor pertanian  adalah lebih baik kerana pulangannya pun agak menggalakkan. Memang sedap didengar hujan-hujan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Tani itu di Dewan Rakyat.

Tetapi, pernahkah Timbalan Menteri tahu masalah sebenar yang dihadapi oleh petani-petani yang sedia ada di luar? Adalah senang untuk mempelawa graduan-graduan baru untuk menceburi sektor pertanian. Tetapi bolehkah kerajaan menyediakan tapak tanah kepada mereka untuk diusahakan? Jika kerajaan tidak sanggup menyediakan tanah, macam manakah golongan muda atau graduan-graduan baru ini boleh menceburi sektor pertanian.

Mereka tidak boleh memgusahakan tanah swasta yang dimiliki oleh  orang lain. Begitu juga tanah kerajaan,  tidak mudah diperolehi kerana pelbagai sebab dan alasan diketengahkan. Jika kerajaan tidak bersedia untuk memberi tanah, bagaimanakah golongan ini dapat mengusahakan atau menceburi bidang pertanian.

Masalah ini perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kita terlalu ghairah menjemput golongan muda terutamanya graduan-graduan baru. kementerian Pertanian Dan Industri Tani harus mempunyai satu mekanisma tertentu dan mendapat  kerjasama daripada kerajaan-kerajaan negeri dalam hal berhubung dengan tanah pertanian.

Di  negara kita ramai yang mengusahakan tanah pertanian secara haram. Mereka telah mengusahakan tanah selama bertahun-tahun lama. Walaupun aktiviti pertanian mereka  dilakukan secara haram iaitu di atas tanah kerajaan tetapi sumbaganan mereka kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan  pertanian tidak dapat dinafikan. Mereka juga turut menghasilkan sumber bahan pertanian terutamanya makanan kepada rakyat Malaysia.

Permohonan tanah pertanian yang mereka sedang usahakan itu sentiasa ditolak oleh Pejabat Tanah. Mereka juga sukar untuk memperolehi  TOL. Oleh yang demikian,  mereka tidak berani memperluaskan usaha tani mereka terutamanya  membawa masuk teknologi baru yang boleh meningkatkan produktiviti . Mereka menjalankan aktiviti  pertanian secara kecil-kecilan ataupun sederhana walaupun minat untuk memperluasakan usaha memang ada.

Seringkali mereka menghadapi gangguan daripada pihak kerajaan ataupun pihak-pihak yang lain. Sebagai contoh kerajaan  memberi notis kepada mereka untuk kelaur daripada kawasan yang diusahakan kerana ada projek-projek lain. Mereka juga jarang sekali diberi  tanah gantian untuk diusahakan semula.

Dalam pada itu, ada juga pihak ketiga yang diluluskan tanah yang sama  untuk menjalankan aktiviti pertanaian. Pihak ketiga ini langsung tidak mempunyai apa-apa kepentingan di tanah yang telah diusahakan. Bagaimanakah pihak ketiga ini diberi kelulusan tanah sedangkan orang yang mengusahakan tanah itu pula dihalau keluar secara zalim.

Saya ingin meminta  Timbalan Menteri Pertanian dan Industi Tani samada kementerian mempunyai satu garis panduan ataupun peraturan-peraturan tertentu untuk menangani masalah yang dihadapi oleh petani-petani yang mengusahakan tanah kerajaan secara haram.

Tidak ada gunanya  kementerian mengambil pelbagai inisiatif untuk memajukan sektor pertanian tetapi tidak ada satu rancangan yang spesifik untuk membantu petani-petani seperti ini. Kerajaan harus berlaku adil kepada petani-petani ini kerana mereka juga telah menyumbangkan keringat mereka dalam memajukan sektor pertanian.  Kerajaan tidak boleh mengambil sikap hipokrit apabila bersedia membantu petani-petani muda tetapi pada masa yang sama menghalau petani-petani  yang telah mengusahakan di tanah kerajaan.


V.Sivakumar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan