Kenyataan YB V. Sivakumar, Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 9 Jun 2013 di Sungai Siput.
Siapa akan mendapat jawatan Speaker Perak? Ini menjadi satu lagi isu yang bangkit selepas PRU13 di mana beberapa pihak tertentu menaruh minat terhadap jawatan tersebut. Selepas rampasan kuasa berlaku di Perak pada tahun 2009, Dato' R. Ganesan telah diangkat untuk menyandang jawatan tertinggi itu. Seluruh rakyat Malaysia masih ingat lagi bagaimanapun Speaker sah DUN Perak V. Sivakumar diusung dan dikurungkan sebelum Dato' R. Ganesan menjadi Speaker.
Jawatan Speaker diberikan kepada wakil MIC Dato' R. Ganesan semata-mata untuk menggantikan V. Sivakumar supaya tidak timbul isu perkauman dan menjaga hati kaum India. Kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO Perak tidak memberi jawatan itu kepada MIC dengan niat murni. Malah jawatan itu diberikan kepada MIC dengan niat jahat supaya boleh dirampas daripada V. Sivakumar tanpa reaksi hangat daripada masyarakat ini. Dalam kata lain, MIC juga telah diperbodohkan oleh UMNO dalam permainan kotornya untuk menipu masyarakat India.
Dato' R. Ganesan telah menjawat jawatan itu selama 4 tahun walaupun bukan dengan kerelaan UMNO. MIC tidak boleh berbangga dengan jawatan itu kerana ia adalah sedekah yang diberikan oleh Pakatan Rakyat. MIC tidak pernah bermimpi untuk mendapatkan jawatan itu untuk ahlinya. MIC tidak berani menuntut jawatan itu sebelum ini. Hanya selepas V. Sivakumar dipilih sebagai Speaker Perak, sekarang MIC menuntut haknya untuk jawatan itu. Perkara ini sungguh menyedihkan dan memalukan.
Hari ini akhbar-akhbar harian Tamil membawa tajuk utama bahawa Presiden MIC Dato' G. Palanivel mengugut Menteri Besar Perak Dato' Seri Diraja Zambry Abdul Kadeer mengenai jawatan Speaker. Palanivel mengugut Menteri Besar Perak supaya memberikan jawatan Speaker itu kepada MIC. Tindakan beliau mengugut Zambry adalah sungguh melucukan. Beliau memaksa Zambry dengan terma 'jika tidak memberi jawatan Speaker kepada MIC, maka parti itu tidak akan mengambil apa-apa jawatan yang lain termasuk Penasihat MB'.
Ugutan Palanivel tidak berasas kerana beliau hanya berani menggugurkan jawatan-jawatan untuk MIC di Perak. Ini tidak menunjukkan kesungguhan dalam tuntutannya. Beliau sepatutnya meletak jawatannya bersama dengan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri MIC. Bukan sekadar mengugut Zambry untuk jawatan-jawatan kecil di Perak. UMNO tidak pernah menghormati MIC selama ini. Tetapi, MIC tidak berani melawan 'tauke' UMNO kerana kepentingan politiknya walaupun ia amat merugikan masyarakat India.
Saya juga agak keliru dengan kenyataan Palanivel untuk menuntut jawatan Speaker hanya di negeri Perak. Mengapakah beliau tidak berani untuk menuntut jawatan yang sama di Johor, Pahang, Terengganu, Perlis, Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan? Beranikah beliau untuk mengugut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberikan sekurang-kurangnya jawatan Timbalan Speaker kepada seorang pemimpin MIC? Hanya DP Vijandran, seorang wakil MIC, yang pernah memegang jawatan itu sebelum ini. Oleh itu, MIC masih berhak untuk menuntut jawatan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan