YB V. Sivakumar mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Batu Gajah (24 Jun 2013) |
Kenyataan Media YB V. Sivakumar, Ahli Parlimen Batu Gajah pada 24 Jun 2013 di Dewan Rakyat
Peraturan Mesyuarat 4(4) Dilanggar Dalam Pemilihan Speaker Dewan Rakyat
Dewan Negeri Perak tidak mengikut Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak dari tahun 2009 hingga 2013. Ini dilakukan semata-mata untuk mengesahkan kerajaan BN merampas mandat yang diberikan oleh rakyat kepada PR. Ini telah memalukan Dewan Negeri Perak di arena antarabangsa. Apabila Perintah-perintah Tetap Dewan tidak diikuti, maka itu merupakan satu penghinaan kepada Dewan yang mulia.
Pada pagi ini saya melihat satu lagi pelanggaran Peraturan-peraturan Mesyuarat di Parlimen Malaysia. Agenda pertama Dewan Rakyat hari ini ialah untuk memilih Tuan Yang Dipertua Dewan. Oleh kerana dua orang telah dicalonkan untuk jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang lebih dikenali sebagai Speaker, maka Ahli-ahli Dewan Rakyat wajib mengundi untuk memilih Speaker.
Mengikut Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat perkara 4(4), pemilihan Speaker Dewan Rakyat dibuat dengan undi bersurat. Peruntukan perkara tersebut adalah seperti berikut:
"Bagi maksud menjalankan undi bersurat, Setiausaha hendaklah memberi kepada tiap-tiap orang ahli yang hadir sekeping kertas undi dan ahli ini bolehlah menuliskan pada kertas itu nama ahli atau seorang lain yang hendak diundinya. Kertas-kertas undi hendaklah dilipat supaya nama ahli atau seorang lain yang tertulis pada kertas itu tidak boleh dinampak dan hendaklah ditandatangan oleh ahli yang mengundi itu"
Peraturan ini mewajibkan ahli-ahli Dewan untuk hanya menurunkan tandatangan pada undi. Tidak ada apa-apa peraturan mewajibkan Ahli Dewan untuk menulis namanya pada kertas undi. Tetapi, Setiausaha Dewan telah mewajibkan Ahli-ahli Dewan untuk menulis nama pada kertas undi tersebut. Pada kertas undi itu juga disediakan ruangan untuk ditandatangan dan menulis nama ahli yang mengundi.
Ini adalah satu penyelewengan kuasa dan bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. Tindakan ini juga bertentangan dengan prinsip 'Undi itu rahsia' yang sepatutnya ditegakkan untuk menjamin Demokrasi Berparlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan