Khamis, 23 September 2021

Perkasakan Kamar Khas Dalam Proses Reformasi Parlimen

Cadangan Ahli Parlimen Batu Gajah, V.Sivakumar dalam hal berkaitan Reformasi Parlimen. 


Sejak bulan Mei 2016 Parlimen Malaysia mempunyai satu lagi sayap baru yang telah dikembangkan untuk menyuburkan elemen semak dan imbang. Kamar Khas telah diwujudkan untuk memberi ruangan yang lebih kepada wakil rakyat untuk mengutarakan persoalan-persoalan tertentu dibawa  kepada perhatian kerajaan. Kamar Khas telah menjadi sebahagian daripada  fungsi parlimen yang utama. 

                       V. Sivakumar 

Kamar  Khas ini bersidang  pada waktu petang apabila Dewan Rakyat atau Dewan Negara bersidang. Kamar ini menjalankan fungsi tambahan Parlimen untuk menjawab ucapan yang dibawa oleh Ahli-ahli Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 17.  Sebelum wujudnya Kamar Khas, fungsi ini dilakukan di bawah ucapan penangguhan di Dewan Utama pada waktu petang. Keberkesanan ucapan penangguhan itu telah dipertikaikan oleh pelbagai pihak termasuk Ahli-ahli Parlimen sendiri. 

Hari ini, persidangan Kamar Khas bermula 2:30 petang.  Dua orang Ahli Parlimen akan diberi peluang untuk membaca usul yang telah dikemukakan olehnya lebih awal. Ucapan itu akan dijawab oleh Menteri atau Timbalan Menteri. Tetapi, ucapan dalam Kamar Khas itu bukanlah  berbentuk perbahasan. Jawapan yang diberikan itu haruslah diterima secara bulat-bulat tanpa diberi peluang untuk mempertikaikan fakta-fakta yang diberikan oleh kerajaan. 

Ahli Parlimen yang membangkitkan usul itu tidak ada  peluang untuk membahas atau mengemukakan soalan tambahan. Ini adalah satu daripada kelemahan prosiding di  Kamar Khas. Kelemahan ini perlu diperbaiki demi memartabatkan fungsi Kamar Khas sebagai penyubur konsep semak dan imbang. 



Urusan soal-jawab mengenai dua usul yang dibincangkan itu hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit sahaja. Kita merugikan segala sumber yang ada jika Kamar Khas digunakan kurang daripada 10% masa persidangan. 

Kamar Khas tidak berfungsi dalam keadaan yang optima.  Oleh yang demikian, perkara ini perlu diperincikan apabila kita membincangkan tentang reformasi Parlimen.  Fungsi dan peranan Kamar Khas perlu ditambah baik dan diuruskan dalam keadaan kapasiti penuh. 

Kita sudah pun mempunyai semua sumber dan fasiliti yang mantap di Kamar Khas. Maka, kemudahan-kemudahan itu haruslah digunakan sepenuhnya. 

Saya mencadangkan supaya Kamar Khas bersidang serentak dengan dewan utama iaitu bermula 10.00 pagi sehingga tamat 5:30 petang. Ini membolehkan banyak perkara-perkara kepentingan rakyat dibincangkan di Kamar Khas. 

Hari ini,  banyak soalan-soalan yang dikemukakan Ahli-ahli Dewan tidak dapat dijawab kerana kesuntukan masa. Beban ini boleh dipindahkan ke Kamar Khas. Keberkesanan institusi Parlimen dapat ditingkatkan lagi apabila sesi soal-jawab dipergiatkan melalui sistem Kamar Khas. 

Perkara-perkara yang spesifik dan soalan-soalan berkaitan dengan kawasan Parlimen masing-masing bolehlah dibawa dalam perbincangan Kamar  Khas.  Isu-isu seperti ini tidak perlu dibawa, dibahas dan dijawab di dalam Dewan utama. 
Ini merugikan masa dan kualiti perbahasan. 

Walaupun isu-isu kawasan adalah penting tetapi  lebih sesuai untuk dibincangkan di forum yang sesuai seperti di Kamar Khas. Ini membolehkan isu-isu kecil juga mendapat tempat dalam perbincangan Parlimen. Tindakan-tindakan susulan dapat diambil dengan segera oleh pegawai-pegawai daripada kementerian. 

Pembaharuan ini akan memberi  ruangan yang lebih besar kepada Dewan Utama untuk menguruskan perkara-perkara nasional yang mustahak. Justeru, imej institusi Parlimen Malaysia dapat dipertingkat lagi melalui pembaharuan ini. 

Saya mencadangkan supaya fungsi Kamar Khas juga diberi perhatian dalam proses reformasi  Parlimen yang dibincangkan oleh Kerajaan dan Pakatan Harapan. Harap semangat persefahaman ini akan benar-benar menzahirkan badan sebuah perundangan yang efektif di negara kita. Kerjaaan dan pembangkang harus bersatu hati dalam segala usaha untuk memperkasakan institusi Parlimen demi kepentingan rakyat dan negara. 

V. Sivakumar 
Ahli Parlimen Batu Gajah 
23 September 2021

Tiada ulasan:

Catat Ulasan