Ahad, 22 Jun 2014

Tambahkan Pengeluaran Beras Wangi Dan Padi Aerob Untuk Meningkatkan Produktiviti Beras Negara Sebagai Strategi Menampung Keperluan Bahan Makanan Masa Hadapan.



             Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah Pada 20 Jun 2014 di Ipoh


Seperti mana kita semua sedia maklum, negara kita masih mengalami kekurangan bahan makanan yang dihasilkan dalam negara kita. Kita amat bergantung kepada import barang-barang makanan daripada negara-negara lain. Sebagai contoh, kita masih mengimport lebih kurang 30% daripada keperluan beras negara. Ini merupakan satu jumlah yang besar dan jelas membuktikan negara kita amat bergantung kepada negara-negara lain untuk memenuhi keperluan makanan ruji. Kita tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan kerana ia boleh mengakibatkan kenaikan harga barang makanan yang mendadak dan seterusnya menjejaskan keselamatan negara.

Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan boleh memberi tumpuan kepada varieti-varieti padi yang boleh dihasilkan dengan teknologi yang berlainan daripada kaedah pertanian tradisional. Kerjaaan harus memberi perhatian dalam meningkatkan produktiviti beras wangi dan padi aerob untuk mengatasi masalah kekurangan beras negara. Memang terdapat usaha kerajaan untuk memulihkan kawasan tanah sawah terbiar melalui pelaksanaan projek NKEA. Tetapi, usaha  ini perlu ditingkatkan lagi dengan membuka lebih banyak kawasan untuk menanam padi varieti beras wangi dan padi aerob.

Bagi soalan lisan berkaitan dengan pembukaan kawasan tanaman padi baru, Menteri Pertanian Dan Industri Tani menjawab bahawa bagi tahun 2013, sebanyak RM19.457 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan projek memulihkan kawasan tanah sawah terbiar yang turut meliputi kerja-kerja menaiktaraf ladang. Sasaran yang ditetapkan menjelang tahun 2020 adalah kawasan seluas 20,000 hektar untuk ditanam dengan varieti wangi. Kerajaan harus benar-benar serius untuk memastikan sasaran itu dicapai supaya dapat mengatasi masalah kekurangan beras negara yang pasti akan berlaku pada masa hadapan.

MARDI telah mengisytiharkan 2 varieti padi wangi iaitu MRQ50 dan MRQ74 yang rata-rata boleh menambahkan produktiviti beras negara. Padi wangi MRQ50 yang mempunyai sifat beras yang panjang dan tekstur nasinya menyerupai Basmathi telah diisytiharkan pada tahun 1999. Walau bagaimanapun  potensi hasil MRQ 50 hanya sekitar 3 hingga 3.5 tan sehektar dan pulangan mengilang juga agak rendah.

Untuk menambahbaik MRQ50, MARDI telah berjaya menghasilkan MRQ74. Padi ini diisytiharkan pada tahun 2005 dengan memberi nama ' Maswangi'. MRQ74 ini menyerupai beras wangi Basmathi dan mengandungi kandungan GABA (Gamma Amino Butyric Asid) yang tinggi iaitu agen penenang semulajadi kepada otak untuk  mengurangkan stress. Beras ini juga dikatakan sesuai dimakan oleh penghidap penyakit kencing manis. Nilai Glycemic Index bagi beras ini sekitar 40 sahaja berbanding dengan beras biasa 80 dan beras pulut 100.

Padi MRQ74 ini boleh dihasilkan secara pertanian biasa ataupun secara organik. Ia juga boleh dihasilkan di kawasan yang tiada sistem pengairan cekap dan hanya dibantu oleh punca air dari sungai dan empangan kecil. Saya difahamkan pihak swasta juga menaruh minat untuk menceburi penanaman padi jenis ini secara komersial. Oleh yang demikian, kerajaan harus mengambil semua langkah untuk menggalakkan dan membuka peluang komersial kepada orang-orang yang berminat dalam mengusahakan beras wangi MRQ74 ini.

Selain daripada itu, MRQ76 yang masih dalam tahap kajian dan penilaian juga perlu diberi perhatian yang khusus oleh kerajaan kerana mutunya lebih tinggi daripada MRQ74. Tahap produktivitinya juga lebih baik iatu lebih kurang 5.5 tan sehektar.

Dalam jawapan yang diberikan oleh Menteri Pertanian Dan Industri Tani, kerajaan melalui MARDI sedang menjalankan kajian bagi memperkenal varieti padi aerob yang boleh ditanam di kawasan yang tidak memerlukan air bertakung dan hanya memerlukan penggunaan air yang minimum secara semburan atau 'sprinkler'  seperti tanaman sayur.

Padi Aerob iaitu varieti padi yang kurang menggunakan air dalam proses penanamannya serta boleh ditanam di kawasan bukit dijangka dapat membantu meningkatkan peratusan pengeluaran padi negara. Padi Aerob ini hanya memerlukan kos yang rendah iaitu lebih kurang RM2600 sehektar berbanding dengan RM5000 sehektar bagi padi biasa.

Projek perintis menanam padi Aerob telah dimulakan di 3 buah negeri iaitu Pahang, Perak dan Terengganu pada tahun 2013 dengan melibatkan jumlah kawasan lebih kurang 40 hektar.  Kerajaan bercadang untuk membuka 1000 hektar tanah untuk membangunkan penanaman padi Aerob bagi tahun 2014. Adakah  sasaran ini dicapai setakat bulan Jun 2014?

Oleh kerana tempoh penanaman benih padi Aerob adalah singkat iaitu 90 hari maka usaha penanaman 3 kali setahun juga dapat dilaksanakan. Dijangka pengeluran padi aerob ini juga memuaskan iaitu diantara 3.5 hingga 4 tan sehektar.  Kerajaan harus fokus dalam meningkatkan sumber makanan negara dengan mengiatkan lagi produktiviti beras wangi dan padi aerob yang sudah pasti boleh membantu mencapai matlamat tersebut. Usaha-usaha ini harus diperluaskan  ke negeri-negeri lain yang mempunyai potensi yang sama. Walau bagaimanapun kerjasama daripada kerajaan-kerajaan negeri juga adalah perlu untuk menjayakan usaha-usaha untuk meningkatkan industri agro makanan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan