Ahad, 22 Jun 2014

Guru-guru Yang Berkelayakan Tinggi Harus Diiktiraf Oleh Kementerian Pendidikan Untuk Meningkatkan Mutu Pendidikan Negara



 Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 21 Jun 2014 di Kampung Baru Bemban, Batu Gajah. ( Majlis Makan Malam SJKC Bemban, Batu Gajah)


 Setakat ini, terdapat 420,000 guru untuk semua peringkat sekolah di seluruh negara. Apakah peluang untuk guru-guru yang memiliki kelayakan tinggi yang masih dalam perkhidmatan. Kelayakan biasa yang diperlukan untuk menjadi guru ialah diploma pendidikan ataupun ijazah sarjana muda daripada universiti.

Kementerian Pendidikan Malaysia juga ada program-program tertentu termasuk pembiayaan biasiswa untuk guru-guru siswazah untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi seperti ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran.  Ramai juga diantara guru-guru yang telah mendapat manfaat daripada program-program pendidikan yang diatur khas untuk guru-guru.

Walau bagaimanapun, ramai juga diantara guru-guru yang tidak mendapat peluang seperti ini. Kerajaan pasti tidak dapat memenuhi kehendak semua guru-guru untuk membiayai pendidikan tinggi mereka. Oleh yang demikian, ramai diantara guru-guru yang masih berkhidmat melanjutkan pelajaran mereka dengan inisiatif sendiri.

Mereka tidak berpeluang mendapat cuti belajar malah terpaksa menanggung semua kos pembelajaran. Inisiatif guru-guru ini adalah untuk menimba  ilmu yang secara langsung bertujuan  meningkatkan tahap profesionalisme mereka. Ini adalah satu kebaikan yang nyata bagi pihak sekolah dan juga pelajar-pelajar secara khususnya.

Tetapi, setelah guru-guru ini tamat pengajian dan memperolehi ijazah sarjana ataupun sarjana kedoktoran, mereka tidak mendapat apa-apa ganjaran daripada pihak kementerian. Walaupun tahap kelayakan mereka ditingkatkan dengan usaha sendiri, tetapi tidak mendapat pengiktirafan daripada majikan iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia.

Ramai diantara guru-guru yang memiliki kelayakan tinggi ini tidak diberikan kenaikan pangkat atau gaji mengikut kelayakan mereka. Mereka terpaksa meneruskan kerja mereka pada jawatan  yang sama walaupun mereka telah memperolehi kelayakan yang lebih tinggi. Pada pandangan saya, ini adalah tidak adil. Mereka yang telah berusaha dengan inisiatif sendiri harus diberi pertimbangan yang sewajarnya untuk kenaikan pangkat dan gaji. Golongan ini sepatutnya  diberi peluang yang lebih baik dalam karier pendidikan mereka.

Pada masa ini, kerajaan tidak prihatin terhadap guru-guru yang memiliki kelayakan yang lebih tinggi. Kementerian harus mengenal pasti semua guru-guru yang memperolehi kelayakan yang tinggi daripada institusi-institusi pengajian tinggi yang diiktiraf. Kumpulan ini harus diberi insentif tertentu untuk menghargai pengorbanan mereka dan pada masa yang sama memberi kepujian kepada mereka.

Ini akan menjadi semangat dan dorongan kepada mereka untuk meningkatkan tahap pendidikan masing-masing. Tambahan pula, guru-guru dari golongan muda juga akan menjadikan ini sebagai satu pedoman untuk terus berusaha  meningkatkan tahap pendidikan mereka. Semua ini akan menjadi aset kepada Kementerian Pendidikan yang memiliki guru-guru yang berpendidikan tinggi. Tambahan pula, guru-guru ini juga akan terus berusaha meningkatkan taraf mutu pendidikan negara.

Apabila guru-guru yang memiliki kelayakan yang lebih itu tidak dipedulikan, mereka akan berasa kecewa dan patah semangat. Mereka juga akan hilang kemahuan untuk berkhidmat pada tahap optimum terutamanya dalam proses pengajaran. Semangat guru untuk mengajar adalah penting untuk memastikan kejayaan anak muridnya. Guru-guru yang bersemangat dan bermotivasi tinggi akan dapat melahirkan pelajar-pelajar yang lebih cemerlang. Oleh yang demikian, kerajaan harus mengambil semua langkah-langkah untuk mengiktiraf guru-guru yang berkelayakan tinggi ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan