Isnin, 3 Jun 2013

Waytha Jangan Mimpi Kami Subahat

Kenyataan Media 
YB V.Sivakumar, Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Pengerusi DAP Perak 

pada 2 Jun 2013 di Batu Gajah

Waytha Jangan Mimpi Kami Subahat

Kenyataan Waythamoorty bahawa beliau sanggup bekerjasama dengan pimpinan DAP dalam menyelesaikan masalah masyarakat India adalah sungguh melucukan. Kesanggupan beliau tidak bermakna kesanggupan kami pemimpin-pemimpin DAP. Kami tidak boleh menaruh kepercayaan terhadap seseorang yang telah mengkhianati masyarakat India semata-mata untuk mendapatkan jawatan Timbalan Menteri.


Kenapa beliau mahu bekerjasama dengan pimpinan DAP untuk menyelesaikan masyarakat India? Beliau sudah menjawat jawatan Timbalan Menteri dalam pentadbiran kerajaan BN, maka adalah tidak wajar untuk mengadakan hubungan kerjasama dengan pemimpin-pemimpin DAP.



Pada hemat saya, ini adalah satu tipu muslihat untuk melarikan diri daripada hentaman pimpinan DAP jika beliau gagal untuk menyelesaikan masalah masyarakat India. Matlamat beliau untuk berlembut dengan pimpinan DAP tidak akan mendatangkan sebarang hasil kepadanya. Pemimpin-pemimpin DAP tidak akan berlembut dengan seseorang yang telah menjual maruah bangsa untuk kepentingan sendiri.



Jangan pandai-pandai menjemput pimpinan DAP supaya turut bersubahat dalam agenda politik kotor BN untuk menipu masyarakat India selama-lamanya. Kaum India telah ditipu dan ditindas  selama ini oleh  kerajaan BN.  Masalah kaum India tidak boleh diselesaikan oleh Waythamoorty walaupun beliau diberi tempoh 5 tahun lagi . Beliau hanya mencari jalan untuk melarikan diri daripada amanat yang diberikan kepada beliau. Kaum India sudah tidak lagi percaya kepada beliau.



Walau bagaimanapun saya seorang pemimpin DAP,  saya sanggup bekerjasama dengan beliau jika cabaran saya berani disahut olehnya.  Puluhan ribu masyarakat India yang lahir di bumi Malaysia tidak memililki taraf kewarganegaraan. Mereka memililki kad pengenalan merah dan tidak dianggap sebagai seorang warganegara Malaysia. Oleh yang demikian, saya mahu masalah ini diselesaikan dengan segera.



Dalam manifesto Pakatan Rakyat PRU13 dijanjikan bahawa masalah kewarganegaraan masyarakat India akan diselesaikan dalam tempoh 100 hari. Jika Waythamoorty sanggup menyelesaiakan masalah kewarganegaraan masyarakat India dalam 100 hari, saya sanggup bekerjasama dengan beliau dalam hal ini.



Jangan beri apa-apa alasan yang tidak munasabah jika betul-betul serius dan mahu  menyelesaikan masalah kewarganegaraan yang dihadapi oleh masyarakat India. Jika beliau tidak berani untuk terima cabaran ini, saya menasihatkan kepada beliau supaya jangan bermimpi untuk mendapatkan kerjasama pemimpin-pemimpin DAP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan