Selasa, 17 Jun 2014
Kekurangan Bekalan Tempatan; 30% Beras Masih Diimport.
Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 11 Jun 2014 di Dewan Rakyat.
Negara kita tidak boleh lagi terus bergantung kepada sumber import untuk mengimbangi keperluan beras. Suatu langkah untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan perlu dilaksanakan dengan segera. Beras merupakan barang keperluan makanan yang utama di negara kita.
Kekurangan beras dalam negara akan pasti menaikkan harganya dan termasuk barang-barang yang diperbuat daripadanya. Kenaikan harga ini akan menjadi beban kepada seluruh rakyat Malaysia yang makanan rujinya adalah beras.
Apabila bekalan terhad dan permintaan meningkat akibat kenaikan dalam demografi penduduk akan pasti membawa kenaikan harga barang keperluan yang utama ini. Kita tidak ada sumber makanan alternatif lain sebagai makanan ruji yang disukai oleh rakyat Malaysia. Kita juga tidak boleh mengambil ringan tentang kadar pertumbuhan penduduk negara yang agak pesat iaitu 2.6% setahun. Apakah nasib rakyat terutamanya golongan miskin jika harga beras naik tanpa dikawal kerana bekalannya terhad dan permintaannya bertambah.
Kenaikan harga beras berlaku akibat kekurangan bekalan di pasaran. Kekurangan bekalan ini berpunca daripada kekurangan pengeluaran. Memang tidak dapat dinafikan kekurangan penghasilan beras berlaku secara global sebagai implikasi kepada beberapa dasar pertanian dan cuaca dunia yang tidak menentu. Oleh yang demikian, pengantungan kepada beras yang diimport akan sentiasa meletakkan negara dan rakyat kita dalam satu suasana yang amat bahaya.
Kerajaan harus memberi tumpuan bagi menyelesaikan masalah ini di jangka pendek dan juga di jangka panjang. Penyelesaian jangka pendek adalah penting supaya masalah ini tidak meruncing dan dapat ditangani dengan baik. Kerajaan harus memastikan stok beras yang cukup untuk menampung keperluan jangka pendek. Ini adalah penting untuk menangani apa-apa kesulitan dalam menghasilkan bekalan beras yang mencukupi.
Negara kita mengimport lebih kurang 30% beras dari negara lain. Jika berlaku kekurangan bekalan beras yang diimport dari negara lain, ini akan mengganggu gugat harga beras negara ini dan seterusnya kehidupan harian rakyat negara kita.
Dasar Pertanian yang sedia ada perlu dikaji semula dan dasar pertanian yang lebih baik perlu digubal bagi mengimbangi keperluan makanan. Negara kita tidak boleh terus bergantung kepada sumber import untuk mengimbangi keperluan beras. Menambahkan import beras tidak akan menyelesaikan masalah ini di jangka panjang.
Di Malaysia, daripada 6.4 juta hektar tanah yang digunakan untuk bidang pertanian, hanya lebih kurang 0.5 juta hektar sahaja yang ditanam padi. Kita terlalu bertumpu kepada pertanian kelapa sawit dan getah tetapi agak ketinggalan dalam soal pertanian makanan terutamanya dalam penghasilan padi. Ini merupakan suatu kegagalan Dasar Pertanian Negara. Kerajaan perlu peka dalam menentukan keutamaan sesuatu dasar yang ingin dilaksanakan.
Mengikut statistik Unit Perancangan Ekonomi (EPU) secara purata seorang rakyat Malaysia makan 200g nasi sehari atau 78kg setahun. Ada pendapat yang mengatakan jumlah ini perlu dikurangkan untuk menangani isu kekurangan bekalan beras. Tetapi, kebanyakan orang di Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya makan nasi sekali sehari. Walaupun kaedah atau cadangan untuk mengurangkan penggunaan beras itu merupakan satu saranan yang baik tetapi tidak praktikal.
Terdapat banyak sawah padi pada tahun 1970-an di Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak dan Kelantan. Tetapi, keluasan kawasan tanaman padi telah mula berkurangan mengikut peredaran masa. Salah satu faktor yang pengurangan ini adalah kerana terlalu banyak tumpuan diberi kepada dasar perindustrian negara. Negara kita telah terlalu ghairah untuk berubah dari sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian.
Kekurangan keluasan sawah padi menjadi punca utama kekurangan bekalan. Kini, kerajaan sedar tentang masalah yang ditimbulkan olehnya dan mula membuka kawasan baru untuk penanaman padi. Kerajaan juga terpaksa berbelanja berbillion ringgit untuk meningkatkan hasil beras.
Satu lagi masalah yang dihadapi oleh sektor ini ialah penswastaan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN). Dalam Persidangan Dewan Rakyat pada 11 Jun 2014 saya telah mencelah perbahasan Ahli Parlimen Jerlun untuk menanyakan tentang kedudukan BERNAS yang sangat diragui. Berikut adalah teks ucapan saya :-
"BERNAS telah diswastakan pada bulan Januari 1996 dan mengambil alih peranan LPN untuk menjaga industri padi dan beras negara di negara kita. Ini merupakan satu tindakan yang tidak strategik malah menjadi salah satu faktor yang menimbulkan masalah kepada sektor penanaman padi. Beras sebagai makanan ruji negara kita harus dijaga oleh kerajaan bukan ditanggungjawabkan kepada pihak swasta. Pengarah dan eksekutifnya sudah tentu ingin melihat BERNAS meraih keuntungan sebagai sebuah syarikat yang disenaraikan di BSKL. Para petani pula berasa kurang senang dengan BERNAS. Ramai yang berpendapat bahawa LPN harus dieujudkan semula untuk kebaikan sektor tanaman padi ini."
Ahli Parlimen Jerlun turut mengulas kenyataan saya dan bersetuju bahawa satu Lembaga seperti LPN harus diwujudkan kembali untuk meregulasikan dan meningkatkan output beras negara. Pengantungan kepada BERNAS akan menghampakan rakyat kerana badan itu akan mementingkan keuntungan dan bukannya masalah rakyat.
Kementerian Pertanian pernah menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran beras sebanyak 1 tan bagi setiap hektar tanaman. Sejauh manakah sasaran ini telah dicapai oleh kerajaan setakat ini? Pada realitinya, Malaysia masih belum mencapai tahap sara diri pengeluran bahan makanan bagi keperluan penduduknya.
Menjawab soalan lisan berkaitan dengan hasil pengeluran padi di Negeri Perak, Menteri Pertanian Dan Industi Asas Tani memberi jawapan bahawa jumlah hasil padi negeri Perak pada tahun 2013 adalah 337,058 tan metrik iaitu 12.83% berbanding dengan jumlah hasil pengeluaran padi negara sebanyak 2,626,881 tan metrik. Potensi untuk meningkatkan pengeluaran padi di negeri Perak adalah cerah. Oleh yang demikian, pihak kementerian dan kerajaan negeri harus mengambil usaha-usaha untuk melaksanakan penanaman padi berskala besar di Perak.
Sebagai kesimpulan kita kena ingat bahawa keselamatan negara juga boleh tergugat akibat kekurangan bekalan beras dan kenaikan harga bekalan bahan makanan asasi. Kenaikan harga beras meresahkan penduduk terutamanya golongan yang berpendapatan rendah. Keadaan akan bertambah buruk dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat. Oleh yang demikian, kerajaan harus memberi fokus secukup-cukupnya dalam agenda meningkatkan output bekalan bahan makanan terutamanya beras untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan